Apa itu Katekin?
Katekin (catechin) ialah sejenis flavonoid (antioksidan) yang terdapat secara semula jadi dalam sesetengah makanan dan tumbuhan seperti legum (kacang), teh hijau, buah epal dan koko.
Secara umumnya, katekin turut terdiri daripada epicatechin (EC), epicatechin gallate (ECG), epigallocatechin (EGC) dan epigallocatechin gallate (EGCG). Semua sebatian ini mempunyai komposisi yang sama antara satu sama lain.
Katekin adalah antioksidan yang paling aktif dalam teh hijau, ia juga turut menyumbang kepada banyak khasiat teh hijau termasuklah ciri-ciri antikanser dan antiradangnya.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, antioksidan ini semakin menarik minat penyelidik kerana peranannya dalam mengurangkan risiko penyakit-penyakit tertentu.
Faedah utama flavonoid seperti katekin adalah dari keupayaan sebatian ini untuk berfungsi sebagai antioksidan di dalam badan anda.
Antioksidan ialah sebatian yang boleh mengikat dan meneutralkan radikal bebas.
Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang boleh menyebabkan kerosakan sel-sel sihat apabila parasnya terlalu tinggi.
Kerosakan akibat radikal bebas ini banyak dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, artritis dan diabetes.
Khasiat dan Kebaikan Katekin untuk Kesihatan
Terdapat banyak kajian-kajian yang dijalankan untuk melihat khasiat atau kebaikan katekin terhadap penyakit-penyakit yang melibatkan keradangan.
Antaranya adalah:
1. Bersifat Antikanser
Katekin mempunyai ciri-ciri antioksidan, ini juga bermakna ia juga mungkin turut mempunyai ciri-ciri antikanser.
Satu kajian pada tahun 2022 melaporkan bahawa katekin daripada teh hijau berkesan untuk mengurangkan risiko kepada penyakit kanser payudara, kanser ovari, kanser hati, kanser usus besar, kanser kulit, kanser prostat dan kanser mulut. [1]
2. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah penyakit neurodegeneratif yang paling banyak berlaku di seluruh dunia.
Tekanan oksidatif adalah salah satu komponen yang terlibat dalam penyakit ini. Tekanan oksidatif berlaku apabila berlaku ketidakseimbangan antara radikal bebas dan antioksidan.
Ketidakseimbangan ini juga boleh menyebabkan keradangan pada otak.
Kajian menunjukkan bahawa ciri-ciri katekin yang berkaitan dengan antioksidan dan antiradang mungkin memainkan peranan dalam mengurangkan risiko kepada penyakit Alzheimer. [2]
3. Boleh Mengurangkan Jangkitan Influenza dan Demam Selesema
Beberapa kajian telah mencadangkan bahawa pengambilan teh hijau secara tetap mengurangkan kadar jangkitan influenza dan beberapa gejala demam selsema, dan berkumur dengan katekin teh boleh melindungi daripada perkembangan jangkitan influenza.
Satu kajian oleh pengkaji dari University of Shizouka, Jepun mendapati katekin dalam teh boleh mencegah penjerapan virus influenza dan mengurangkan replikasi virus tersebut. [3]
Selain itu, katekin teh juga boleh meningkatkan keimunan terhadap jangkitan virus.
4. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Pengambilan teh hijau, teh oolong dan teh hitam dikaitkan dengan aktiviti antiobesiti. Ia dipercayai disumbang oleh kandungan katekin dalam teh-teh tersebut.
Satu kajian oleh pengkaji dari South China Agricultural University mencadangkan bahawa pembentukan asid lemak rantaian pendek mungkin menjadi jawapan kepada kesan pengurangan berat badan yang dicetuskan teh-teh tersebut. [4]
Asid lemak rantaian pendek yang terbentuk hasil tindak balas antara karbohidrat yang tidak dihadam, katekin dan bakteria usus mungkin meningkatkan penggunaan lemak yang membawa kepada aktiviti antiobesiti.
5. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Tekanan oksidatif juga turut memberi kesan terhadap perkembangan penyakit kardiovaskular seperti hipertensi (tekanan darah tinggi), serangan jantung, kegagalan jantung dan aterosklerosis.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa katekin daripada teh hijau boleh membantu menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko strok dan penyakit jantung koronari. [5, 6]
Katekin dilaporkan boleh mengurangkan keadaan yang berkaitan dengan disfungsi pembuluh darah yang menjadi penyebab kepada strok, aterosklerosis dan penyakit jantung. [7]
Sumber Makanan dan Dos Sesuai
Katekin boleh dijumpai secara semula jadi dalam makanan-makanan berikut:
- Daun teh terutamanya teh hijau
- Buah anggur hitam
- Buah strawberi
- Buah aprikot
- Buah epal
- Buah beri hitam
- Buah pir
- Buah raspberi
- Buah ceri
- Koko atau coklat
- Kacang buncis besar
- Buah pisang kaki
- Barli
Suplemen Katekin
Katekin juga boleh didapati dalam bentuk suplemen (makanan tambahan) yang biasanya dilabelkan sebagai ekstrak teh hijau atau EGCG.
