Ada atau tidak makanan untuk kesuburan lelaki? Jawapannya, ada. Lelaki juga tidak terkecuali untuk turut mengalami masalah ketidaksuburan. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menjejaskan kesuburan lelaki termasuklah masalah kesihatan, terdedah kepada bahan kimia atau haba dan gaya hidup yang tidak sihat.
Ketidaksuburan lelaki tidak selalu boleh dicegah. Walau bagaimanapun, anda boleh cuba mengelakkan beberapa punca ketidaksuburan lelaki yang diketahui. Antaranya adalah:
- Berhenti merokok
- Berhenti meminum arak
- Jauhi dadah
- Mengekalkan berat badan yang sihat
- Kurangkan tekanan
- Elakkan pendedahan haba yang berterusan pada buah zakar (testis)
- Elakkan terdedah kepada racun serangga, logam berat dan toksin
Dalam usaha mencari penawar kepada masalah ketidaksuburan lelaki, kajian-kajian sains moden mendapati beberapa makanan berikut boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki. Antaranya adalah:
1. Kacang Walnut
Kacang walnut adalah antara kacang yang mengandungi pelbagai nutrien dan khasiat termasuklah untuk kesuburan lelaki.
Khasiat walnut untuk kesuburan lelaki di buktikan dalam satu kajian yang melibatkan 117 lelaki sihat. Lelaki yang memakan 75 gram kacang walnut setiap hari selama 3 bulan bersama-sama diet ala Barat berjaya untuk menambah baik bentuk, pergerakan dan kesegaran sperma. [1]
Selain itu, kajian lain yang melibatkan 119 orang lelaki mendapati bahawa diet ala Barat yang diperkaya dengan 60 gram kacang (30 gram kacang walnut) menunjukkan peningkatan dari segi fungsi, kualiti air mani dan sperma. [2]
2. Jintan Putih
Jintan putih adalah herba yang banyak digunakan dalam pelbagai masakan Melayu dan India. Herba ini juga turut didapati mempunyai kebaikan terhadap kesuburan lelaki.
Kajian terhadap tikus makmal mendapati rawatan yang menggunakan minyak pati jintan putih boleh meningkatkan jumlah, pergerakan dan kebolehhidupan sperma serta menambahbaik struktur tisu testis (buah zakar) yang normal. [3]
3. Maca
Maca atau akar maca adalah tumbuhan dari kategori sayur cruciferous yang sama seperti brokoli, kubis bunga dan kubis. Maca turut dikenali sebagai Peruvian Ginseng.
Permintaan untuk produk maca telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, mungkin disebabkan dakwaan bahawa tumbuhan itu boleh menggalakkan libido dan kesuburan.
Satu kajian semula yang melibatkan 5 kajian mendapati maca menunjukkan kesan yang positif terhadap pergerakan sperma bagi lelaki yang tidak subur. Kajian ini turut mendapati maca boleh mendatangkan kesan yang positif terhadap kualiti air mani bagi lelaki yang sihat. [4]
Satu kajian yang lebih terkini yang dijalankan terhadap pesakit yang mengalami masalah kesuburan melaporkan bahawa pengambilan 2 gram maca selama 12 minggu boleh meningkatkan kepekatan sperma. [5]
4. Habbatus Sauda
Habbatus sauda juga turut berkhasiat terhadap kesihatan dan kesuburan lelaki.
Minyak habbatus sauda didapati boleh meningkatkan jumlah sperma, hayat sperma, kualiti sperma serta jumlah dan kualiti air mani dalam kalangan lelaki yang tidak subur. [6]
5. Lengkuas
Lengkuas juga merupakan rempah yang turut banyak digunakan dalam masakan. Mungkin ramai yang tidak tahu akan khasiat lengkuas terhadap kesuburan lelaki.
Satu kajian terhadap 66 orang lelaki yang mempunyai kualiti sperma yang rendah mendapati pengambilan ekstrak lengkuas dan delima meningkatkan pergerakan sperma sebanyak 62% berbanding 20% dalam kumpulan yang mengambil plasebo. [7]
Satu kajian klinikal yang lain, 76 peserta lelaki dengan masalah kesuburan mendapati lengkuas dapat meningkatkan bilangan sperma dan morfologi sperma tanpa mendatangkan kesan sampingan. [8]
6. Tongkat Ali
Tongkat ali sememangnya terkenal dengan khasiatnya terhadap tenaga batin orang lelaki. Tongkat ali juga boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 76 pesakit yang mengalami masalah sindrom kekurangan testosteron menunjukkan pengambilan ekstrak tongkat ali sebanyak 200mg berjaya meningkatkan peratusan pesakit yang mempunyai kadar testosteron yang normal daripada 35.5% kepada 90.8%. [9]
7. Goji Berry
Goji berry ialah buah beri yang berwarna merah yang berasal dari Asia. Buah goji berry ini telah digunakan sejak 2,000 tahun dahulu sebagai ubat herba dan makanan tambahan (suplemen).
