Biji ketumbar adalah herba yang banyak digunakan dalam masakan. Selain menjadi penambah rasa, biji ketumbar ini turut menyimpan 1001 khasiat yang berguna untuk kesihatan mereka yang memakannya. Kajian-kajian moden telah mengkaji khasiat biji ketumbar yang bermanfaat untuk pelbagai aspek kesihatan.
Ketumbar adalah tumbuhan herba daripada keluarga yang sama dengan saderi, parsli atau lobak.
Secara saintifiknya, ketumbar dikenali dengan nama Coriandrum sativum. Tumbuhan ini berasal dari kawasan Mediterranean tetapi banyak ditanam di Afrika Utara, Eropah Tengah dan Asia.

Di Malaysia, biji ketumbar biasanya digunakan sebagai penambah rasa dalam masakan. Manakala, daun ketumbar digunakan dalam masakan seperti tom yam.
Ketumbar adalah salah satu herba yang digunakan sejak 3000 tahun dahulu untuk tujuan masakan dan perubatan. Perubatan tradisional menggunakan biji ketumbar untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti ketidakhadaman, loya, sakit mata, sakit kepala, menghilangkan bau mulut, mengubat batuk, muntah-muntah, bronkitis, cirit-birit, demam dan gout.
Artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat biji ketumbar untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang penting bagi melindungi sel-sel badan daripada kerosakan akibat daripada serangan radikal bebas.
Sekiranya radikal bebas ini tidak dibendung, ia akan menyebabkan berlakunya tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini akan menyebabkan keradangan kronik yang seterusnya membawa kepada penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung, diabetes dan lain-lain lagi.
Sebatian aktif dalam biji ketumbar seperti tocopherol, kuersetin, kaempferol dan terpinena memainkan peranan penting terhadap aktiviti-aktiviti antioksidan herba ini. [1]
2. Boleh Membantu Merendah Paras Gula Darah
Khasiat biji ketumbar juga dilihat dapat membantu merendahkan paras gula darah mereka yang memakannya.
Paras gula darah yang tinggi menjadi salah satu faktor risiko kepada penyakit diabetes jenis 2.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang obes mendapati pengambilan ekstrak biji ketumbar boleh menurunkan paras gula darah kepada normal. [2]
Kajian yang turut mendapati sebatian polifenol dalam biji ketumbar turut menunjukkan kesan antidiabetik dengan menurunkan paras gula darah dan menambah baik kesihatan haiwan yang diuji secara keseluruhannya. [3]
3. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol darah yang tinggi terutamanya kolesterol LDL (kolesterol jahat) dikaitkan dengan penyakit jantung.
Biji ketumbar juga didapati berkhasiat dalam membantu merendahkan paras kolesterol dalam darah termasuklah kolesterol LDL.
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan ekstrak biji ketumbar selama 30 hari menunjukkan kesan positif terhadap paras kolesterol dimana berlaku penurunan terhadap jumlah kolesterol, kolesterol LDL dan juga paras lemak dalam darah (trigliserida). [2]
Terdapat juga kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan yang diberi makan makananan tinggi lemak. Kumpulan haiwan yang diberikan makanan yang mengandungi biji ketumbar menunjukkan penurunan paras kolesterol LDL dan peningkatan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) berbanding kumpulan haiwan yang tidak diberikan biji ketumbar ini. [4]
Kajian terhadap bentuk pemakanan populasi masyarakat di dunia mendapati masyarakat yang mengamalkan diet yang mengandungi herba dan rempah termasuklah biji ketumbar menunjukkan kadar penyakit jantung yang lebih rendah berbanding diet yang tidak mengandungi rempah dan herba. [5]
4. Baik untuk Sistem Penghadaman
Minyak yang diekstrak daripada biji ketumbar juga mempunyai khasiat tersendiri dalam menggalakkan sistem penghadaman yang sihat.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 32 pesakit sindrom usus rengsa (IBS) melaporkan bahawa pengambilan ubat herba yang mengandungi ketumbar sebanyak 3 kali sehari boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan sindrom usus rengsa seperti kembung perut, sakit perut dan ketidakselesaan. [6]
5. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria
Minyak pati daripada biji ketumbar juga turut didapati mempunyai kesan antikulat terhadap beberapa spesies bakteria dan kulat.
Kajian tabung uji menunjukkan bahawa biji ketumbar menunjukkan kesan antibakteria terhadap bakteria jenis S. aureus, A. baumannii, E. aerogenes, K. penumoniae dan P. mirabilis. [7]
Bakteria-bakteria ini adalah bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, keracunan makanan dan pelbagai jangkitan lain.
6. Berpotensi Melawan Sel-sel Kanser
Sifat antioksidan dan antiradang biji ketumbar juga menyumbang kepada sifat antikanser herba ini.
Kajian makmal mendapati ekstrak biji ketumbar didapati boleh merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser gastrik, kanser prostat, kanser usus, kanser payudara dan kanser paru-paru. [8]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan termasuklah kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan khasiat biji ketumbar terhadap kanser dalam badan manusia.
Rumusan
Biji ketumbar adalah salah satu herba yang lazim digunakan dalam masakan alam melayu. Selain menjadi penambah rasa, biji ketumbar turut mengandungi khasiat tertentu untuk kesihatan.
Kajian-kajian perubatan moden mendapati biji ketumbar mempunyai banyak kesan positif kepada kesihatan seperti membantu menurunkan paras gula darah, menurunkan paras kolesterol, melawan jangkitan bakteria, baik untuk sistem penghadapan dan berpotensi untuk melawan kanser.
Justeru itu, manfaatkanlah penggunaan herba ini dalam masakan harian anda untuk mendapatkan manfaatnya pada jangka masa panjang.
Rujukan
- Yashin, A. et al. (2017). Antioxidant Activity of Spices and Their Impact on Human Health: A Review. Antioxidants.
- Aissaoui, A. et al. (2011). Hypoglycemic and hypolipidemic effects of Coriandrum sativum L. in Meriones shawi rats. Journal of ethnopharmacology.
- Mechchate, H. et al. (2021). Antioxidant, Anti-Inflammatory and Antidiabetic Proprieties of LC-MS/MS Identified Polyphenols from Coriander Seeds. Molecules.
- Dhanapakiam, P. et al. (2008). The cholesterol lowering property of coriander seeds (Coriandrum sativum): mechanism of action. Journal of environmental biology.
- Tsui, P. F. et al. (2018). Spices and Atherosclerosis. Nutrients.
- Vejdani, R. et al. (2006). The efficacy of an herbal medicine, Carmint, on the relief of abdominal pain and bloating in patients with irritable bowel syndrome: a pilot study. Digestive diseases and sciences.
- Rath, S., & Padhy, R. N. (2014). Monitoring in vitro antibacterial efficacy of 26 Indian spices against multidrug resistant urinary tract infecting bacteria. Integrative medicine research.
- Zhang, C. R. et al. (2015). Evaluation of coriander spice as a functional food by using in vitro bioassays. Food chemistry.