Kanser esofagus adalah kanser yang berlaku di dalam esofagus. Esofagus adalah saluran seperti tiub yang memanjang dari kerongkong hingga ke perut anda. Esofagus ini berfungsi untuk membantu membawa makanan yang dimakan dari kerongkong hingga ke perut anda.
Kanser esofagus adalah kanser keenam tertinggi yang menyebabkan kematian di seluruh dunia. Kanser ini juga lebih banyak berlaku kepada lelaki berbanding wanita.
Biasanya,kanser ini bermula di dalam sel-sel yang berada di esofagus. Ia boleh berlaku di mana-mana bahagian disepanjang esofagus tersebut.
Terdapat dua jenis kanser esofagus yang paling kerap berlaku iaitu adenokarsinoma dan karsinoma sel skuamus. Dua jenis kanser ini cenderung untuk terbentuk di bahagian-bahagian berbeza dan didorong oleh perubahan genetik yang berbeza.
Jenis-jenis Kanser Esofagus
Kanser esofagus dikelaskan mengikut jenis sel-sel yang terlibat. Rawatan terhadap kanser ini akan bergantung kepada jenis-jenis tersebut.
- Jenis adenokarsinoma: Adenokarsinoma bermula di dalam sel-sel kelenjar yang merembeskan lendir (mukosa). Adenokarsinoma sering berlaku di bahagian bawah esofagus.
- Jenis karsinoma sel skuamus: Sel skuamus adalah sel rata dan nipis yang melapisi permukaan esofagus. Karsinoma sel skuamus lazimnya berlaku pada bahagian atas dan tengah esofagus.
Simptom-simptom atau Gejala
Simptom-simptom atau gejala kanser esofagus adalah seperti berikut:
- Sukar untuk menelan
- Sakit dada atau rasa tekanan
- Batuk atau suara serak
- Pedih ulu hati
- Ketidakhadaman yang semakin teruk
- Penurunan berat badan tanpa dirancang
Pada peringkat awal, kanser ini biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala atau simptom-simptom.
Punca
Punca sebenar yang menyebabkan kanser esofagus tidak diketahui dengan jelas. Tetapi penyakit ini berlaku apabila sel-sel di dalam esofagus membentuk mutasi.
Perubahan tersebut menyebabkan sel-sel membesar dan membahagi tanpa kawalan. Pengumpulan sel-sel abnormal ini akan membentuk tumor di dalam esofagus yang kemudiannya merebak ke bahagian lain.
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor risiko yang meningkatkan risiko berlakunya kanser ini.
Antara faktor risiko tersebut adalah:
- Merokok
- Menghidap penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
- Obesiti
- Meminum alkohol
- Mengalami refluks hempedu
- Tabiat yang suka minum air panas
- Tidak makan buah-buahan dan sayur-sayuran
- Mempunyai perubahan prakanser dalam sel-sel esofagus
- Mengalami kesukaran menelan akibat sfinkter esofagus yang tidak mengendur
- Pernah menjalani rawatan radiasi pada bahagian dada atau abdomen
Diagnosis
Beberapa ujian atau pemeriksaan mungkin dijalankan oleh doktor semasa mendiagnosis penyakit ini. Antaranya adalah:
- Pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan
- Sinaran-X: Sinaran-X di bahagian dada
- Esofagoskopi: Pemeriksaan endoskopi pada esofagus
- Biopsi: Pengambilan sedikit tisu untuk dilihat dibawah mikroskop
Rawatan
Terdapat beberapa jenis rawatan terhadap pesakit kanser esofagus.
Pesakit biasanya memerlukan pemakanan yang khusus semasa rawatan kanser tersebut akibat sukar untuk menelan. Keadaan ini disebabkan oleh saluran esofagus yang menyempit akibat tumor atau kesan sampingan rawatan. Sesetengah pesakit mungkin menerima nutrien melalui vena (urat) atau menggunakan tiub pemakanan.
7 jenis rawatan standard bagi kanser ini adalah:
- Pembedahan: Pembedahan adalah rawatan paling lazim bagi kanser ini. Sebahagian daripada esofagus akan dibuang dalam pembedahan tersebut.
- Terapi radiasi: Terapi ini menggunakan sinaran-X bertenaga tinggi atau sinaran lain untuk membunuh sel-sel kanser.
- Kemoterapi: Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat untuk menghentikan pertumbuhan sel-sel kanser.
- Terapi laser: Terapi laser menggunakan pancaran laser untuk membunuh sel-sel kanser.
- Chemoradiation therapy: Terapi ini mengabungkan kemoterapi dan terapi radiasi untuk meningkatkan keberkesanan kedua-dua rawatan ini.
- Penggumpalan elektrik: Rawatan ini menggunakan arus elektrik untuk membunuh sel-sel kanser.
- Imunoterapi: Terapi ini menggunakan sistem imun pesakit untuk melawan kanser.
Komplikasi
Sekiranya kanser esofagus ini merebak dan tidak dirawat, kanser ini boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Halangan di dalam esofagus: Penyakit ini boleh menyebabkan makanan atau minuman sukar untuk melalui esofagus anda.
- Perdarahan di dalam esofagus: Penyakit ini boleh menyebabkan perdarahan di dalam esofagus. Perdarahan ini boleh terjadi secara tiba-tiba atau teruk pada satu-satu masa.
- Kesakitan: Kanser ini boleh menyebabkan kesakitan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Esophageal cancer. MayoClinic
- PDQ® Adult Treatment Editorial Board. (2021). PDQ Esophageal Cancer Treatment (Adult). Bethesda, MD: National Cancer Institute.
- Recio-Boiles A, Babiker HM. [Updated 2021 Jul 21]. Esophageal Cancer. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing.