Daun ketumbar adalah antara herba yang banyak digunakan dalam masakan. Selain menjadi penambah rasa, daun ketumbar juga mempunyai khasiat dan ciri-ciri perubatan yang pelbagai.
Ketumbar adalah tumbuhan herba daripada keluarga Apiaceae iaitu keluarga yang sama dengan jintan manis, pasli, jintan hitam, jintan putih atau parsnip.
Ketumbar juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti coriander atau Chinese parsley dalam bahasa Inggeris, cilantro dalam bahasa Sepanyol atau pak chee dalam bahasa Thailand.
Dalam perubatan tradisional, daun ketumbar digunakan untuk merawat penyakit campak, diabetes, radang perut dan usus, jangkitan virus, ulser mulut, mata merah, memperkuat dan memulihkan otot perut, dan merendahkan paras gula darah.
Kajian-kajian moden juga turut meneroka khasiat daun ketumbar yang boleh dimanfaatkan dalam dunia perubatan. Antara khasiat daun ketumbar adalah:
1. Kaya dengan Antioksidan
Daun ketumbar kaya dengan antioksidan. Ini bermakna daun ketumbar mempunyai potensi atau keupayaan dalam melindungi sel-sel badan yang sihat daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Aktiviti antioksidan daun ketumbar disumbang oleh kandungan fitokimianya seperti:
- Asid ferulik
- Asid galik
- Asid kafeik
- Asid salisilik
- Luteolin
- Apigenin
- Hesperidin
- Rutin
- Katekin
- Kumarin
2. Boleh Membantu Melambatkan Penuaan Kulit
Daun ketumbar juga didapati boleh membantu melambatkan penuaan kulit dengan melindungi kulit daripada penuaan akibat sinaran UV-B.
Kajian yang menggunakan ekstrak daun ketumbar mendapati haiwan yang dirawat menggunakan ekstrak daun ketumbar mempunyai serat kolagen yang lebih padat dan lapisan epidermis (lapisan kulit paling luar) yang lebih nipis berbanding haiwan yang tidak dirawat dengan ekstrak tersebut. [1]
Kajian ini menunjukkan bahawa ekstrak daun ketumbar boleh membantu penghasilan kolagen yang terjejas akibat daripada sinaran UV-B dan melindungi kulit daripada penuaan kulit pramatang.
3. Boleh Membantu Merendahkan Paras Gula Darah
Daun ketumbar juga berkemungkinan bagus untuk pesakit kencing manis atau diabetes kerana khasiatnya yang boleh membantu merendahkan paras gula darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun ketumbar boleh membantu merendahkan paras gula darah dengan ketara. Aktiviti antidiabetes daun ketumbar juga ini juga setanding dengan ubat diabetes iaitu glibenclamide. [2]
Khasiat ini menunjukkan sekiranya daun atau batang ketumbar digunakan dalam masakan boleh menjadi penawar kepada diabetes.
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Daun ketumbar juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol yang bermanfaat kepada mereka yang mengalami paras kolesterol tinggi.
Paras kolesterol yang tinggi dalam darah boleh meningkatkan risiko kepada penyakit jantung dan strok.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak daun ketumbar boleh menurunkan paras kolesterol total, trigliserida, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) berbanding haiwan yang tidak diekstrak dengan ekstrak daun tersebut. [2]
5. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Daun ketumbar juga berkhasiat dalam membantu menurunkan tekanan darah kerana kandungan sebatian-sebatian flavonoidnya seperti kuersetin, rutin, apigenin dan luteolin.
Sebatian-sebatian ini mempunyai kesan antihipertensi. Sebagai contoh, terdapat analisis yang menunjukkan kesan antihipertensi kuersetin yang menyebabkan penurunan ketara terhadap tekanan darah sistolik dan diastolik. [3]
Terdapat juga kajian yang mendedahkan bahawa daun ketumbar mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang boleh merencatkan aktiviti enzim penukaran angiotensin (ACE). ACE adalah enzim yang mengawal atur isipadu dan tekanan darah. [4]
Perencatan ACE boleh membantu mengendurkan saluran (urat) darah dan arteri bagi menurunkan tekanan darah.
6. Boleh Membantu Mencegah Keracunan Makanan
Daun ketumbar juga berkhasiat dalam membantu mencegah keracunan makanan kerana ciri-ciri antibakterianya.
Khasiat daun ketumbar ini dapat dibuktikan dalam satu kajian yang menunjukkan minyak pati dan ekstrak daun ketumbar mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria yang sering menyebabkan keracunan makanan seperti Escherichia coli (E.coli), Staphylococcus aureus (S.aureus), Salmonella dan Bacillus. [5,6]
Tambahan daripada itu juga, terdapat juga kajian yang mendapati minyak pati daun ketumbar mempunyai aktiviti antibakteria terhadap bakteria jenis Listeria monocytogenes. [7]
Listeria monocytogenes ialah bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan terutamanya kepada wanita mengandung, bayi, orang tua atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah.
Rumusan
Seperti biji ketumbar, daun ketumbar juga mempunyai pelbagai khasiat yang bermanfaat kepada kesihatan.
Kajian-kajian moden mendapati daun ketumbar tinggi dengan antioksidan, boleh membantu melindungi kulit, membantu menurunkan paras gula darah dan lain-lain lagi.
Oleh itu, penggunaan daun ketumbar dalam masakan adalah salah satu amalan yang baik untuk mendapatkan khasiat daun ketumbar ini.
Rujukan
- Hwang, E. et al. (2014). Coriander leaf extract exerts antioxidant activity and protects against UVB-induced photoaging of skin by regulation of procollagen type I and MMP-1 expression. Journal of medicinal food.
- Sreelatha, S., & Inbavalli, R. (2012). Antioxidant, antihyperglycemic, and antihyperlipidemic effects of Coriandrum sativum leaf and stem in alloxan-induced diabetic rats. Journal of food science.
- Serban, M. C. et al. (2016). Effects of Quercetin on Blood Pressure: A Systematic Review and Meta-Analysis of Randomized Controlled Trials. Journal of the American Heart Association.
- Hussain, F. et al. (2018). Identification of Hypotensive Biofunctional Compounds of Coriandrum sativum and Evaluation of Their Angiotensin-Converting Enzyme (ACE) Inhibition Potential. Oxidative medicine and cellular longevity.
- Kubo, I. et al. (2004). Antibacterial activity of coriander volatile compounds against Salmonella choleraesuis. Journal of agricultural and food chemistry.
- Matasyoh, J.C. et al. (2009). Chemical composition and antimicrobial activity of the essential oil of Coriandrum sativum. Food Chemistry.
- Delaquis, P. J. et al. (2002). Antimicrobial activity of individual and mixed fractions of dill, cilantro, coriander and eucalyptus essential oils. International journal of food microbiology.