Bagi wanita, coli atau bra adalah pakaian dalam yang wajib pada waktu siang. Bagi anda yang memilih atau ragu-ragu untuk tidak memakai coli semasa tidur, artikel ini menyenaraikan beberapa manfaat tidur tidak memakai coli (bra) kepada anda.
Menjadi satu perdebatan mengenai tidur memakai coli atau tidak. Namun, tiada bukti perubatan atau kajian yang menyokong mana-mana tuntutan ini. Ia lebih kepada pengalaman individu.
Ramai yang memilih untuk tidak memakai coli semasa tidur kerana keselesaan. Bagi anda yang masih ragu-ragu atau sukar untuk membuat pilihan, berikut adalah manfaat tidur tidak memakai coli atau bra:
1. Mendatangkan Keselesaan
Tidur dengan tidak memakai coli mendatangkan keselesaan dan membuatkan anda berasa lebih relaks.
Keselesaan ini membolehkan anda untuk mendapatkan tidur yang lebih berkualiti dan berasa lebih baik pada keesokkan harinya.
Jika badan dan otot anda tegang, anda mungkin mengalami gangguan tidur dan berasa tidak bermaya pada keesokkan harinya.
2. Memudahkan Pernafasan
Manfaat tidur tidak memakai coli yang berikutnya adalah memudahkan pernafasan.
Apabila berbaring, saluran pernafasan atas anda menjadi lebih sempit, menjadikannya lebih sukar untuk udara sampai ke paru-paru anda.
Pakaian dan pakaian dalam yang ketat menyekat pergerakan udara di dada anda. Memakai coli terutamanya yang ketat semasa tidur akan menyebabkan tulang rusuk anda tidak boleh mengembang sepenuhnya atau mengembang dengan bebas.
3. Menjamin Kebersihan yang Lebih Baik
Tidur tidak memakai coli juga boleh menjamin kebersihan yang lebih baik.
Memakai coli semasa tidur terutamanya pada cuaca panas boleh menyebabkan malam yang lebih panas dan berpeluh.
Pengumpulan peluh dalam coli anda boleh menyebabkan bau badan dan jerawat. Tambahan lagi, kulit yang selalu lembap dan berpeluh juga berisiko untuk mengalami jangkitan kulat.
4. Mencegah Kecederaan
Tidak memakai coli semasa tidur juga boleh mencegah daripada berlakunya kecederaan akibat daripada butang, cangkuk dan tali.
Bahagian-bahagian ini boleh mencucuk dan menggosok kulit anda berulang-ulang kali mengakibatkan kemerahan dan melecet.
5. Mencegah Hiperpigmentasi dan Parut
Seperti pakaian yang ketat, coli yang ketat juga boleh meninggalkan kesan gelap atau lekukan pada kulit anda.
Kerap memakai coli pada waktu malam menggalakkan kesan tersebut menjadi kekal. Pertimbangkan untuk memilih pakaian dalam yang longgar untuk memberikan kulit anda rehat dan kelonggaran yang sangat diperlukan.
Adakah Tidur Memakai Coli (Bra) Tidak Baik?
Tiada kajian perubatan yang menunjukkan sebarang kesan negatif daripada tidur dengan memakai coli.
Bagi wanita yang mempunyai payudara yang besar yang mengalami pergerakan ketara pada waktu malam mungkin mendapat manfaat dengan memakai coli semasa tidur.
Sesetengah wanita mempunyai payudara yang menyakitkan, berbonjol-bonjol dan memakai coli lembut semasa tidur boleh membantu mengehadkan pergerakan payudara semasa tidur.
Sesetengah orang berpendapat bahawa memakai coli semasa tidur boleh mencegah payudara daripada menjadi kendur.
Tanggapan ini adalah kurang tepat kerana memakai coli tidak mencegah payudara daripada menjadi kencur.
Sebaliknya terdapat faktor-faktor lain yang menjadi penyebab kepada payudara yang mengendur, antaranya adalah:
- Genetik atau keturunan
- Graviti
- Perubahan hormon semasa menopaus
- Merokok
- Mengandung dan menyusukan anak
- Senaman tanpa sokongan
- Berat badan yang naik dan turun secara berterusan
Rujukan
- Targonskaya, A. (2023). Wearing a Bra at Night: Is Sleeping in a Bra Harmful? Flo
- Perez, M. (2020). Is Sleeping in a Bra Bad for You? Here’s What You Should Know. Healthline