Tembikai susu adalah buah dalam keluarga Cucurbitaceae iaitu keluarga yang sama dengan tembikai, timun batang atau rock melon. Seperti buah-buahan dalam keluarganya ini, buah tembikai susu juga turut kaya dengan pelbagai khasiat. Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat tembikai susu yang bermanfaat untuk kesihatan anda.
Buah tembikai susu (Cucumis melo) turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti honeydew melon, honeymelon, atau Bailan melon. Buah tembikai ini mempunyai rasa yang manis, kulit yang licin dan berwarna putih kehijau-hijauan.
Tembikai susu adalah sumber yang baik untuk mendapatkan nutrien yang penting kepada kesihatan badan termasuklah vitamin C, vitamin K, kalium dan magnesium.
Berikut adalah khasiat-khasiat tembikai susu yang boleh dimanfaatkan dalam pemakanan harian anda.
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Buah tembikai susu kaya dengan pelbagai nutrien penting. Sebagai contoh, dalam 100 gram buah tembikai susu ini, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga: 36 kcal
- Protein: 0.54 gram
- Karbohidrat: 9.09 gram
- Serat: 0.8 gram
- Kalsium: 6 miligram
- Zat besi: 0.17 miligram
- Magnesium: 10 miligram
- Fosforus: 11 miligram
- Kalium: 228 miligram
- Natrium: 18 miligram
- Selenium: 0.7 mikrogram
- Vitamin C: 18 miligram
- Vitamin B1: 0.04 miligram
- Vitamin B2: 0.01 miligram
- Vitamin B3: 0.42 miligram
- Vitamin B5: 0.16 miligram
- Vitamin B6: 0.09 miligram
- Folat: 19 mikrogram
- Vitamin A: 3 mikrogram
- Vitamin E: 0.02 miligram
- Vitamin K: 2.9 mikrogram
Selain itu, tembikai susu turut mengandungi mikronutrien seperti zink, mangan dan tembaga.
Menariknya lagi, kajian turut melaporkan bahawa kandungan mikronutrien seperti kalsium, zat besi, magnesium dan mangan semakin berkurangan dibahagian isi yang lembut yang biasanya paling disukai ramai. [2]
Sebaliknya, kandungan mineral tersebut lebih tinggi dibahagian bawah kulit buah ini.
2. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel badan yang sihat daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Pengambilan makanan yang kaya dengan antioksidan boleh membantu badan meneutralkan radikal bebas serta mencegah daripada berlakunya tekanan oksidatif yang dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti kanser, diabetes, penyakit jantung dan lain-lain lagi.
Tembikai susu adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan. Selain vitamin C, A dan E, kajian turut mendapati biji tembikai susu ini tinggi dengan kandungan sebatian fenolik (antioksidan) seperti asid galik, asid kafeik dan katekin. [3]
3. Kaya dengan Elektrolit dan Air
Tembikai susu juga adalah buah yang menghidratkan. Buah ini boleh membantu membekalkan air serta elektrolit yang mungkin berkurangan akibat daripada aktiviti fizikal.
Buah tembikai susu mengandungi kira-kira 90% air dan elektrolit seperti kalium, natrium, magnesium dan kalsium.
Kombinasi antara air dan elektrolit ini menjadikan tembikai susu sebagai hidangan yang sesuai untuk anda selepas bersenam atau bersukan.
4. Boleh Menguatkan Sistem Imun Badan
Khasiat tembikai susu juga turut disumbang oleh kandungan vitamin C yang agak tinggi dalam buah ini.
Sepotong tembikai susu seberat 125 gram boleh membekalkan 32% keperluan vitamin C harian bagi orang dewasa di Malaysia.
Selain itu, vitamin C juga turut terkenal dengan keupayaan untuk membantu meningkatkan fungsi sistem imun (sistem pertahanan) badan.
Malah, kajian turut melaporkan bahawa pengambilan vitamin C yang mencukupi boleh mencegah dan merawat jangkitan yang berkaitan sistem pernafasan seperti demam selesema dan pneumonia. [4]
5. Baik untuk Kesihatan Mata
Tembikai susu juga turut berkhasiat untuk kesihatan mata. Khasiat ini disumbang oleh kandungan antioksidannya iaitu lutein dan zeaxantin.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa lutein dan zeaxantin boleh membantu mencegah dan merawat penyakit berkaitan mata seperti degenerasi makular berkaitan usia, katarak dan retinitis pigmentosa. [5]
6. Membantu Melancarkan Penghadaman
Kandungan serat dalam buah tembikai susu juga berkhasiat bagi membantu melancarkan penghadaman dan mencegah daripada berlakunya sembelit.
Tambahan daripada itu juga, pengambilan makanan yang mengandungi serat boleh membantu memperlahankan tindak balas gula darah, membantu dalam menurunkan paras kolesterol dan menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam usus. [6, 7]
7. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Tekanan darah yang tinggi sering dikaitkan dengan penyakit jantung dan strok. Amalan pemakanan memainkan peranan yang penting terhadap tekanan darah.
Pemakanan atau diet yang tinggi dengan buah-buahan dan sayur-sayuran boleh membantu mengurangkan risiko kepada penyakit hipertensi, penyakit jantung dan strok.
