Kanser usus besar atau kanser kolorektal adalah kanser ketiga paling banyak berlaku di dunia. Bagi anda yang didiagnosis dengan penyakit ini, artikel ini menyediakan beberapa pantang larang bagi pesakit kanser usus besar yang perlu diberi perhatian.
Kanser usus besar turut menyumbang kepada kes yang tinggi di Malaysia. Statistik menunjukkan bahawa kanser usus besar adalah kanser yang paling tinggi berlaku bagi golongan lelaki dan kedua tertinggi berlaku bagi golongan wanita.
Sebelum, semasa dan selepas rawatan, pemandiri kanser (cancer survivor) selalunya mengalami gejala-gejala berkaitan dengan nutrisi seperti perubahan dalam membuang air besar, kekejangan atau sakit di perut, kurang selera makan serta penambahan atau pengurangan berat badan yang tidak dirancang.

Kajian berskala besar dalam kalangan pemandiri kanser menunjukkan mereka yang berpegang kepada panduan pencegahan kanser oleh Dana Penyelidikan Kanser Dunia/Institut Penyelidikan Kanser Amerika (WCRF/AICR) dikaitkan dengan kematian yang lebih rendah dalam kalangan pemandiri kanser. [1]
Makanan yang Tidak Boleh Dimakan (Pantang) Oleh Pesakit Kanser Usus Besar
Terdapat beberapa jenis makanan yang tidak boleh dimakan atau perlu berpantang bagi pesakit kanser usus besar. Makanan-makanan ini boleh memberikan impak negatif atau meningkatkan risiko kepada penyakit ini.
1. Daging Merah dan Daging Diproses
Daging merah dan daging proses adalah dua jenis makanan yang perlu dielakkan oleh pesakit kanser usus besar. Pengambilan makanan jenis ini pada kadar yang banyak juga boleh meningkatkan risiko kepada kanser usus besar. [2]
Ini dibuktikan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 511 pesakit kanser usus besar. Kajian ini mendapati pengambilan daging yang tinggi mengurangkan jangka hayat penghidap kanser usus besar selama 10 tahun berbanding pesakit yang kurang mengambil daging. [3]
2. Alkohol
Pengambilan alkohol juga turut dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser usus besar. Adalah lebih elok untuk meninggalkan pengambilan alkohol ini.
Kaitan antara alkohol dengan risiko kanser usus besar dilaporkan dalam satu kajian populasi. Kajian tersebut mendapati pesakit kanser usus besar adalah lebih ramai dari kalangan mereka yang mempunyai sejarah ketagihan alkohol. [4]
3. Minuman dan Makanan Manis
Pesakit usus besar juga perlu berpantang makanan atau minuman manis.
Satu kajian terkini mendapati terdapat perkaitan antara meminum minuman bergula dengan peningkatan terbentuknya kanser usus besar dalam kalangan wanita yang berumur dibawah 50 tahun. Kajian ini mendedahkan pengambilan minuman bergula yang tinggi semasa remaja (umur 13-18 tahun) dan dewasa boleh meningkatkan risiko terhadap penyakit ini. [5]
Selain itu,terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa pengambilan gula ringkas dan minuman bergula yang tinggi semasa remaja juga mempunyai perkaitan dengan peningkatan risiko penyakit kanser usus besar. [6]
4. Makanan Diproses Ultra
Makanan diproses ultra adalah makanan yang mengandungi bahan tiruan seperti pewarna, pemanis, perisa, pengawet, pemekat, pengemulsi dan bahan tambahan lain bagi meningkatkan kesedapan dan jangka hayat makanan tersebut.
Ia juga turut tinggi dengan kandungan gula, garam dan lemak. Contoh makanan yang diproses ultra adalah:
- Mi segera
- Burger
- Nugget ayam
- Sosej atau Hotdog
- Ikan masin
- Telur masin
- Jeruk
- Snek tinggi garam seperti kerepek atau keropok
- Biskut
- Aiskrim
- Bijirin sarapan yang manis
- Roti putih
- Gula-gula
- Minuman berkarbonat
- Minuman tenaga
Kajian populasi melaporkan bahawa pengambilan makanan dan minuman yang diproses ultra dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser usus besar atau kanser kolorektal. [7]
Satu kajian terkini turut mendapati pengambilan makanan dan minuman yang diproses ultra mempunyai perkaitan positif dengan peningkatan risiko kanser usus besar berbanding mereka yang kurang mengambil makanan dan minuman yang diproses ultra. [8]
Pantang larang makanan diproses ultra bukan sahaja baik untuk pesakit kanser usus besar malah turut mendatangkan manfaat kepada mereka yang sihat.
