Ramai atau tidak antara kita yang tahu akan khasiat biji saga? Biji saga suatu masa dahulu terkenal dalam kalangan masyarakat setempat kerana dijadikan rantai, barang mainan atau sebagai penimbang kepada emas, perak dan berlian. Hal ini demikian kerana biji saga mempunyai berat yang hampir seragam dan 4 biji saga mempunyai berat 1 gram.
Biji saga diperolehi daripada pokok Saga atau nama saintifiknya Adenanthera pavonina. Pokok saga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Pokok Saga Daun Tumpul atau Pokok Saga Tumpul. Tumbuhan ini adalah daripada keluarga Fabaceae iaitu keluarga yang sama dengan kacang soya, kacang pea, kacang tanah dan juga kacang botor.
Pokok saga boleh dijumpai di negara-negara Asia Tenggara, Selatan China, India, Timur dan Barat Afrika dan Kepulauan Pasifik. Masyarakat terdahulu menggunakan hampir keseluruhan bahagian tumbuhan ini untuk tujuan perubatan.

Dinesh Valke from Thane, India, CC BY-SA 2.0, melalui Wikimedia Commons
Dalam perubatan tradisional India, air rebusan pucuk saga digunakan untuk merawat gout, sakit sendi, keradangan, kolera, lumpuh, epilepsi, sawan dan ketidakhadaman. Air rebusan daun dan kulit pokok turut digunakan untuk merawat cirit-birit, tonsilitis dan berak berdarah (disenteri).
Air rebusan biji saga pula digunakan untuk merawat jangkitan paru-paru dan digunakan secara sapuan untuk merawat keradangan kronik pada mata.
Kajian-kajian moden juga banyak dijalankan untuk merungkai khasiat-khasiat biji saga atau bahagian lain bagi pokok saga. Artikel ini menyenaraikan beberapa khasiat biji saga berdasarkan sokongan kajian.
1. Boleh Mencegah atau Melegakan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semula jadi badan sekira berlakunya kecederaan atau jangkitan. Walau bagaimanapun, keradangan menjadi masalah apabila ia berlaku secara berpanjangan atau kronik.
Terdapat banyak penyakit yang mempunyai kaitan dengan keradangan kronik. Contohnya seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, penyakit sendi (artritis), alahan dan lain-lain lagi.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak biji saga mempunyai kesan antiradang terhadap subjek yang diuji. Kajian ini mendapati pada dos 50-200mg/kg, ekstrak biji saga boleh merencatkan sembab yang terjadi akibat keradangan. [1]
2. Berpotensi Mengurangkan Risiko Komplikasi Diabetes
Penyakit kencing manis atau diabetes jenis 1 dan jenis 2 boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti nefropati diabetes. Nefropati diabetes adalah sejenis penyakit buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan menunjukkan bahawa rawatan selama 13 minggu menggunakan ekstrak biji saga menyebabkan penurunan ketara terhadap paras lemak, purata gula darah dan parameter-parameter yang menunjukkan kerosakan buah pinggang. [2]
Ini menunjukkan biji saga berpotensi untuk digunakan dalam perawatan penyakit kencing manis atau diabetes.
3. Boleh Mencegah Jangkitan Kulat
Biji saga juga didapati berkhasiat dalam membantu mencegah jangkitan kulat.
Khasiat biji saga ini dilaporkan dalam satu kajian yang menunjukkan peptida (asid amino) yang diekstrak daripada biji saga mempunyai kesan antikulat yang kuat terhadap kulat atau yis Saccharomyces cerevisiae dan Candida albicans. [3]
Kulat Candida albicans biasanya menyebabkan jangkitan di mulut dan jangkitan yis di faraj wanita. Manakala, kulat Saccharomyces cerevisiae boleh menyebabkan jangkitan bagi individu yang mempunyai sistem imun yang lemah.
4. Mempunyai Kesan Antivirus
Biji saga juga didapati turut mempunyai kesan antivirus terhadap poliovirus dan virus herpes simpleks. Poliovirus adalah virus yang menyebabkan penyakit Polio manakala virus herpes simpleks (HSV) pula adalah virus yang menyebabkan penyakit bercirikan lepuh pada kulit, biasanya di sekeliling bibir mulut atau pada kemaluan.
