Apa itu Insulin?
Insulin ialah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar pankreas. Kelenjar pankreas terletak di bahagian belakang perut. Insulin membenarkan badan anda menggunakan glukosa untuk tenaga. Glukosa adalah gula ringkas yang terdapat di dalam kebanyakan karbohidrat (makanan).
Apabila seseorang makan, karbohidrat yang dimakan akan diuraikan di dalam saluran pencernaan dan berubah menjadi glukosa. Glukosa tersebut kemudiannya akan diserap ke dalam aliran darah anda melalui lapisan usus kecil.
Sebaik sahaja glukosa berada dalam aliran darah, insulin akan memberi isyarat kepada sel-sel di seluruh badan anda untuk menyerap glukosa tersebut dan menggunakannya untuk tenaga.
Insulin juga membantu mengimbangi paras glukosa dalam darah anda. Apabila terdapat terlalu banyak glukosa dalam aliran darah anda, hormon ini akan memberitahu badan untuk menyimpan lebihan glukosa di dalam hati.
Glukosa yang disimpan tidak dilepaskan sehingga paras glukosa darah anda berkurangan. Paras glukosa darah anda mungkin berkurangan antara waktu makan atau apabila badan anda tertekan atau memerlukan tenaga tambahan.
Kaitan antara Insulin dan Diabetes
Diabetes atau penyakit kencing manis berlaku apabila badan tidak menggunakan insulin dengan betul atau menghasilkan insulin yang cukup. Diabetes dibahagikan kepada 2 jenis iaitu jenis 1 dan jenis 2.
Diabetes jenis 1 adalah penyakit autoimun iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan sistem imun badan menyerang sel-sel yang sihat. Bagi pesakit diabetes jenis 1, badan mereka tidak menghasilkan insulin dengan betul akibat sisem imun telah menyerang sel-sel yang menghasilkan hormon tersebut di dalam kelenjar pankreas.
Diabetes jenis 2 pula sel-sel badan tidak bertindak balas dengan normal terhadap insulin. Keadaan ini dipanggil rintangan insulin. Oleh itu, kelenjar pankreas menghasilkan lebih banyak insulin untuk cuba mendapatkan tindak balas sel-sel bagi mengekalkan paras gula yang normal. Selepas beberapa tahun, pankreas tidak dapat bersaing dan gula darah anda meningkat.
Sejak awal abad ke-20, doktor telah dapat mengasingkan insulin dan menyediakannya dalam bentuk suntikan untuk menambah hormon tersebut bagi orang yang tidak dapat menghasilkannya sendiri atau mengalami rintangan insulin.
Jenis-jenis Insulin
Jenis insulin yang dipreskripsi akan bergantung kepada beberapa faktor seperti:
- Usia
- Tahap aktiviti
- Jangka masa untuk badan menyerap insulin
- Jangka masa untuk insulin kekal aktif di dalam badan
Jenis insulin yang sesuai untuk anda bergantung kepada bila dan sejauh mana kesannya terhadap paras glukosa darah anda, termasuk:
- Permulaan tindakan – Bila ia mula bertindak menurunkan paras glukosa darah.
- Puncak tindakan – Bilakah kesannya di tahap maksimum terhadap paras glukosa darah.
- Jangka masa tindakan – Berapa lamakah tindakan keseluruhannya bertahan.
Berikut adalah jenis-jenis insulin dan jangka masa tindakan.
Jenis | Nama dan jenama | Permulaan Tindakan | Puncak Tindakan | Jangka masa Tindakan |
---|---|---|---|---|
Tindakan cepat | Insulin lispro (Humalog) Insulin aspart (NovoLog) | 10-30 minit | 1/2-3 jam | 3-5 jam |
Tindakan pendek | Insulin regular (Humulin R, Novolin R) Insulin regular buffered (Velosulin) | 30-60 minit | 2-5 jam | 5-8 jam |
Tindakan sederhana | Isophane insulin (Humulin N, Novolin N) Insulin zinc (Humulin L) | 1-2 jam | 2-12 jam | 14-24 jam |
Tindakan panjang | Insulin zinc extended (Humulin U) | 1/2-3 jam | 4-20 jam | 20-36 jam |
Tindakan panjang | Insulin glargine (Lantus) | 1/2-3 jam | Tiada puncak | Sehingga 24 jam |
Bagaimana untuk Menyimpan Insulin?
Seperti makanan, insulin tidak mempunyai jangka hayat selama-lamanya. Anda disarankan untuk menyimpan sebarang insulin yang tidak digunakan di dalam peti sejuk. Walau bagaimanapun, menyuntik insulin sejuk boleh menyebabkan suntikan berasa lebih menyakitkan.
Oleh sebab itu, amalan terbaik ialah menyimpan botol insulin yang sedang anda gunakan di tempat yang selamat, jauh daripada haba dan cahaya matahari. Insulin yang disimpan pada suhu bilik boleh bertahan kira-kira sebulan.
Jangan simpan insulin di dalam penyejuk beku (freezer) dan sentiasa semak tarikh luput sebelum menggunakannya.
Rujukan
- Othman, N.H et al. (2008). Insulin. MyHealth KKM. http://www.myhealth.gov.my/insulin/
- DiGiacinto, J. & Higuera, V. (2021). Everything You Need to Know About Insulin. Healthline