Jangkitan kulat pada faraj ialah jangkitan kulat yang biasa berlaku di bahagian kemaluan wanita. Jangkitan ini menyebabkan kegatalan, radang, iritasi dan lelehan faraj.
Jangkitan kulat pada faraj atau vagina turut dipanggil vaginal Candidiasis atau vulvovaginal Candidiasis (VVC). Jangkitan ini biasanya berlaku kepada wanita tetapi boleh juga berlaku kepada zakar lelaki.
Jangkitan kulat pada faraj tidak dianggap sebagai penyakit hubungan jenis (STD). Tetapi, terdapat peningkatan risiko jangkitan kulat pada faraj semasa aktiviti seksual biasa yang pertama.
Terdapat juga beberapa bukti bahawa jangkitan mungkin dikaitkan dengan sentuhan mulut dengan genital (seks oral).
Ubat-ubatan boleh merawat jangkitan kulat pada faraj dengan berkesan. Jika anda mengalami jangkitan kulat berulang-ulang, anda mungkin memerlukan rawatan yang lebih lama.
Tanda atau Gejala-gejala Jangkitan
Jangkitan yang berlaku boleh berkisar dari ringan hingga sederhana.
Beberapa tanda atau gejala jangkitan yang dapat dirasai dan diperhatikan adalah seperti berikut:
- Kegatalan pada faraj
- Kemerahan
- Ruam
- Bengkak disekeliling faraj
- Sakit ketika melakukan hubungan seks
- Rasa sakit ketika kencing
- Lelehan berair dari faraj
Lelehan faraj yang berwarna putih yang kelihatan seperti cottage cheese adalah antara tanda lain yang boleh dikenalpasti.
Kebiasaannya, jangkitan ini akan bertambah teruk sekiranya dibiarkan atau tidak dirawat dengan segera.
Punca Jangkitan Kulat pada Faraj
Punca jangkitan kulat pada faraj adalah daripada kulat atau fungus jenis Candida albicans.
Faraj wanita secara semula jadinya mempunyai campuran kandungan yis yang seimbang termasuklah candida dan bakteria. Bakteria seperti lactobacillus bertindak sebagai pencegah kepada pertumbuhan terlampau yis.
Namun, keseimbangan ini boleh terganggu dan menyebabkan pertumbuhan melampau fungus candida atau penembusan fungus ke dalam lapisan-lapisan sel-sel faraj.
Pertumbuhan terlampau kulat atau yis ini boleh berpunca daripada:
- Kehamilan
- Penggunaan antibiotik
- Penyakit kencing manis yang tidak terkawal
- Sistem imunisasi yang terjejas
- Terapi hormon yang menyebabkan peningkatan paras hormon estrogen
Faktor Risiko
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko berlakunya jangkitan kulat. Antaranya adalah:
- Penggunaan antibiotik: Jangkitan kulat adalah perkara biasa pada wanita yang mengambil antibiotik. Antibiotik spektrum luas membunuh pelbagai bakteria, juga membunuh bakteria sihat dalam faraj anda yang membawa kepada pertumbuhan berlebihan kulat (yis).
- Peningkatan paras estrogen: Jangkitan kulat juga lebih kerap berlaku pada wanita yang mempunyai tahap estrogen yang lebih tinggi. Contohnya seperti wanita hamil atau wanita yang mengambil pil kawalan kelahiran atau terapi hormon estrogen.
- Sistem imun yang lemah: Wanita yang mempunyai sistem imun lemah lebih mudah terdedah kepada jangkitan kulat.
- Penyakit kencing manis tidak terkawal: Wanita yang mempunyai paras gula darah yang tidak terkawal berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan kulat berbanding wanita yang mempunyai gula darah yang terkawal.
Rawatan Perubatan
Rawatan kepada jangkitan kulat pada faraj ini bergantung kepada tahap kerumitannya.
Bagi jangkitan yang biasa hingga sederhana, rawatan yang biasa diberikan terbahagi kepada dua iaitu terapi faraj atau ubat-ubatan.
- Terapi faraj jangka pendek: Pengambilan ubat antifungus selama 3 hingga 7 hari biasanya boleh menyembuhkan jangkitan ini. Antara ubat yang biasanya digunakan ialah miconazole (Monistat 3) dan terconazole.
- Ubat makan satu dos: Kebiasaannya, doktor akan menetapkan satu dos ubat fluconazole (Diflucan) untuk satu kali penggunaan. Ubat makan tidak digalakkan sekiranya anda hamil.
Bagi kes yang lebih teruk atau anda kerap mendapat jangkitan ini, rawatan yang mungkin disarankan oleh doktor adalah seperti berikut:
- Terapi faraj jangka panjang: Doktor mungkin akan menetapkan ubat antifungus untuk diambil secara harian selama 2 minggu, diikuti sekali seminggu selama 6 bulan.
- Ubat makan pelbagai dos: Doktor mungkin akan menetapkan 2 atau 3 dos ubat antifungus untuk diambil secara makan.
- Terapi rintangan azole: Kapsul yang terdiri daripada asid borik mungkin disarankan. Kapsul ini dimasukkan ke dalam faraj untuk merawat kulat candida. Kapsul ini boleh menyebabkan kematian sekiranya dimakan atau ditelan.
Berapa Lama Jangkitan Kulat Berlaku?
Kebanyakan jangkitan kulat hilang dengan ubat selepas beberapa hari, tetapi ia mungkin mengambil masa seminggu penuh.
Bagi kes yang lebih teruk ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk dirawat. Pastikan anda menggunakan ubat seperti yang diarahkan dan jangan berhenti mengambilnya terlalu cepat atau jangkitan mungkin kembali.
Rawatan Dirumah
Terdapat juga rawatan alternatif yang kadangkala boleh digunakan untuk merawat jangkitan yis ini.
Yogurt
Yogurt terutamanya yang asli dan kosong (tanpa campuran) yang mengandungi bakteria baik Lactobacillus boleh digunakan untuk merawat jangkitan pada faraj ini.
Yogurt ini boleh disapukan pada permukaan luar faraj atau di dalam faraj. Yogurt ini juga boleh diambil secara makan.
Satu kajian terhadap 129 orang pesakit jangkitan ini mendapati penggunaan madu lebah dan yogurt adalah rawatan yang berkesan untuk merawat jangkitan fungus ini. [1]
Kajian lain turut menunjukkan kesan yang sama di mana yogurt dan madu lebah digunakan untuk merawat jangkitan yis ini. Campuran yogurt dan madu lebah ini menunjukkan kesan penyembuhan yang sama dengan ubat clotrimazole. [2]
Adalah penting untuk pastikan yogurt yang digunakan adalah yogurt asli dimana tiada campuran bahan asing seperti gula. Gula boleh memburukkan keadaan kerana gula boleh menyebabkan kulat (yis) bertambah.
Pastikan juga tangan yang hendak digunakan untuk menyapu yogurt itu bersih.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jangkitan kulat pada faraj adalah masalah biasa dan boleh dirawat. Walau bagaimanapun, mungkin agak sukar untuk mengenal pasti masalah ini terutamanya pertama kali menghidapnya.
Oleh itu, adalah terbaik untuk berjumpa doktor dan mendapatkan nasihat dan rawatan daripada doktor.
Rujukan
- Abdelmonem, A. M. et al. (2012). Bee-honey and yogurt: a novel mixture for treating patients with vulvovaginal candidiasis during pregnancy. Archives of gynecology and obstetrics.
- Darvishi, M. et al. (2015). The Comparison of vaginal cream of mixing yogurt, honey and clotrimazole on symptoms of vaginal candidiasis. Global journal of health science.