Kajian makmal mendapati polisakarida (karbohidrat) yang diekstrak daripada biji saga boleh merencatkan pertumbuhan poliovirus. [4]
Selain itu, kajian lain turut mendapati polisakarida yang diekstrak daripada biji saga boleh merencatkan jangkitan virus herpes simpleks 1 (HSV-1). [5]
5. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Biji saga juga turut mempunyai kesan antihipertensi yang boleh membantu menurunkan tekanan darah.
Khasiat biji saga ini ditunjukkan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Haiwan yang dirawat dengan ekstrak biji saga sebanyak 200 mg/kg setiap hari selama 28 hari mempunyai purata tekanan darah yang lebih rendah berbanding haiwan yang tidak menerima ekstrak biji saga. [6]
6. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Biji saga juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Ini berdasarkan satu kajian yang dijalanan terhadap haiwan yang menghidap diabetes. Rawatan menggunakan ekstrak biji saga didadapati menyebabkan penurunan ketara terhadap paras trigliserida (lemak dalam darah) dan kolesterol.
Rawatan menggunakan ekstrak biji saga selama 30 hari ini juga turut menunjukkan penurunan ketara terhadap paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) dan peningkatan paras kolesterol baik (kolesterol HDL). [7]
7. Boleh Membantu Merawat Cirit-birit
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati biji saga boleh membantu mencegah atau merawat cirit-birit.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari India mendapati bahawa ekstrak biji saga menunjukkan kesan antidiarea atau kesan perawatan terhadap cirit-birit yang bergantung kepada dos. Ekstrak biji saga ini boleh mengurangkan pergerakan usus lebih ketara berbanding dengan ubat cirit-birit. [8]
8. Mempunyai Kesan Antisawan
Kajian terhadap haiwan turut mendapati ekstrak biji saga turut mempunyai kesan atau ciri-ciri antisawan. Kajian tersebut mendapati pada dos 50-200 mg/kg, ekstrak biji saga boleh melindungi haiwan tersebut sawan dan melambatkan serangan sawan. [9]
Risiko dan Kesan Sampingan
Biji saga yang mentah adalah beracun jika dimakan. Namun, ia boleh dimakan setelah dimasak terlebih dahulu.
Rumusan
Biji saga mempunyai banyak khasiat atau potensi untuk digunakan dalam perawatan pelbagai penyakit.
Kajian-kajian moden yang dijalankan menunjukkan biji saga mempunyai khasiat dalam membantu mengurangkan keradangan, mengurangkan paras gula darah dan mengurangkan risiko komplikasi akibat diabetes, mengurangkan tekanan darah dan lain-lain lagi.
Walau bagaimanapun, banyak kajian yang dijalankan masih diperingkat kajian terhadap haiwan. Kajian-kajian lanjut terutamanya melibatkan kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian yang sedia ada.
Rujukan
- Olajide, O. A. et al. (2004). Anti-inflammatory studies on Adenanthera pavonina seed extract. Inflammopharmacology.
- Pandhare, R., & Sangameswaran, B. (2012). Extract of Adenanthera pavonina L. seed reduces development of diabetic nephropathy in streptozotocin-induced diabetic rats. Avicenna journal of phytomedicine.
- Soares, J. R. et al. (2012). Antimicrobial peptides from Adenanthera pavonina L. seeds: characterization and antifungal activity. Protein and peptide letters.
- de Godoi, A. M. et al. (2014). Antiviral Activity of Sulfated Polysaccharide of Adenanthera pavonina against Poliovirus in HEp-2 Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- de Godoi, A. M. et al. (2015). Characterization and antiherpetic activity of native and chemically sulfated polysaccharide from Adenanthera pavonina. Current pharmaceutical biotechnology.
- Adedapo, Aduragbenro et al. (2009). Blood Pressure Lowering Effect of Adenanthera pavonina Seed Extract on Normotensive Rats. Records of Natural Products.
- Pandhare, R. B. et al. (2012). Anti-hyperglycaemic and lipid lowering potential of Adenanthera pavonina Linn. in streptozotocin induced diabetic rats. Oriental pharmacy and experimental medicine.
- Ramdas Pandhare, et al. (2017). Antidiarrheal Potential of Adenanthera pavonina Linn Seed Aqueous Extract in Experimental Animals. International Journal of Chinese Medicine.
- Oni, J. et al. (2009). Anticonvulsant and depressant activities of the seed extracts of Adnanthera parvonina.