Diabetes atau penyakit kencing manis merupakan antara penyakit kronik yang banyak dihidapi individu dewasa di negara ini. Menurut statistik yang dilaporkan dalam kajian Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens diabetes di Malaysia telah meningkat kepada 18.3% pada 2019.
Secara umumnya, diabetes boleh dikategorikan kepada dua jenis utama. Jenis yang pertama iaitu diabetes jenis 1, lazimnya dapat dikesan sejak usia muda. Punca berlakunya diabetes jenis 1 masih tidak dapat dipastikan secara tepat.
Namun, salah satu faktor penyumbang kepada diabetes jenis 1 adalah antibodi badan yang menyerang sel-sel pankreas hingga penghasilan insulin dalam badan terjejas.

Jenis kedua pula ialah diabetes jenis 2. Biasanya, diabetes jenis 2 dikesan pada usia yang lebih lewat. Penyakit diabetes jenis 2 dipengaruhi pelbagai faktor seperti gaya hidup yang tidak sihat, berat badan berlebihan dan sejarah ahli keluarga yang turut menghidap penyakit diabetes.
Selain dua kumpulan yang utama ini, diabetes juga boleh terjadi semasa kehamilan dan dikenali sebagai gestational diabetes mellitus (GDM). Kebiasaannya, GDM boleh sembuh setelah ibu tersebut melahirkan anak.
Namun begitu, ibu yang pernah mengalami GDM mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap diabetes jenis 2 pada masa akan datang.
Fungsi Insulin dalam Mengawal Paras Gula Darah
Tubuh manusia menghasilkan sendiri insulin sepanjang hari melalui kelenjar pankreas. Insulin akan lebih banyak dirembeskan oleh pankreas selepas makan.
Proses ini berlaku supaya badan dapat memanfaatkan gula yang diperoleh daripada makanan sebagai sumber tenaga.
Namun begitu, kelenjar pankreas bagi pesakit diabetes berkemungkinan tidak berfungsi dengan baik atau badan mereka sendiri yang menjadi kurang sensitif terhadap insulin.
Apabila keadaan ini terjadi, gula di dalam darah tidak dapat dibawa masuk ke dalam sel-sel badan untuk dimanfaatkan sebagai sumber tenaga.
Manfaat Insulin kepada Pesakit Diabetes
Suntikan insulin telah didapati berkesan untuk membantu dalam mengawal gula darah dan sebahagian pesakit diabetes telah dimulakan dengan suntikan insulin.
Namun, terdapat segelintir daripada mereka yang tidak patuh kepada rawatan kerana berasa bimbang untuk menyuntik insulin.
Pesakit tidak seharusnya berasa khuatir untuk menyuntik insulin. Insulin yang dibekalkan kepada pesakit sebenarnya menyerupai insulin semula jadi yang dihasilkan oleh badan.
Insulin bertindak seperti kunci yang membenarkan gula dari dalam darah dibawa masuk ke dalam sel-sel badan supaya badan dapat menukarkannya kepada tenaga. Jika tidak, pesakit menjadi tidak bertenaga tanpa insulin.
Suntikan insulin ibarat penyelamat kepada pesakit diabetes jenis 1 kerana badan mereka tidak mampu menghasilkan insulin dengan mencukupi.
Tanpa insulin, mereka tidak mampu mendapat tenaga daripada makanan untuk berfungsi dengan baik dan cenderung mendapat komplikasi diabetik ketoasidosis yang boleh mengancam nyawa.
Diabetik ketoasidosis ialah keadaan yang berlaku apabila sel-sel badan tidak dapat menghasilkan tenaga daripada gula kerana insulin tidak mencukupi.
Sebagai langkah timbal balik, badan akan mula menggunakan lemak untuk menghasilkan tenaga dan secara tidak langsung menyebabkan penghasilan keton.
Keton yang berlebihan menyebabkan keadaan berasid di dalam darah dan mengakibatkan pesakit menjadi lemah, muntah-muntah serta mengalami kesukaran bernafas dan berisiko untuk koma.
Pesakit diabetes jenis 2 pula boleh memanfaatkan suntikan insulin sebagai salah satu ubat yang boleh digunakan dalam rawatan diabetes.
Di samping itu, mereka juga harus mengawal pengambilan gula dan karbohidrat serta melakukan senaman atau aktiviti fizikal secara berkala untuk memastikan diabetes terkawal.
Faktor-faktor yang Menyebabkan Ketidakpatuhan Kepada Suntikan Insulin
Terdapat beberapa faktor yang menjadi penyumbang kepada ketidakpatuhan dalam kalangan pesakit diabetes terhadap suntikan insulin.
