Berak berdarah atau najis berdarah mungkin membimbangkan anda. Lebih-lebih lagi jika anda tidak mengetahui punca yang menyebabkan berak berdarah atau najis berdarah ini.
Darah di dalam najis boleh berlaku akibat daripada perdarahan di mana-mana bahagian dalam saluran gastrousus yang terdiri terdiri daripada mulut, esofagus, perut, usus kecil, usus besar, rektum dan anus.
Oleh sebab perdarahan boleh berlaku di mana-mana bahagian saluran gastrousus, najis berdarah boleh mempunyai beberapa punca atau penyebabnya.
Darah pada najis biasanya kelihatan berwarna merah atau merah manggis (marroon). Bagi darah yang datangnya daripada bahagian atas saluran gastrousus, darah tersebut akan kelihatan sedikit berbeza. Darah tersebut akan kelihatan hitam dan seperti tar, ia dipanggil melena.
Berak berdarah atau najis berdarah ini boleh menjadi salah satu simptom kepada penyakit atau masalah kesihatan yang lebih serius. Maka, ia tidak harus diambil ringan atau diabaikan. Sila mendapatkan rawatan sekiranya anda mendapati terdapat darah dalam najis.
Berikut adalah beberapa punca yang mungkin menyebabkan berak berdarah atau najis berdarah:
1. Penyakit Divertikular
Penyakit divertikular adalah istilah umum yang merujuk kepada kehadiran divertikula iaitu kantung kecil yang terbentuk di dinding usus besar.
Kehadiran divertikula ini dipanggil divertikulosis. Sekiranya divertikula ini mengalami keradangan atau dijangkiti, penyakit ini dikenali sebagai divertikulitis.
Kedua-dua bentuk penyakit ini boleh menyebabkan kesakitan dan darah dalam najis. Sekiranya penyakit divertikular menjadi penyebab kepada perdarahan tersebut, darah tersebut akan kelihatan berwarna merah dan merah manggis. [1]
2. Ulser Perut atau Ulser Peptik
Ulser perut atau ulser peptik ialah keradangan pada pelapik perut. Kebanyakan ulser peptik disebabkan oleh jangkitan bakteria Helicobacter pylori (H.pylori).
Selain itu, penggunaan ubat antiradang seperti ibuprofen, aspirin atau naproxen pada satu jangka masa yang lama juga boleh menyebabkan ulser ini.
Sekiranya penyakit ulser peptik ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan perdarahan dalaman. Perdarahan dalaman yang teruk boleh menyebabkan najis hitam atau najis berdarah. [2]
3. Polip
Polip ialah ketumbuhan kecil pada lapisan pelapik saluran usus. Terdapat beberapa jenis polip dan polip adenoma adalah jenis yang paling lazim. Polip jenis ini boleh membesar di bahagian pelapik usus besar atau kolon.
Polip adenoma boleh terus berkembang membentuk kanser kolorektal atau kanser usus besar. Polip biasanya tidak mempunyai simptom-simptom. Namun, sekiranya berlakunya simptom atau gejala, najis berdarah adalah salah satu daripadanya. [3]
4. Buasir
Buasir adalah bengkak pada saluran darah yang menyebabkan benjolan pada dubur. Buasir sering menyebabkan ketidakselesaan dan sakit kepada penghidapnya.
Terdapat tiga jenis buasir iaitu:
- Buasir luaran: Buasir yang terbentuk di sekitar dubur.
- Buasir dalaman: Buasir yang terbentuk di dalam rektum.
- Buasir prolaps: Buasir luaran atau dalaman yang prolaps iaitu mereka meregang dan membonjol di luar dubur.
Ramai penghidap buasir dalaman tidak mengetahui bahawa mereka mempunyai buasir kerana tiada simptom-simptom yang berlaku.
Sekiranya adanya simptom-simptom, najis berdarah adalah salah satu daripadanya. Begitu juga dengan buasir luaran, berak berdarah atau najis berdarah adalah salah satu daripada gejala atau simptom. [4]
5. Kolitis
Kolitis atau lebih tepat kolitis iskemik (ischemic colitis) ialah keradangan yang berlaku akibat saluran darah yang membekalkan darah ke usus besar menyempit atau terhalang.
