Khasiat buah pic mungkin tidak banyak diketahui umum kerana ia adalah buah-buahan import. Di Malaysia, buah pic lazimnya mudah diperolehi dalam bentuk tin walaupun terdapat juga pasar raya yang menjual buah ini dalam bentuk segar.
Buah pic atau nama saintifiknya Prunus persica L. adalah buah yang mempunyai isi berwarna putih atau kuning dengan kulit yang gebu. Buah pic dikatakan berasal dari China sejak lebih 8,000 tahun yang lalu. Buah pic adalah buah dari keluarga yang sama dengan buah aprikot, buah plum dan buah ceri.
Terdapat dua jenis buah pic yang utama iaitu jenis isi yang melekat pada bijinya atau jenis isi yang tidak melekat pada bijinya. Manakala, isi buah pic terdiri daripada warna putih hingga kuning atau warna oren.
Buah pic mempunyai banyak khasiat dan potensi untuk kesihatan sesiapa yang memakannya. Artikel ini menghuraikan dengan lebih lanjut mengenai khasiat buah pic yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.
1. Padat dengan Pelbagai Nutrien
Buah pic mengandungi nutrien-nutrien yang penting untuk fungsi dan kesihatan badan. Pemakanan buah pic boleh membekalkan sebahagian besar nutrien perlu (essential nutrient) bagi badan manusia.
Bagi 100 gram buah pic segar yang berisi oren, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 39 kcal
- Protein: 0.91 gram
- Karbohidrat: 9.54 gram
- Serat: 1.5 gram
- Kalsium: 6 miligram
- Zat besi: 0.25 miligram
- Magnesium: 9 miligram
- Fosforus: 20 miligram
- Kalium: 190 miligram
- Zink: 0.17 miligram
- Selenium: 0.1 mikrogram
- Vitamin C: 6.6 miligram
- Folat: 4 mikrogram
- Vitamin A: 16 mikrogram
- Vitamin E: 0.73 miligram
- Vitamin K: 2.6 mikrogram
Buah pic turut mengandungi sedikit mineral tembaga dan mangan serta kumpulan vitamin B seperti vitamin B1,B2, B3, B5 dan B6.
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Pemakanan buah pic berkhasiat kepada kesihatan jantung.
Hal ini demikian kerana buah pic boleh membantu mengurangkan faktor risiko kepada penyakit jantung seperti paras kolesterol dan tekanan darah tinggi.
Kajian makmal mendapati buah pic boleh mengikat dengan asid hempedu yang turut mengandungi kolesterol, yang kemudiaanya disingkirkan melalui najis. Proses ini boleh membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah. [2]
Kajian terhadap haiwan yang menghidap tekanan darah tinggi menunjukkan ekstrak buah pic berkesan untuk menurunkan paras kolesterol total, kolesterol LDL (kolesterol jahat), trigliserida (lemak) dan kolesterol bebas.
Selain itu, tekanan darah bagi kumpulan haiwan yang menerima ekstrak buah pic turut rendah berbanding kumpulan kawalan. [3]
Kajian ini menunjukkan buah pic baik untuk kesihatan jantung melalui penambahbaikan terhadap faktor risiko penyakit ini.
3. Baik untuk Kesihatan Kulit
Buah pic juga mempunyai kebaikan terhadap kesihatan kulit.
Khasiat buah pic ini dapat dilihat dalam satu kajian tabung uji yang mendapati sebatian yang terkandung dalam buah pic boleh membantu kulit mengekalkan kelembapannya. [4]
Terdapat juga kajian-kajian yang mendapati ekstrak isi buah pic dan bunga pic yang disapu pada kulit boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV. [5, 6]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Seperti kebanyakan buah-buahan yang lain, buah pic juga turut berpotensi mencegah kanser.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan antioksidan yang terkandung di dalam isi dan kulit buah pic.
Kajian terhadap wanita pascamenopaus mendapati pengambilan 2 hidangan buah pic atau nektarin dalam seminggu boleh mengurangkan risiko kepada kanser payudara. [7]
Kajian makmal turut mendapati esktrak biji buah pic turut mempunyai kesan antikanser terhadap kanser usus besar. [8]
Namun begitu, kajian-kajian lanjut masih banyak diperlukan untuk melihat kesan antikanser buah pic tersebut.
5. Boleh Mengurangkan Simptom-simptom Alahan
Simptom-simptom alahan berlaku apabila seseorang itu terdedah kepada alergen. Apabila badan terdedah kepada alergen, sistem imun akan bertindak balas dengan menghasilkan histamin iaitu bahan kimia untuk menyingkirkan alergen tersebut.
Walau bagaimanapun, histamin ini akan menyebabkan simptom-simptom alahan seperti ruam, gatal-gatal atau batuk.
Buah pic turut didapati boleh membantu mengurangkan simptom-simptom alahan melalui pencegahan pelepasan histamin.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian oleh pengkaji dari Korea yang menunjukkan ekstrak biji buah pic didapati boleh merencatkan pelepasan histamin dalam sel-sel badan manusia. [9]
6. Baik untuk Penghadaman
Buah pic juga berkhasiat untuk kelancaran sistem penghadaman.