Makanan yang Boleh Dimakan Oleh Pesakit Kanser Usus Besar
Selain rawatan kanser, pesakit kanser usus besar juga disarankan untuk mengambil makanan-makanan berikut bagi mengurangkan risiko pemerebakan kanser dan meningkatkan kesihatan badan secara keseluruhannya.
1. Buah-buahan dan Sayur-sayuran
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet harian bermanfaat kepada anda yang menghidap penyakit kanser usus besar atau mereka yang berisiko tinggi.
Kajian mengenai penyakit ini menunjukkan bahawa pengambilan buah dan sayur yang tinggi dalam diet harian berkesan untuk mengurangkan berlakunya kanser tertentu termasuklah kanser usus besar. Kesan ini mungkin disebabkan oleh kandungan antioksidan dan fitokimia yang tinggi dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. [9]
2. Makanan Tinggi Serat
Pesakit kanser usus besar atau mereka yang berisiko juga disarankan untuk membanyakkan makan makanan yang tinggi dengan serat.
Satu kajian yang melibatkan masyarakat yang rendah pengambilan serat diet melaporkan bahawa menggandakan pengambilan serat dalam bentuk makanan boleh mengurangkan risiko kanser usus besar sebanyak 40%. [10]
Amalan Lain yang Boleh Mengurangkan Risiko Kanser Usus Besar
Selain penjagaan makanan, beberapa pantang larang atau amalan lain juga perlu dilakukan oleh pesakit kanser usus besar bagi mengurangkan risiko kematian dan pemerebakan kanser ke tahap yang lebih berbahaya.
Aktiviti fizikal: Peningkatan tahap aktiviti fizikal boleh mengurangkan kematian dalam kalangan pesakit kanser usus besar.
Satu analisis yang melibatkan 7 kajian mendapati pesakit yang melakukan aktiviti fizikal selepas didiagnosis mempunyai risiko yang rendah terhadap kematian khusus akibat kanser usus besar berbanding mereka yang tidak aktif. [11]
Berhenti merokok: Sekiranya anda merokok, berhenti merokok boleh mengurangkan pemerebakan atau pertumbuhan kanser usus besar.
Hal ini demikian kerana asap rokok turut berbahaya kepada bahagian-bahagian usus seperti usus besar dan rektum. Karsinogen (agen penyebab kanser) yang terdapat dalam tembakau boleh meningkatkan pertumbuhan kanser di dalam usus besar dan rektum.
Kajian menunjukkan sebanyak 12% kematian akibat kanser usus besar adalah dikaitkan dengan tabiat merokok. [12]
Rujukan
- Glade M. J. (1999). Food, nutrition, and the prevention of cancer: a global perspective. American Institute for Cancer Research/World Cancer Research Fund, American Institute for Cancer Research, 1997. Nutrition.
- Chan, D. S. et al. (2011). Red and processed meat and colorectal cancer incidence: meta-analysis of prospective studies. PloS one.
- Zell, J. A. et al. (2007). Risk and risk reduction involving arginine intake and meat consumption in colorectal tumorigenesis and survival. International journal of cancer.
- Lin, T. C. et al. (2020). Risk of colorectal cancer in patients with alcoholism: A nationwide, population-based nested case-control study. PloS one.
- Washington University School of Medicine. (2021). Sugar-sweetened drinks linked to increased risk of colorectal cancer in women under 50, study finds: Sugary beverage consumption in adolescence, young adulthood associated with increased risk. ScienceDaily.
- Joh, H. K. et al. (2021). Simple Sugar and Sugar-Sweetened Beverage Intake During Adolescence and Risk of Colorectal Cancer Precursors. Gastroenterology.
- Romaguera, D. et al. (2021). Consumption of ultra-processed foods and drinks and colorectal, breast, and prostate cancer. Clinical nutrition.
- El Kinany, K. et al. (2022). Food processing groups and colorectal cancer risk in Morocco: evidence from a nationally representative case-control study. European journal of nutrition.
- Kamal, N. et al. (2022). Genesis and Mechanism of Some Cancer Types and an Overview on the Role of Diet and Nutrition in Cancer Prevention. Molecules.
- Bingham, S. A. et al. (2003). Dietary fibre in food and protection against colorectal cancer in the European Prospective Investigation into Cancer and Nutrition (EPIC): an observational study. Lancet.
- Je, Y. et al. (2013). Association between physical activity and mortality in colorectal cancer: a meta-analysis of prospective cohort studies. International journal of cancer.
- Zisman, A. L. et al. (2006). Associations between the age at diagnosis and location of colorectal cancer and the use of alcohol and tobacco: implications for screening. Archives of internal medicine.