Jangkitan kulat menjejaskan ramai orang. Terdapat banyak pendekatan rawatan yang boleh dilakukan untuk melawan jangkitan kulat tersebut dan terdapat juga makanan yang berkesan melawan jangkitan kulat terutamanya kulat Candida.
Kulat atau yis Candida seperti kulat Candida albicans adalah antara kulat yang paling banyak menjangkiti manusia.
Jangkitan kulat pada faraj atau vagina candidiasis adalah antara jangkitan kulat yang banyak dihadapi oleh wanita. Balanitis pula adalah jangkitan kulat yang sering terjadi kepada golongan lelaki.
Jangkitan kulat atau yis Candida banyak berlaku kerana kulat ini lazimnya terdapat pada kulit manusia terutamanya kulit yang lembap.
Mujurlah, terdapat beberapa jenis makanan dan perubahan diet yang boleh membantu melawan jangkitan kulat Candida ini.
1. Probiotik
Pengambilan antibiotik boleh meningkatkan risiko kepada jangkitan kulat, dos yang kuat boleh turut membunuh bakteria baik yang terdapat dalam usus anda.
Bakteria-bakteria ini adalah sebahagian daripada pertahanan semula jadi badan anda terhadap kulat Candida. Bakteria tersebut akan memastikan populasi kulat Candida tidak tumbuh secara berlebihan. [1]
Probiotik boleh membantu memulihkan populasi bakteria baik ini. Probiotik ialah bakteria hidup yang sering ditemui dalam makanan yang difermentasi seperti yogurt dengan kultur aktif.
Ia juga boleh diambil dalam makanan tambahan (suplemen).
Penyelidikan menunjukkan bahawa probiotik boleh melawan jangkitan Candida.
Satu kajian yang melibatkan 215 orang dewasa mendapati pengambilan lozeng yang mengandungi 2 strain probiotik Lactobacillus reuteri boleh mengurangkan jumlah kulat Candida dalam mulut mereka dengan ketara. [2]
2. Minyak Kelapa
Minyak kelapa juga merupakan makanan yang boleh melawan jangkitan kulat Candida.
Hal ini demikian kerana minyak kelapa kaya dengan kandungan asid laurik. Asid laurik adalah asid lemak tepu yang mempunyai ciri-ciri antikulat.
Kajian tabung uji menunjukkan bahawa asid laurik dan minyak kelapa adalah berkesan dalam menghapuskan kulat Candida. [3, 4]
Ciri-ciri antikulat minyak kelapa ini menjadikannya sesuai untuk digunakan sebagai pencuci mulut sekiranya anda mengalami jangkitan kulat Candida di mulut.
3. Bawang Putih
Bawang putih sememangnya terkenal dengan nilai-nilai perubatannya. Bawang putih mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai alisin.
Alisin ini mempunyai ciri-ciri antibakteria dan antikulat. Ia banyak digunakan dalam rawatan perubatan dan kajian.
Walaupun tiada jawapan perubatan yang pasti sama ada bawang putih boleh menyembuhkan jangkitan kulat, alisin boleh digunakan untuk mencegah jangkitan kulat atau memperbaiki keadaan semasa, terutamanya apabila ia digunakan bersama-sama dengan ubat antikulat.
Satu kajian pada 2010 membandingkan keberkesanan krim taim dan bawang putih dengan clotrimazole iaitu krim antikulat yang digunakan untuk merawat jangkitan kulat pada faraj. Mereka mendapati krim taim dan bawang putih ini mempunyai kesan yang sama seperti krim clotrimazole. [5]
Bawang putih boleh diambil secara oral (makan) atau topikal (sapuan). Tablet oral atau krim bawang putih boleh didapati secara belian kaunter.
4. Kunyit
Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai kurkumin. Kurkumin ini menyumbang kepada sebahagian besar khasiat kunyit.
Terdapat kajian-kajian tabung uji yang menunjukkan bahawa kurkumin boleh membunuh kulat Candida atau mengurangkan pertumbuhan kulat tersebut. [6, 7]
Namun begitu, kajian terhad kepada tabung uji. Tidak jelas sama ada suplemen kurkumin mempunyai kesan yang sama kepada manusia.
Walau bagaimanapun, anda boleh terus mengamalkan pemakanan yang mengandungi kunyit dalam diet harian yang mungkin secara tidak langsung dapat mencegah jangkitan kulat.
5. Makanan Rendah Gula
Diet rendah gula atau makanan rendah gula adalah salah satu cara untuk melawan jangkitan kulat seperti Candida.
Kulat seperti Candida boleh tumbuh dengan cepat pada persekitaran yang mempunyai gula.
Malah, paras gula yang tinggi dalam darah anda boleh meningkatkan risiko untuk anda dijangkiti oleh kulat Candida.
Kajian terhadap manusia mendapati berkumur dengan gula terlarut (sukrosa) telah dikaitkan dengan peningkatan jangkitan dan jumlah kulat (yis) yang lebih tinggi di dalam mulut. [8]
Sebaliknya, satu ujian klinikal yang lain mendapati bahawa diet tinggi gula tidak menjejaskan pertumbuhan Candida albicans dalam mulut atau sistem pencernaan. [9]
Walaupun diet rendah gula mungkin tidak selalu berkesan terhadap kulat, menghapuskan gula tambahan daripada diet anda akan meningkatkan kesihatan anda dalam banyak cara lain.
Rumusan
Sekiranya anda berasa anda mengalami jangkitan kulat, adalah penting untuk anda mendapatkan rawatan daripada ahli profesional kesihatan bagi mendapatkan ubat antikulat.
Makanan-makanan yang dinyatakan ini boleh menyokong rawatan perubatan yang diberikan bagi melawan jangkitan kulat serta mencegahnya daripada berulang-ulang.
Rujukan
- Kennedy, M. J., & Volz, P. A. (1985). Ecology of Candida albicans gut colonization: inhibition of Candida adhesion, colonization, and dissemination from the gastrointestinal tract by bacterial antagonism. Infection and immunity.
- Kraft-Bodi, E. et al. (2015). Effect of Probiotic Bacteria on Oral Candida in Frail Elderly. Journal of dental research.
- Ogbolu, D. O. et al. (2007). In vitro antimicrobial properties of coconut oil on Candida species in Ibadan, Nigeria. Journal of medicinal food.
- Bergsson, G. et al. (2001). In vitro killing of Candida albicans by fatty acids and monoglycerides. Antimicrobial agents and chemotherapy.
- Bahadoran, P. et al. (2010). Investigating the therapeutic effect of vaginal cream containing garlic and thyme compared to clotrimazole cream for the treatment of mycotic vaginitis. Iranian journal of nursing and midwifery research.
- Neelofar, K. et al. (2011). Curcumin as a promising anticandidal of clinical interest. Canadian journal of microbiology.
- Khan, N. et al. (2012). Anticandidal activity of curcumin and methyl cinnamaldehyde. Fitoterapia.
- Olsen, I., & Birkeland, J. M. (1976). Initiation and aggravation of denture stomatitis by sucrose rinses. Scandinavian journal of dental research.
- Weig, M. et al. (1999). Limited effect of refined carbohydrate dietary supplementation on colonization of the gastrointestinal tract of healthy subjects by Candida albicans. The American journal of clinical nutrition.