Kanser usus, kanser kolorektal, kanser kolon adalah nama bagi kanser yang berlaku di bahagian usus besar (kolon) dan rektum. Rektum adalah organ atau laluan yang menghubungkan kolon dengan dubur. Kedua-dua organ ini adalah bahagian akhir bagi bagi sistem pencernaan.
Statistik yang dikeluarkan oleh Registri Kanser Kebangsaan Malaysia (MNCR) 2012-2016, kanser usus atau kanser kolorektal ini adalah kanser kedua paling kerap berlaku di Malaysia iaitu sebanyak 13.5%.
Kanser ini juga turut lebih kerap berlaku dalam kalangan lelaki dan kedua paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.

Terdapat beberapa peringkat atau tahap kanser usus yang dikelaskan mengikut sejauh mana kanser itu telah merebak dan tahap-tahap ini boleh membantu doktor untuk melakukan rawatan yang terbaik.
Tahap kanser usus bermula dengan 0 hingga 4. Tahap 4 ialah tahap yang paling serius:
- Tahap 0. Tahap ini melibatkan sel-sel abnormal berada dalam lapisan pelapik dalam usus besar atau rektum.
- Tahap 1. Kanser telah menembusi pelapik atau mukosa usus besar atau rektum dan mungkin telah merebak ke lapisan otot. Kanser ini belum merebak ke nodus limfa berdekatan atau bahagian badan yang lain.
- Tahap 2. Kanser ini telah merebak ke dinding-dinding usus besar atau rektum. Atau melepasi dinding-dinding ini ke tisu-tisu berdekatan tetapi belum menjangkiti nodus limfa.
- Tahap 3. Kanser ini telah merebak ke nodus limfa tetapi belum menjangkiti bahagian badan yang lain.
- Tahap 4. Kanser ini telah merebak ke bahagian organ yang lain seperti paru-paru atau hati.
Tanda-tanda Kanser Usus
Lazimnya, pada peringkat awal kanser usus ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala. Tetapi sesetengah orang mungkin akan mengalami tanda-tanda atau gejala seperti berikut:
- Sembelit yang berulang-ulang
- Cirit-birit yang berulang-ulang
- Darah dalam najis
- Rektum berdarah
- Ketidakselesaan perut yang berulang-ulang seperti angin, kejang atau sakit
Tanda atau Gejala Tahap 3 atau 4
Pada tahap 3 atau 4, kanser usus akan menunjukkan beberapa gejala dan gejala ini lebih ketara. Selain mengalami gejala-gejala seperti di atas, pesakit juga mungkin akan mengalami:
- Penurunan berat badan tanpa dirancang
- Kelesuan yang melampau
- Buang air besar yang tidak lawas
- Muntah
- Perubahan terhadap najis yang berterusan lebih daripada sebulan
Jika kanser ini telah merebak ke bahagian badan yang lain, pesakit mungkin akan mengalami:
- Jaundis (penyakit kuning)
- Bengkak di kaki atau tangan
- Sakit kepala yang kronik
- Penglihatan kabur
- Kesukaran bernafas
Punca atau Faktor Risiko yang Menyebabkan Kanser Usus
Dalam kebanyakan kes, doktor tidak mengetahui punca sebenar yang menyebabkan kanser usus.
Secara umumnya, kanser usus bermula apabila sel-sel sihat dalam usus besar bertukar (mutasi). Sesetengah mutasi ini menyebabkan sel-sel yang abnormal untuk berkumpul dalam pelapik usus besar dan membentuk polips.
Polips ini berpotensi besar untuk menjadi kanser jika tidak dirawat. Ujian saringan boleh menjejaki polips ini dan membuangnya sebelum bertukar menjadi kanser.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan kebarangkalian seseorang itu untuk terkena kanser usus. Antaranya adalah:
- Berumur 50 tahun dan ke atas
- Mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap kanser usus
- Mempunyai sejarah kanser usus atau polips
- Mengalami penyakit keradangan usus seperti penyakit Crohn atau kolitis ulseratif
- Pemakanan tinggi lemak dan rendah serat
- Tidak aktif atau kurang aktiviti fizikal
- Obesiti dan berat berlebihan
- Merokok
- Minum arak atau alkohol
- Menghidap penyakit kencing manis (diabetes)
Rawatan Kanser Usus
Rawatan bagi kanser ini bergantung kepada lokasi kanser, tahap kanser dan masalah kesihatan lain yang mungkin dialami oleh pesakit.
