Sinonim sebagai juadah pencuci mulut, buah tembikai merupakan buah yang enak dan menyegarkan. Bukan itu sahaja, sebenarnya buah tembikai juga kaya dengan khasiat untuk kesihatan kita. Khasiat buah tembikai banyak disumbangkan oleh kandungan antioksidannya.
Buah tembikai atau nama saintifiknya Citrullus lanatus berasal dari Afrika dan telah ditanam sejak 4000 tahun dahulu lagi.
Buah ini adalah satu keluarga dengan buah rockmelon, timun batang dan tembikai susu. Tembikai boleh didapati dalam beberapa jenis iaitu yang mempunyai isi berwarna merah , kuning, jingga dan berbiji ataupun tidak.

Tembikai rendah dengan nilai kalori serta tinggi dengan kandungan nutriennya seperti vitamin C dan vitamin A.
Berikut adalah 8 khasiat buah tembikai berdasarkan kajian-kajian sains:
1. Membantu Kita Terhidrat
Air adalah sumber yang penting untuk mengekalkan badan kita kekal terhidrat.
Di samping itu, makan makanan yang tinggi dengan kandungan air juga boleh membantu kita terhidrat. Sebiji buah tembikai mengandungi 92% air dan 7.55% karbohidrat. [1]
Kandungan air yang tinggi ini juga membuatkan kita rasa kenyang apabila makan buah tembikai ini.
2. Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam 100 gram buah tembikai terdapat nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 30 kcal
- Protein: 0.61 gram
- Lemak: 0.15 gram
- Karbohidrat: 7.55 gram
- Serat: 0.4 gram
- Gula: 6.2 gram
- Kalsium: 7.0 miligram
- Kalium: 112 miligram
- Vitamin C: 8.1 miligram
- Vitamin A: 28 mikrogram
Buah tembikai juga tinggi dengan beta-karotena dan likopena iaitu masing-masing sebanyak 303 mikrogram dan 4532 mikrogram.
3. Berpotensi Mencegah dan Merawat Kanser
Buah tembikai merupakan sumber unik kepada likopena kerana likopena ini boleh didapati terus selepas memakan buah ini.
Jika dibandingkan dengan buah tomato, likopena dalam buah tomato hanya boleh didapati dalam kuantiti yang lebih tinggi selepas rawatan haba. [1]
Dalam satu kajian, didapati bahawa likopena berkeupayaan untuk menghalang tumbesaran sel-sel kanser payudara dan endometrium. [2]
Satu kajian lain pula mendapati likopena merupakan antioksidan yang mempunyai ciri-ciri seperti antipertumbuhan sel kanser, antikarsinogeik, dan anti-anterogenik.
Kajian-kajian lain juga menunjukkan peranan likopena ini dalam menghalang dan mengurangkan risiko kanser dan penyakit jantung. [3]
4. Boleh Membantu Mengurangkan Kesakitan Otot
Buah dan jus tembikai didapati berkhasiat dalam membantu mengurangkan kesakitan otot dan mempercepatkan masa pemulihan selepas senaman dalam kalangan atlet.
Para pengkaji percaya bahawa keupayaan ini disebabkan kandungan asid amino L-citrulline yang terdapat dalam buah tembikai. [4]
5. Boleh Mencegah daripada Penyakit Degenerasi Makular Berkaitan Usia
Penyakit degenerasi makular bermula dengan penipisan lapisan makular retina sehingga mengakibatkan kemerosotan penglihatan secara beransur-ansur.
Kandungan likopena dalam buah tembikai boleh mengurangkan risiko terkena penyakit degenerasi makular berkaitan usia. [1]
6. Boleh Merendahkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Kandungan likopena yang tinggi dalam buah tembikai menjadikannya satu sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan ini.
Satu analisis mendapati pengambilan likopena boleh merendahkan risiko penyakit kardiovaskular. [5]
Kandungan kalium yang tinggi dalam buah tembikai ini juga baik untuk mengawal tekanan darah seterusnya mengelakkan pemakannya daripada terkena penyakit kardiovaskular seperti strok. [6]
7. Baik untuk Kesihatan Kulit dan Rambut
Buah tembikai turut kaya dengan vitamin A dan C. Kedua-dua vitamin ini penting untuk kesihatan kulit dan rambut
Vitamin A boleh membantu menghasilkan dan membaiki sel-sel kulit. Kekurangan vitamin A membuatkan kulit kelihatan kering dan berkelupas.
Vitamin C pula sememangnya popular dengan keupayaannya membantu dalam penghasilan kolagen kulit iaitu protein yang mengekalkan keanjalan kulit dan menguatkan rambut.
8. Baik untuk Penghadaman
Kandungan air dan serat dalam buah tembikai ini sangat berkhasiat untuk kesihatan sistem penghadaman.
Kandungan serat ini membolehkan najis menjadi lebih besar dan kandungan air membolehkan saluran penghadaman bergerak dengan lancar.
Rumusan
Di pasaran Malaysia, buah tembikai ini boleh didapati dengan isi yang warna merah dan kuning. Disebalik rasanya yang enak, buah tembikai juga kaya dengan khasiat untuk tubuh badan kita.
Buah ini juga enak dimakan sejuk dan juga dibuat jus. Walaupun mempunyai indeks glisemik yang tinggi, namun buah ini mempunyai muatan glisemik yang rendah. Ini membuatkan pengambilan buah ini kurang memberi kesan terhadap paras gula darah.
Maka, anda tidak perlu bimbang jika terlebih makan buah berkhasiat ini.
Rujukan
- Naz, A. et al. (2014). Watermelon lycopene and allied health claims. EXCLI journal.
- Nahum, A. et al. (2001). Lycopene inhibition of cell cycle progression in breast and endometrial cancer cells is associated with reduction in cyclin D levels and retention of p27(Kip1) in the cyclin E-cdk2 complexes. Oncogene.
- Rao, A. V., & Agarwal, S. (2000). Role of antioxidant lycopene in cancer and heart disease. Journal of the American College of Nutrition.
- Tarazona-Díaz, M. P. et al. (2013). Watermelon juice: potential functional drink for sore muscle relief in athletes. Journal of agricultural and food chemistry.
- Song, B. et al. (2017). Lycopene and risk of cardiovascular diseases: A meta-analysis of observational studies. Molecular nutrition & food research.
- Vinceti, M. et al. (2016). Meta-Analysis of Potassium Intake and the Risk of Stroke. Journal of the American Heart Association.