Kebanyakan kes kolitis iskemik berlaku kepada warga tua. Ia boleh berlaku dalam jangka masa pendek atau panjang.
Salah satu simptom kepada kolitis iskemik adalah najis berdarah.
6. Fisur Dubur
Fisur dubur ialah luka atau koyakan pada lapisan tisu pelapik dubur. Ia serupa seperti rekahan yang berlaku pada bibir yang merekah.
Fisur selalunya disebabkan oleh sembelit, membuang najis yang besar dan keras. Fisur dubur adalah penyebab yang biasa menyebabkan najis berdarah dalam kalangan bayi tetapi orang dewasa juga tidak berkecuali.
Darah akibat daripada fisur dubur ini akan kelihatan berwarna merah terang.
7. Kanser
Berak berdarah atau najis berdarah juga boleh berpunca daripada kanser kolorektal atau kanser usus besar. Perdarahan akibat daripada kanser kolorektal mungkin berwarna merah atau hitam dan bertar.
Kanser kolorektal adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan orang lelaki di Malaysia. Pengesan dan rawatan awal boleh membantu meningkatkan kemandirian pesakit-pesakit kanser ini.
8. Angiodisplasia
Angiodisplasia juga boleh menjadi punca kepada berak berdarah atau najis berdarah.
Angiodisplasia berlaku apabila saluran darah dalam usus berumur atau melemah. Ia menyebabkan perdarahan yang berwarna merah atau hitam dan bertar. [5]
Angiodisplasia adalah lazim berlaku semasa penyakit buah pinggang peringkat akhir atau kegagalan buah pinggang.
9. Gastroenteritis
Gastroenteritis ialah jangkitan pada usus yang disebabkan oleh bakteria, virus atau parasit. Biasanya gastroenteritis berlaku apabila seseorang memakan makanan atau minuman tercemar (keracunan makanan) atau mempunyai kontak rapat dengan mereka yang mengalami gastroenteritis akibat virus.
Kadang-kadang gastroenteritis boleh menyebabkan cirit-birit berdarah.
10. Penyakit Usus Inflamatori
Penyakit usus inflamatori adalah istilah umum yang merujuk kepada dua penyakit iaitu penyakit Crohn dan kolitis ulseratif. Kedua-dua jenis penyakit ini menyebabkan keradangan yang kronik pada saluran gastrousus.
Kedua-dua penyakit ini boleh menyebabkan keradangan dan kerosakan pada usus.
Berak berdarah atau najis berdarah adalah simptom-simptom atau gejala yang paling lazim bagi penyakit usus inflamatori tersebut. [6]
Rumusan
Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan berak berdarah atau najis berdarah. Sesetengah punca ini tidak berbahaya walaupun menyakitkan. Contohnya seperti buasir atau fisur dubur.
Manakala, punca yang lain mungkin memerlukan rawatan yang lebih intensif dan berbahaya seperti kanser.
Walau bagaimanapun, berak berdarah atau najis berdarah boleh juga menjadi amaran palsu. Ia mungkin warna daripada makanan yang anda makan. Contohnya seperti cili, gelatin, ubi bit atau punc buah.
Apa yang penting adalah anda berjumpa dengan doktor sekiranya anda mendapati terdapat darah dalam najis anda. Doktor boleh membuat pemeriksaan lanjut dan mengenal pasti masalah sebenar yang menyebabkan najis anda berdarah.
Rujukan
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. (2021).Diverticular Disease.
- Mayo Clinic Staff. (2020). Peptic ulcer. MayoClinic.
- MedlinePlus. Colorectal polyps.
- Cleveland Clinic.(2021). Hemorrhoids.
- Aghighi M, Taherian M, Sharma A.[Updated 2021 Aug 29]. Angiodysplasia. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2018). What is inflammatory bowel disease (IBD)?