Antaranya adalah:
1. Salah Faham Tentang Insulin
Walaupun insulin terbukti berkesan dalam mengawal penyakit diabetes, namun masih terdapat salah faham yang menyebabkan pesakit berasa takut untuk menyuntik insulin dan akhirnya mengakibatkan ketidakpatuhan kepada rawatan.
Antara beberapa salah faham tentang insulin termasuklah:
- Penggunaan insulin adalah untuk sepanjang hayat: Selain insulin, terdapat beberapa jenis ubat antidiabetes yang boleh digunakan untuk merawat diabetes. Doktor yang merawat boleh mempertimbangkan untuk menghentikan insulin selepas melakukan penilaian status kesihatan pesakit yang menyeluruh. Rawatan diabetes boleh disesuaikan mengikut status kesihatan semasa dengan menggunakan ubat antidiabetes yang lain sekiranya perlu.
- Insulin akan menyebabkan kerosakan buah pinggang: Kajian menunjukkan bahawa dua punca utama kerosakan buah pinggang ialah penyakit diabetes dan hipertensi yang tidak terkawal. Jika penyakit diabetes tidak dikawal dengan baik, gula berlebihan di dalam darah akan menyebabkan salur darah pada buah pinggang menjadi rosak. Perkara ini lama-kelamaan akan menyebabkan fungsi buah pinggang semakin merosot.
- Suntikan insulin agak menyakitkan: Kesakitan semasa suntikan insulin dapat dikurangkan dengan mengamalkan teknik suntikan yang betul, seperti menggunakan jarum baharu pada setiap kali suntikan, menyuntik di kawasan yang berlemak seperti kawasan perut, dan mencubit kulit semasa suntikan supaya jarum tidak menembusi otot.
2. Bimbang Mengalami Hipoglisemia Selepas Suntikan Insulin
Suntikan insulin berisiko menyebabkan hipoglisemia iaitu keadaan apabila gula di dalam darah terlalu rendah.
Hipoglisemia boleh berlaku disebabkan oleh masa suntikan insulin yang tidak tepat, dos insulin yang berlebihan, pesakit kurang makan atau terlebih melakukan aktiviti fizikal.
Tanda-tanda hipoglisemia termasuklah:
- Berasa lapar
- Gelisah
- Berdebar-debar
- Berpeluh
- Menggeletar
- Pening
- Sakit kepala
- Kurang bertenaga
- Penglihatan kabur
- Keliru dan rasa terganggu.
Gejala-gejala ini berlaku apabila paras gula di dalam darah kurang daripada 4.00 mmol/L.
Jika keadaan ini tidak ditangani segera dengan pengambilan makanan atau minuman bergula, keadaan pesakit boleh menjadi lebih serius.
Oleh sebab itu, sebelum pesakit memulakan rawatan insulin, mereka akan diberi penerangan tentang tanda-tanda dan gejala hipoglisemia serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengelak dan mengatasinya.
Perbetulkan Salah Faham, Manfaatkan Keberkesanan Insulin
Penyakit diabetes boleh dikawal dengan baik sekiranya pesakit patuh kepada pengambilan ubat-ubatan, mengamalkan pemakanan seimbang serta melakukan aktiviti fizikal secara berkala.
Dari aspek ubat-ubatan, penggunaan insulin harus diberi penekanan memandangkan ubat ini diketahui berkesan dalam mengawal paras gula di dalam darah.
Oleh hal yang demikian, pesakit hendaklah memperbetul salah faham terhadap insulin yang mungkin menyebabkan ketidakpatuhan kepada rawatan.
Dapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi tentang cara pengurusan dan penggunaan insulin yang betul agar pesakit lebih faham dan jelas.
Kenali ubat anda, sebarang pertanyaan lanjut berkaitan ubat-ubatan boleh diajukan kepada Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Center, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali cuti umum).
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2024). Type 1 Diabetes. MayoClinic.
- Mayo Clinic Staff. (2023). Type 2 Diabetes. MayoClinic.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Gestational diabetes. MayoClinic.
- Petersen, M. C., & Shulman, G. I. (2018). Mechanisms of Insulin Action and Insulin Resistance. Physiological reviews.
- Centers for Disease Control and Prevention. (2022). Diabetic Ketoacidosis.
- Clin Diabetes. (2007). Insulin Myths and Facts.

Zuhailah Mohd Shafawi
Puan Zuhailah Binti Mohd Shafawi ialah pegawai farmasi di Hospital Shah Alam.