Biasanya, dos yang diambil adalah sekitar 100-800 mg sehari. [8]
Walau bagaimanapun, terdapat kajian yang menunjukkan bahawa pada dos 100-460 mg sehari, katekin atau EGCG ini telah menunjukkan kesan yang baik. [9]
Keselamatan dan Kesan Sampingan
Katekin yang boleh dijumpai dalam buah-buahan, kekacang, teh atau coklat adalah selamat untuk dimakan.
Apabila dimakan dalam makanan, katekin juga selamat untuk wanita hamil dan menyusu.
Bagi katekin yang diambil dalam bentuk suplemen atau ekstrak teh hijau pula, beberapa perkara perlu diberi perhatian kerana ia boleh menyebabkan kecederaan atau ketoksikan hati.
Pengambilan ekstrak teh hijau pada dos yang tinggi dalam bentuk suntikan dilaporkan boleh menyebabkan kecederaan hati. [10]
Terdapat juga laporan-laporan kes yang melibatkan ketoksikan hati yang berkaitan EGCG (katekin) pada dos 140 mg-1000 mg sehari. [11]
Pihak United States Pharmacopeia (USP) menyertakan keperluan pelabelan berhati-hati dalam produk ekstrak teh hijau tanpa kafein seperti berikut:
- Pengguna diminta untuk tidak mengambil produk ekstrak teh hijau semasa perut kosong. Ambil bersama-sama makanan.
- Jangan menggunakannya sekiranya anda mempunyai masalah hati.
- Hentikan penggunaan dan dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika anda mengalami gejala masalah hati seperti sakit perut, air kencing gelap atau jaundis (kulit atau mata menguning).
Rumusan
Katekin adalah sebatian antioksidan yang mempunyai banyak khasiat dan kebaikan untuk kesihatan manusia.
Antioksidan ini boleh diperolehi secara semula jadi dalam makanan-makanan seperti buah anggur hitam, buah epal,buah aprikot, buah pir, teh hijau dan lain-lain.
Sekiranya tiada keperluan, anda tidak disarankan untuk mengambil katekin dalam bentuk suplemen. Pengambilan melalui makanan harian sudah memadai.
Rujukan
- Trisha, A. T. et al. (2022). Tea Polyphenols and Their Preventive Measures against Cancer: Current Trends and Directions. Foods.
- Ide, K. et al. (2018). Effects of Tea Catechins on Alzheimer’s Disease: Recent Updates and Perspectives. Molecules.
- Furushima, D. et al. (2018). Effect of Tea Catechins on Influenza Infection and the Common Cold with a Focus on Epidemiological/Clinical Studies. Molecules.
- Rothenberg, D. O. et al. (2018). A Review on the Weight-Loss Effects of Oxidized Tea Polyphenols. Molecules.
- Chacko, S. M. et al. (2010). Beneficial effects of green tea: a literature review. Chinese medicine.
- Mandel, S. et al. (2004). Iron and alpha-synuclein in the substantia nigra of MPTP-treated mice: effect of neuroprotective drugs R-apomorphine and green tea polyphenol (-)-epigallocatechin-3-gallate. Journal of molecular neuroscience.
- Babu, P. V., & Liu, D. (2008). Green tea catechins and cardiovascular health: an update. Current medicinal chemistry.
- Rondanelli, M. et al. (2021). Effect of Acute and Chronic Dietary Supplementation with Green Tea Catechins on Resting Metabolic Rate, Energy Expenditure and Respiratory Quotient: A Systematic Review. Nutrients.
- Vázquez Cisneros, L. C. et al. (2017). [Effects of green tea and its epigallocatechin (EGCG) content on body weight and fat mass in humans: a systematic review]. Nutricion hospitalaria.
- Grajecki, D. et al. (2022). Green tea extract-associated acute liver injury: Case report and review. Clinical liver disease.
- Oketch-Rabah, H. A. et al. (2020). United States Pharmacopeia (USP) comprehensive review of the hepatotoxicity of green tea extracts. Toxicology reports.