Hepatitis A ialah jangkitan hati yang sangat mudah berjangkit yang disebabkan oleh virus hepatitis A (HAV). Virus ini adalah salah satu daripada beberapa jenis virus hepatitis yang menyebabkan keradangan dan menjejaskan fungsi hati.
HAV berjangkit dari seseorang individu ke individu yang lain menerusi makanan atau minuman yang telah dicemari oleh najis pesakit Hepatitis A.
Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menganggarkan pada tahun 2016, seramai 7134 orang meninggal dunia akibat daripada hepatitis A di seluruh dunia.

Gejala-gejala Jangkitan Hepatitis A
Gejala-gejala jangkitan hepatitis A biasanya tidak kelihatan atau berlaku sehingga anda dijangkiti virus tersebut selama beberapa minggu. Ia mengambil masa kira-kira 14 hingga 28 hari.
Sebahagian dewasa yang dijangkiti akan berasa sakit dan tidak sihat setelah dua minggu dijangkiti (kadangkala lebih). Kebanyakan kanak-kanak jarang menunjukkan tanda-tanda dan gejala selepas dijangkiti.
Jika ada, gejala-gejala berikut boleh berlaku:
- Keletihan
- Loya dan muntah
- Sakit perut (terutamanya bahagian kanan atas)
- Hilang selera makan
- Demam ringan
- Air kencing menjadi gelap
- Sakit sendi
- Jaundis
- Gatal-gatal
Semua pesakit sama ada yang menunjukkan gejala atau tidak masih boleh menjangkiti orang lain. Virus tersebut boleh wujud dalam najis individu yang dijangkiti dalam masa 2 minggu dan sehingga 2 minggu selepas gejala bermula.
Punca atau Penyebab Hepatitis A
Hepatitis A disebabkan oleh virus yang dikelaskan sebagai hepatovirus. Virus ini mempunyai banyak ciri-ciri persamaan dengan keluarga picornavirus.
Virus ini menjangkiti sel-sel hati dan menyebabkan keradangan. Keradangan tersebut akan menjejaskan fungsi hati dan menyebabkan tanda atau gejala lain.
Virus tersebut biasanya merebak apabila anda makan makanan atau minum minuman yang tercemar dengan najis mereka yang telah dijangkiti. Ia tidak merebak melalui bersin atau batuk.
Selain itu, virus ini boleh juga berjangkit melalui cara-cara berikut:
- Makan makanan yang dimasak oleh orang yang telah dijangkiti yang tidak membasuh tangan mereka selepas pergi ke tandas.
- Meminum air yang tercemar.
- Makan kerang-kerangan yang mentah yang datangnya daripada air tercemar dengan sisa kumbahan.
- Kontak rapat dengan orang yang telah dijangkiti.
- Melakukan hubungan kelamin dengan seseorang yang telah dijangkiti.
Rawatan untuk Hepatitis A
Tiada rawatan khusus bagi hepatitis A. Badan anda akan membersihkan virus ini dengan sendirinya. Dalam kebanyakan kes, hati akan sembuh dalam tempoh enam bulan tanpa kerosakan yang berpanjangan.
Rawatan am ialah:
- Mendapatkan rehat yang cukup dan minum banyak air.
- Elakkan daripada minum alkohol.
- Individu yang dijangkiti harus berada di rumah sehingga tiada lagi kesan jangkitan (seminggu selepas sakit).
Komplikasi
Berbeza dengan jangkitan virus hepatitis yang lain, jangkitan hepatitis A tidak menyebabkan komplikasi atau kerosakan hati jangka panjang.
Walau bagaimanapun, ia boleh memberi kesan yang serius pada warga tua di mana mereka memerlukan rawatan di hospital.
Langkah-langkah Pencegahan
Hepatitis A boleh dicegah melalui:
- Menjaga kebersihan diri (kerap basuh tangan selepas keluar daripada tandas dan selepas makan).
- Gunakan bekalan air yang bersih serta sistem kumbahan yang teratur.
- Membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum dimakan.
- Elak makan kerang atau tiram mentah.
Imunisasi vaksin Hepatitis A boleh mencegah jangkitan secara efektif. Ia memberi perlindungan selama 12 bulan bagi dos yang diambil pertama kali dan 5 tahun selepas dos yang kedua (bagi kanak-kanak) serta 10 tahun bagi orang dewasa.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2020). Hepatitis A. MayoClinic.
- Zuckerman AJ. Hepatitis Viruses. In: Baron S, editor. Medical Microbiology. 4th edition. Galveston (TX): University of Texas Medical Branch at Galveston; 1996. Chapter 70.
- Cheng, C.K. (2020). Hepatitis A. MyHealth KKM.