Biasanya, rawatan bagi kanser usus ini melibatkan pembedahan untuk membuang kanser tersebut. Selain daripada itu, radioterapi dan kemoterapi mungkin juga disarankan.
Pembedahan bagi Kanser Tahap Awal
Bagi peringkat awal, biasanya kanser yang berlaku masih kecil dan doktor mungkin akan mencadangkan pendekatan invasif minimum untuk pembedahan. Contohnya seperti:
- Pembuangan polips semasa kolonoskopi.
- Endoscopic mucosal resection. Polips yang besar dibuang semasa kolonoskopi menggunakan alat khas.
- Pembedahan laparoskopik. Polips yang tidak dapat dibuang semasa kolonoskopi akan dibuang menggunakan pembedahan laparoskopik.
Bagi kanser yang telah merebak dalam usus besar atau melepasi usus, pakar bedah mungkin menyarankan pembedahan berikut:
- Kolektomi separa. Pakar bedah akan membuang sebahagian usus besar yang mengandungi kanser.
- Pembedahan untuk membuat bukaan untuk najis. Sekiranya usus besar atau rektum yang sihat tidak dapat disambung, pakar bedah akan membuat bukaan di dinding perut untuk menyalurkan najis keluar ke dalam bag.
- Pembuangan nodus limfa. Nodus limfa yang berdekatan dengan kanser usus biasanya turut dibuang semasa pembedahan kanser ini.
Pembedahan bagi Kanser Tahap Akhir
Bagi kanser tahap akhir dan keadaan kesihatan pesakit tidak mengizinkan, pakar bedah mungkin akan mencadangkan pembedahan untuk melegakan penyumbatan yang berlaku dalam usus besar pesakit.
Ini bertujuan untuk mengurang atau melegakan simptom-simptom yang dialami. Pembedahan ini tidak menyembuhkan kanser tetapi untuk melegakan gejala-gejala yang berlaku seperti kesakitan dan pendarahan.
Terapi
Terdapat beberapa bentuk terapi yang boleh digunakan dalam merawat penyakit ini. Antaranya adalah:
- Kemoterapi. Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat untuk membunuh sel-sel kanser.
- Radiasi. Terapi radiasi melibatkan penggunaan sumber tenaga yang kuat seperti X-ray dan proton untuk membunuh sel-sel kanser.
- Imunoterapi. Terapi ini menggunakan ubat yang menggunakan sistem imun untuk melawan kanser.
Kanser ini adalah antara kanser yang boleh dirawat terutamanya jika dijumpai pada peringkat awal.
Langkah Pencegahan
Pencegahan juga adalah langkah yang lebih daripada mengubati. Beberapa tindakan dan perubahan gaya hidup dapat melindungi kita daripada penyakit ini.
Bagi mereka yang berisiko yang berumur 50 tahun dan ke atas digalakkan untuk melakukan saringan. Manakala bagi mereka yang berisiko tinggi seperti mempunyai ahli keluarga yang pernah menghidap penyakit ini, golongan ini digalakkan untuk melakukan ujian saringan lebih awal.
Perubahan Gaya Hidup
Perubahan gaya hidup daripada gaya hidup yang tidak sihat kepada gaya hidup yang sihat boleh membantu mengurangkan risiko seseorang itu daripada terkena penyakit ini.
Selain daripada kanser ini, perubahan gaya hidup ini turut bermanfaat kepada kesihatan badan secara keseluruhannya.
Mulakan langkah pertama anda dengan:
- Melakukan senaman atau aktiviti fizikal. Lakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari. Jika anda telah lama tidak aktif, mulakan dengan beberapa kemudian tambah secara berperingkat.
- Makan makanan yang tinggi zat dan serat. Sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin penuh adalah kumpulan makanan yang banyak mengandungi serat, mineral, vitamin dan antioksidan yang boleh mencegah kanser.
- Berhenti minum arak.
- Berhenti merokok.
- Kekalkan berat badan yang sihat. Sekiranya anda telah memiliki berat badan yang ideal, cuba kekalkan berat badan ini. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, cuba kurangkan berat badan anda kepada berat badan yang ideal.
- Berpantang dalam pemakanan. Kurangkan makan daging merah, daging diproses seperti sosej dan saging burger serta kurangkan makanan berlemak.
- Kurangkan tekanan (stres).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Colon cancer. MayoClinic.
- Carmella Wint & Jennifer Nelson. (2020). Colorectal (Colon) Cancer. Healthline.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). Colorectal (Colon) Cancer.