Kolesterol tinggi adalah keadaan dimana anda memiliki terlalu banyak bahan berlemak yang dipanggil kolesterol di dalam darah. Adakah kolesterol tinggi boleh dicegah? Bagaimana untuk mencegah kolesterol tinggi?
Untuk menjawab persoalan-persoalan ini, artikel ini menerangkan dengan lebih lanjut mengenai kolesterol tinggi dan panduan serta langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mencegah kolesterol tinggi.
Kolesterol ialah sejenis lipid iaitu bahan seperti lemak dan berlilin yang boleh dijumpai di dalam darah kita. Kolesterol tinggi pula merujuk kepada paras kolesterol dalam darah yang berlebihan.
Umumnya, ramai yang menganggap kolesterol adalah bahan yang tidak berguna atau memudaratkan. Hakikatnya, badan manusia memerlukan kolesterol untuk membina membina sel-sel yang sihat.
Kesan Kolesterol Tinggi
Kolesterol yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan lemak dalam saluran darah. Sekiranya longgokan lemak ini semakin banyak, keadaan ini akan menyukarkan pengaliran darah pada arteri anda.
Kadangkala, longgokan ini boleh menyumbat arteri (salur darah) seterusnya membawa kepada serangan jantung dan strok.
Kolesterol ialah sebatian yang tidak larut dalam air, maka kolesterol tidak dapat bergerak dengan sendirinya di dalam darah.
Oleh itu, hati akan menghasilkan protein yang melekat bersama-sama kolesterol untuk bergerak di dalam darah. Gabungan protein dan kolesterol ini dikenali sebagai lipoprotein.
Jenis-jenis Kolesterol
Terdapat dua jenis lipoprotein yang utama iaitu low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL).
Low-density lipoprotein (LDL) turut dipanggil “kolesterol jahat.” Sekiranya kolesterol LDL ini terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan arteri kita sempit dan mengehadkan pengaliran darah dan boleh meningkatkan risiko darah beku.
Sekiranya darah beku menyumbat arteri-arteri di jantung dan otak, ia boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.
Kolesterol HDL pula dipanggil “kolesterol baik.” Kolesterol ini menolong membalikkan lebihan kolesterol kembali ke hati untuk disingkirkan dari badan.
Trigliserida
Trigliserida ialah sejenis lipid yang lain. Trigliserida berbeza daripada kolesterol. Trigliserida digunakan oleh badan sebagai sumber tenaga.
Lebihan makanan (kalori) yang dimakan yang tidak digunakan oleh badan akan ditukar menjadi trigliserida. Trigliserida ini akan disimpan dalam sel-sel lemak. Trigliserida turut diangkut oleh lipoprotein untuk melalui saluran darah.
Sekiranya anda kerap makan secara berlebihan, kadar trigliserida ini juga akan turut tinggi. Ini akan meningkatkan risiko kepada strok dan penyakit jantung.
Tanda atau Simptom Kolesterol Tinggi
Kolesterol tinggi tidak mempunyai tanda atau simptom.
Ujian darah ialah satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kolesterol tinggi atau tidak.
Sekiranya kolesterol anda tinggi, bacaan kolesterol darah anda akan melebihi 240 miligram per deciliter (mg/dL).
Punca yang Menyumbang Kepada Kolesterol Tinggi
Terdapat beberapa faktor atau punca yang menyumbang kepada peningkatan paras kolesterol. Antaranya adalah:
- Pemakanan yang tinggi dengan kolesterol, lemak tepu dan lemak trans.
- Kurang bersenam.
- Obesiti.
- Merokok
- Peningkatan usia
- Penyakit kencing manis (diabetes)
- Keturunan
Cara Mencegah Kolesterol Tinggi
Langkah pencegahan atau cara menurunkan kolesterol yang utama adalah perubahan terhadap gaya hidup anda.
Terdapat 2 komponen utama yang harus diberi perhatian dalam perubahan gaya hidup ini iaitu pemakanan dan aktiviti fizikal.
Perubahan pada menu atau jenis makanan yang kita makan memainkan peranan yang cukup besar. Apa yang anda harus lakukan adalah:
- Kurangkan makanan masin atau tinggi kandungan garam seperti snek-snek makanan ringan (jajan), ikan masin, telur masin atau sosej.
- Banyakkan makan sayur-sayuran seperti sayur kubis, brokoli, terung dan serta bijirin seperti oat dan barli.
- Hadkan pengambilan lemak daripada haiwan. Contohnya, pilih daging yang kurang kandungan lemak berbanding yang tinggi lemak.
- Berhenti meminum arak atau minuman keras yang lain.
- Gunakan lemak sihat pada kadar yang sederhana. Lemak sihat ini boleh diperolehi daripada minyak zaitun atau avokado.
- Hadkan makanan yang manis dan tinggi dengan karbohidrat.
Langkah yang seterusnya melakukan aktiviti fizikal. Beberapa cadangan atau pilihan aktiviti fizikal yang anda boleh lakukan adalah:
- Berjalan-jalan di taman.
- Berbasikal.
- Berkebun.
- Berjoging.
- Berenang.
Bagi mereka yang sudah lama tidak melakukan aktiviti fizikal, mulakan dengan aktiviti yang ringan terlebih dahulu bagi mengelakkan jantung menerima kejutan. Aktiviti-aktiviti yang berintensiti tinggi boleh menjadi beban kepada jantung anda.
Selain itu, mereka yang menghidap kolesterol tinggi juga harus meninggalkan tabiat merokok dan menguruskan stres atau tekanan dengan baik.
Komplikasi Kolesterol Tinggi
Kolesterol tinggi boleh menyebabkan longgokan kolesterol yang dikenali sebagai plak pada dinding arteri (salur darah). Plak ini akan mengurangkan aliran darah melalui arteri seterusnya menyebabkan komplikasi berikut:
- Sakit dada: Sekiranya arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung terkesan, anda mungkin akan mengalami simptom seperti sakit dada atau simptom penyakit koronari arteri.
- Serangan jantung: Sekiranya darah beku berlaku di kawasan plak, ia akan menyebabkan aliran darah terhalang dan aliran darah akan berhenti ke jantung. Ini akan menyebabkan serangan jantung.
- Strok: Sama seperti serangan jantung, strok terjadi apabila darah beku menghalang aliran darah ke otak.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. 2019. High Cholesterol. MayoClinic
- American Heart Association. 2017. Causes of High Cholesterol.