Adakah beras perang baik untuk kita? Mungkin kita tertanya-tanya tentang manfaat dan khasiat beras perang terhadap kesihatan kita.
Berbeza dengan beras putih, beras perang ialah bijian penuh yang hanya melalui proses untuk membuang kulit luar yang tidak boleh dimakan sahaja. Ini meninggalkan beras perang dengan bran, endosperma dan germa yang padat dengan nutrien.
Oleh sebab makanan ruji rakyat Malaysia ialah nasi, jadi beras menjadi satu keperluan asas. Walau bagaimanapun, perubahan dari segi gaya hidup yang kurang aktiviti fizikal membuatkan beras putih membawa satu kesan negatif kepada kita.
Sebagai contoh, pengambilan beras putih atau nasi putih tanpa kawalan boleh membawa kepada obesiti dan kencing manis (diabetes).
Oleh itu, pilihan yang ada untuk kita ialah beras perang. Berbeza dari beras putih, beras perang kaya dengan khasiat dan kebaikannya.
Berikut merupakan beberapa khasiat dan kebaikan beras perang:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam secawan (195 gram) beras perang, terdapat nutrien seperti berikut:
- Kalori: 216
- Karbohidrat: 44.8 gram
- Serat diet: 3.5 gram
- Protein: 5 gram
- Lemak: 1.8 gram
- Folat: 7.8 mikrogram
- Vitamin B1: 0.2 miligram
- Vitamin B3: 3 miligram
- Vitamin B6: 0.3 miligram
- Kalsium: 19.5 miligram
- Zat Besi: 0.8 miligram
- Magnesium: 83.9 miligram
- Fosforus: 162 miligram
- Kalium : 83.9 miligram
- Zink: 1.2 miligram
- Mangan: 1.8 miligram
Beras perang agak tinggi dengan mineral mangan. Mineral ini penting untuk proses dalam badan seperti pembentukan tulang, penyembuhan luka, fungsi saraf, kawalan gula darah, metabolisma dan pengecutan otot. [1]
2. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Adakah beras perang boleh membantu dalam menurunkan berat badan?
Menggantikan makanan atau bijian yang bertapis seperti beras putih dengan beras perang boleh membantu mengurangkan berat badan.
Bijian yang bertapis kurang mengandungi serat berbanding bijian yang tidak bertapis.
Serat dapat membuatkan seseorang itu berasa kenyang pada jangka masa yang lebih lama. Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan pengambilan kalori secara berlebihan. [2]
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Harvard Medical School, mereka yang mengambil makanan yang tinggi serat mengalami kenaikan berat badan lebih rendah berbanding mereka yang kurang mengambil makanan berserat. [3]
3. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kencing Manis
Mengantikan bijian bertapis dengan bijian penuh dan makan sekurang-kurangnya 2 hidangan bijian penuh sehari boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis (diabetes jenis 2).
Serat, nutrien dan fitokimia dalam bijian penuh boleh memperbaiki sensitiviti insulin dan metabolisma glukosa, memperlahankan penyerapan makanan serta mencegah lonjakan gula darah. [4]
Di samping itu juga, beras perang mempunyai indeks glisemik yang lebih rendah berbanding beras putih.
Ini bermakna, nasi daripada beras perang ini dihadam lebih perlahan dan mempunyai impak yang lebih rendah pada gula darah.
4. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Penyakit kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung merupakan pembunuh utama bagi penduduk di Malaysia dan juga dunia.
Pengambilan bijian penuh seperti beras perang dapat mengurangkan jumlah kolesterol, kolesterol-LDL (kolesterol jahat), trigliserida dan paras insulin.
Dalam satu kajian, wanita yang mengambil 2 hingga 3 hidangan daripada bijian penuh setiap hari 30% lebih rendah risiko mendapat serangan jantung atau mati yang berpunca daripada penyakit jantung. [5]
Satu analisis terhadap 7 kajian menunjukkan bahawa penyakit kardiovaskular seperti strok, serangan jantung atau arteri tersumbat adalah 21% lebih kurang dihidapi oleh individu yang makan 2.5 atau lebih hidangan makanan daripada bijian penuh sehari berbanding dengan mereka yang tidak. [6]
5. Boleh Mencegah Masalah Penghadaman
Beras perang juga berkhasiat dalam membantu melancarkan sistem penghadaman dan mencegah masalah sembelit.
Bijian penuh kaya dengan serat yang dapat mengelakkan masalah sembelit dengan membuatkan najis lembut dan besar.
Selain itu, bijian penuh seperti beras perang ini juga dapat mencegah penyakit divertikulitis dengan mengurangkan tekanan pada usus. [7]
6. Bebas Gluten
Gluten ialah protein yang boleh dijumpai bijian seperti gandum dan barli.
Sesetengah orang mempunyai alahan terhadap gluten dan akan mengalami tindak balas seperti sakit perut, kembung perut, cirit-birit, dan muntah apabila memakan gluten.
Mereka yang mengalami gangguan autoimun adalah golongan yang paling bermanfaat daripada diet bebas gluten ini. [8]
Maka, beras perang adalah pilihan terbaik bagi mereka yang memerlukan makanan bebas gluten.
Rumusan
Beras perang adalah bijian penuh yang mempunyai banyak khasiat untuk badan kita.
Kajian-kajian menunjukkan bahawa pengambilan bijian penuh seperti beras perang dapat menghindarkan diri anda daripada penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis dan serangan jantung.
Selain itu, pengambilan beras perang juga boleh melancarkan sistem penghadaman dan membantu anda untuk menurunkan berat badan.
Rujukan
- Bowman, A. B. et al. (2011). Role of manganese in neurodegenerative diseases. Journal of trace elements in medicine and biology.
- Wanders, A. J. et al. (2011). Effects of dietary fibre on subjective appetite, energy intake and body weight: a systematic review of randomized controlled trials. Obesity reviews.
- Liu, S. et al. (2003). Relation between changes in intakes of dietary fiber and grain products and changes in weight and development of obesity among middle-aged women. The American journal of clinical nutrition.
- Aune, D. et al. (2013). Whole grain and refined grain consumption and the risk of type 2 diabetes: a systematic review and dose-response meta-analysis of cohort studies. European journal of epidemiology.
- Liu, S. et al. (1999). Whole-grain consumption and risk of coronary heart disease: results from the Nurses’ Health Study. The American journal of clinical nutrition.
- Mellen, P. B. et al. (2008). Whole grain intake and cardiovascular disease: a meta-analysis. Nutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
- Strate, L. L. et al. (2017). Western Dietary Pattern Increases, and Prudent Dietary Pattern Decreases, Risk of Incident Diverticulitis in a Prospective Cohort Study. Gastroenterology.
- Sollid, L. M., & Jabri, B. (2013). Triggers and drivers of autoimmunity: lessons from coeliac disease. Nature reviews. Immunology.