Buah pic mengandungi kedua-dua serat larut dan serat tidak larut. Serat larut boleh membantu menstabilkan paras gula darah dan paras kolesterol.
Manakala, serat tidak larut pula boleh membantu penghadaman dan mencegah daripada berlakunya sembelit.
Selain itu, serat larut juga turut bertindak sebagai makanan kepada bakteria baik di dalam usus. Bakteria baik ini kemudiannya menghasilkan asid lemak rantaian pendek yang boleh membantu mengurangkan keradangan dan gangguan penghadaman.
7. Boleh Menguatkan Sistem Imun
Kandungan vitamin C, vitamin E dan vitamin A (beta-karotena) dalam buah pic turut boleh membantu menguatkan sistem imun badan.
Sistem imun badan yang kuat boleh melindungi badan daripada sebarang jangkitan bakteria dan virus.
8. Baik untuk Kesihatan Mata
Buah pic juga turut mengandungi beta-karotena, lutein dan zeaxantin iaitu antioksidan yang baik untuk kesihatan mata.
Satu ulasan kajian turut melaporkan bahawa terdapat kajian-kajian praklinikal dan klinikal yang menunjukkan beta-karotena, lutein dan zeaxantin boleh mencegah dari perkembangan penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD), katarak dan retinopati diabetes. [10]
9. Boleh Melindungi Badan daripada Toksin
Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa buah pic yang berisi putih boleh melindungi badan daripada keracunan nikotin.
Kajian terhadap haiwan ini mendapati pengambilan buah pic berisi putih boleh meningkatkan pengkumuhan nikotin melalui air kencing dan mengurangkan keradangan. [11]
Ini menunjukkan memakan buah pic berisi putih mungkin boleh mendatangkan manfaat kepada perokok.
10. Mungkin Boleh Menurunkan Paras Gula Darah
Kajian terhadap haiwan turut mendapati sebatian yang terkandung dalam buah pic boleh membantu mencegah paras gula darah yang tinggi dan rintangan insulin dalam haiwan yang obes. [12]
Meskipun begitu, kajian ini kecil dan khasiat ini tidak diuji terhadap manusia. Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian ini.
Rumusan
Buah pic ialah buah yang boleh diperolehi di negara ini walaupun ia diimport. Buah pic boleh dimakan melalui pelbagai cara, sama ada dimakan segar, di tambah dalam yogurt, dijadikan salad dan sebagainya.
Terdapat banyak khasiat buah pic yang boleh dimanfaatkan oleh anda, antaranya adalah berkhasiat untuk kesihatan jantung, baik untuk kesihatan kulit, berpotensi mencegah kanser dan lain-lain lagi.
Buah pic turut membekalkan nutrien-nutrien penting untuk fungsi dan kesihatan badan. Pendek kata, memakan buah pic berbaloi untuk kesihatan.
Rujukan
- T.S. Kahlon & G.E. Smith. (2007). In vitro binding of bile acids by bananas, peaches, pineapple, grapes, pears, apricots and nectarines. Food Chemistry.
- Kim, Han-Soo. (2006). Effects of the Feral Peach (Prunus persica Batsch var. davidiana Max) Extract on the Lipid Compositions and Blood Pressure Level in Spontaneously Hypertensive Rats. Journal of Life Science.
- Koikeda, T. et al. (2017). Effects of Peach (Prunus persica)-Derived Glucosylceramide on the Human Skin. Current Medicinal Chemistry.
- H.J. Park et al. (2012). Protective Effects of Prunus persica Flesh Extract (PPFE) on UV-Induced Oxidative Stress and Matrix Metalloproteinases Expression in Human Skin Cells. Natural Product Sciences.
- Kim, Y. H. et al. (2002). The extract of the flowers of Prunus persica, a new cosmetic ingredient, protects against solar ultraviolet-induced skin damage in vivo. Journal of cosmetic science.
- Fung, T. T. et al. (2013). Intake of specific fruits and vegetables in relation to risk of estrogen receptor-negative breast cancer among postmenopausal women. Breast cancer research and treatment.
- Cassiem, W., & de Kock, M. (2019). The anti-proliferative effect of apricot and peach kernel extracts on human colon cancer cells in vitro. BMC complementary and alternative medicine.
- Kim, G. J. et al. (2013). Anti-allergic inflammatory effects of cyanogenic and phenolic glycosides from the seed of Prunus persica. Natural product communications.
- Johra, F. T. et al. (2020). A Mechanistic Review of β-Carotene, Lutein, and Zeaxanthin in Eye Health and Disease. Antioxidants.
- Kim, H. J. et al. (2017). Protective Effect of White-fleshed Peach (Prunus persica (L.) Batsch) on Chronic Nicotine-induced Toxicity. Journal of cancer prevention.
- Noratto, G. et al. (2015). Consumption of polyphenol-rich peach and plum juice prevents risk factors for obesity-related metabolic disorders and cardiovascular disease in Zucker rats. The Journal of nutritional biochemistry.