Kajian terhadap haiwan mendapati goji berry boleh meningkatkan kuantiti dan pergerakan sperma, meningkatkan keupayaan seksual dan meningkatkan pemulihan paras hormon testosteron. [10]
Tambahan itu, kajian lain turut melaporkan bahawa goji berry menunjukkan kesan positif terhadap tikus yang mengalami mati pucuk. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan antioksidan dalam buah ini. [11]
8. Madu Gelam
Makanan untuk kesuburan lelaki yang seterusnya ialah madu gelam. Madu gelam ialah madu yang dihasilkan oleh lebah liar yang membina sarang di pokok gelam.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan haiwan yang diberikan madu gelam mempunyai kualiti sperma yang lebih baik. Pemberian madu gelam boleh meningkatkan pergerakan sperma dan jumlah sperma normal yang lebih banyak. [12]
9. Saderi
Saderi adalah sayur rendah kalori yang turut bermanfaat kepada kesuburan lelaki. Terdapat juga kajian yang mendapati ekstrak saderi boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak saderi boleh membantu meningkatkan kesuburan dengan mengurangkan kecederaan pada testis akibat daripada kesan sampingan ubat sawan (sodium valporate). [13]
Dalam kajian lain, ekstrak saderi juga dilihat boleh membantu melindungi testis daripada rosak akibat daripada bahan tambah makanan (food additives). [14]
10. Kacang Hazel
Selain kacang walnut, kacang hazel juga turut bermanfaat untuk kesuburan lelaki.
Pengambilan kacang hazel didapati boleh menambah baik kualiti sperma, plasma semen (air mani), mengurangkan tekanan pengoksidaan, meningkatkan kandungan vitamin E dalam air mani dan meningkatkan paras hormon testosteron. [15]
Rumusan
Terdapat banyak makanan-makanan daripada sumber semula jadi yang boleh membantu meningkatkan kesuburan lelaki.
Walaupun sesetengah kajian masih diperingkat kajian terhadap haiwan, pengambilan makanan untuk kesuburan lelaki ini masih boleh diamalkan kerana turut mempunyai khasiat-khasiat yang lain yang boleh meningkatkan kesihatan badan secara keseluruhannya.
Rujukan
- Robbins, W. A. et al. (2012). Walnuts improve semen quality in men consuming a Western-style diet: randomized control dietary intervention trial. Biology of reproduction.
- Salas-Huetos, A. et al. (2018). Effect of nut consumption on semen quality and functionality in healthy men consuming a Western-style diet: a randomized controlled trial. The American journal of clinical nutrition.
- Sakhaee, E. et al. (2016). Effects of Cuminum cyminum L. essential oil on some epididymal sperm parameters and histopathology of testes following experimentally induced copper poisoning in mice. Andrologia.
- Lee, M. S. et al. (2016). The use of maca (Lepidium meyenii) to improve semen quality: A systematic review. Maturitas.
- Alcalde, A. M., & Rabasa, J. (2020). Does Lepidium meyenii (Maca) improve seminal quality?. Andrologia.
- Kolahdooz, M. et al. (2014). Effects of Nigella sativa L. seed oil on abnormal semen quality in infertile men: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Phytomedicine.
- Fedder, M. D. et al. (2014). An extract of pomegranate fruit and galangal rhizome increases the numbers of motile sperm: a prospective, randomised, controlled, double-blinded trial. PloS one.
- Kolangi, F. et al. (2019). Effect of Alpinia officinarum Hance rhizome extract on spermatogram factors in men with idiopathic infertility: A prospective double-blinded randomised clinical trial. Andrologia.
- Tambi, M. I. et al. (2012). Standardised water-soluble extract of Eurycoma longifolia, Tongkat ali, as testosterone booster for managing men with late-onset hypogonadism?. Andrologia.
- Luo, Q. et al. (2011). Antagonistic effects of Lycium barbarum polysaccharides on the impaired reproductive system of male rats induced by local subchronic exposure to 60Co-γ irradiation. Phytotherapy research.
- Moon, H. W. et al. (2017). Administration of Goji (Lycium chinense Mill.) Extracts Improves Erectile Function in Old Aged Rat Model. The world journal of men’s health.
- Durriyyah, S. (2011). Effects of nicotine and Gelam honey on testis parameters and sperm qualities of juvenile rats. Scientific Research and Essays.
- Hamza, A. A., & Amin, A. (2007). Apium graveolens modulates sodium valproate-induced reproductive toxicity in rats. Journal of experimental zoology.
- Kooti, W. et al. (2014). Protective effects of celery (Apium Graveolens) on testis and cauda epididymal spermatozoa in rat. Iranian journal of reproductive medicine.
- Kara, H. et al. (2019). Hazelnut consumption improves testicular antioxidant function and semen quality in young and old male rats. Food chemistry.