Lebih khusus lagi, diet rendah natrium dan pengambilan kalium yang mencukupi boleh mempengaruhi tekanan darah anda secara positif.
Memandangkan tembikai susu adalah buah yang rendah dengan natrium dan kaya dengan kalium, ia boleh membantu anda mengekalkan tahap tekanan darah yang sihat.
8. Baik untuk Tulang yang Kuat
Terdapat beberapa mineral dan vitamin yang terlibat dalam membantu membaiki dan mengekalkan tulang yang kuat. Antaranya adalah vitamin K, kalsium, fosforus dan magnesium.
Kesemua vitamin dan mineral ini terkandung dalam buah tembikai susu.
Sebagai contoh, vitamin K terlibat dalam penghasilan struktur utama tulang yang dikenali sebagai “osteocalcin“. Oleh itu, pengambilan vitamin K yang mencukupi adalah penting untuk mengekalkan tulang yang kuat dan sihat. [8]
9. Berpotensi Mencegah Batu Karang
Jika sebelum ini, biji tembikai susu dilihat sebagai tidak berguna dan dibuang. Kajian terbaru ini mungkin boleh mengubah situasi tersebut.
Kajian oleh pengkaji dari Universiti Jouf, Arab Saudi mendapati biji tembikai susu berpotensi digunakan untuk mencegah atau merawat penyakit batu karang. Ekstrak biji tembikai susu boleh mengurangkan kandungan oksalat dalam buah pinggang yang seterusnya boleh mencegah pembentukan batu karang. [9]
10. Berpotensi Mencegah Jangkitan HSV
Virus herpes simplex (HSV) adalah virus yang sering menyebabkan jangkitan terhadap manusia yang dikenali sebagai herpes. Virus ini boleh menyebabkan jangkitan di mulut atau kemaluan.
Kajian terbaru yang dijalankan oleh pengkaji di Brazil mendapati pektin (karbohidrat) bersulfat daripada tembikai susu menunjukkan aktiviti antivirus terhadap virus HSV-1 yang biasanya menyebabkan jangkitan di mulut. [10]
Kajian ini menunjukkan pektin daripada tembikai susu berpotensi digunakan sebagai rawatan alternatif kepada jangkitan HSV-1.
11. Mengandungi Asid Linolenik Berkonjugat (CLnA)
Kajian pada tahun 2019 juga turut mendapati bahawa biji tembikai susu mengandungi asid lemak yang dipanggil asid linolenik berkonjugat (CLnA) yang mempunyai banyak kebaikan terhadap kesihatan. [11]
Data-data menunjukkan bahawa asid linolenik berkonjugat (CLnA) mungkin sangat berguna untuk mencegah dan merawat banyak penyakit seperti penyakit kencing manis (diabetes), obesiti, kanser dan arteriosklerosis (penyakit arteri). [12]
Rumusan
Tembikai susu adalah buah manis yang boleh didapati di seluruh dunia. Buah ini mempunyai kulit berwarna krim atau putih dan isi yang berwarna putih kehijau-hijauan.
Kandungan vitamin, mineral dan antioksidan dalam buah ini banyak menyumbang kepada khasiatnya. Antara khasiat tembikai susu yang penting untuk kesihatan adalah membekalkan elektrolit dan air, menguatkan sistem imun badan, baik untuk kesihatan mata, melancarkan penghadaman, membantu menurunkan tekanan darah dan lain-lain lagi.
Anda boleh menikmati buah ini secara segar atau dijadikan salad, smoothies atau jus.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central. 2019. Melons, honeydew, raw.
- Lester G. E. (2008). Antioxidant, sugar, mineral, and phytonutrient concentrations across edible fruit tissues of orange-fleshed honeydew melon (Cucumis melo L.). Journal of agricultural and food chemistry.
- Zeb A. (2016). Phenolic Profile and Antioxidant Activity of Melon (Cucumis Melo L.) Seeds from Pakistan. Foods.
- Carr, A. C., & Maggini, S. (2017). Vitamin C and Immune Function. Nutrients.
- Ma, L., & Lin, X. M. (2010). Effects of lutein and zeaxanthin on aspects of eye health. Journal of the science of food and agriculture.
- Fuller, S. et al. (2016). New Horizons for the Study of Dietary Fiber and Health: A Review. Plant foods for human nutrition.
- Holscher H. D. (2017). Dietary fiber and prebiotics and the gastrointestinal microbiota. Gut microbes.
- Akbari, S., & Rasouli-Ghahroudi, A. A. (2018). Vitamin K and Bone Metabolism: A Review of the Latest Evidence in Preclinical Studies. BioMed research international.
- Afzal, M. et al. (2021). Methanolic extract of Cucumis melo attenuates ethylene glycol-induced nephrolithiasis in Wistar rats. Urolithiasis.
- Agostinho, K. F. et al. (2021). Cucumis melo pectin as potential candidate to control herpes simplex virus infection. FEMS microbiology letters.
- Wang, D. H. et al. (2019). Potentially High Value Conjugated Linolenic Acids (CLnA) in Melon Seed Waste. Journal of agricultural and food chemistry.
- Białek, A. et al. (2014). [Conjugated linolenic acids (CLnA, super CLA)–natural sources and biological activity]. Postepy higieny i medycyny doswiadczalnej (Online).