Apnea tidur boleh mengganggu tidur seseorang dan boleh menyebabkan kesan negatif dari semasa ke semasa. Terdapat penyelidikan yang mengaitkan antara paras kolesterol tinggi dengan apnea tidur.
Jika sebelum ini, perkaitan ini mungkin kurang jelas, tetapi kini pakar mengakui hubungan antara kolesterol dan apnea tidur.
Terdapat pelbagai faktor yang mungkin menjelaskan perkaitan ini. Sebahagian daripada ini mungkin melibatkan perubahan fisiologi seperti tidur yang terganggu boleh menjejaskan enzim hati yang memecahkan lemak.

Selain itu, faktor gaya hidup mungkin turut memainkan peranan. Sebagai contoh, orang yang letih secara kronik mungkin lebih cenderung untuk memilih makanan yang diproses, yang tinggi dengan kolesterol dan lemak serta cenderung untuk kurang bersenam.
Artikel ini menerangkan dengan lebih lanjut mengenai perkaitan antara kolesterol tinggi dengan apnea tidur, komplikasi dan rawatan.
Adakah Ada Perkaitan Antara Kolesterol Tinggi dan Apnea Tidur?
Ya, terdapat perkaitan antara kolesterol tinggi dan apnea tidur.
Satu kajian yang melibatkan 8,592 pesakit yang tidak didiagnosa dengan paras lipid (kolesterol) yang tinggi dalam darah atau mengambil ubat merendahkan lipid (kolesterol). [1]
Kajian ini meliputi 69% pesakit lelaki dan selebihnya adalah pesakit wanita.
Penyelidik mendapati terdapat satu hubungan yang ketara antara paras kolesterol total yang tinggi, kolesterol LDL (kolesterol jahat), trigliserida dan apnea tidur.
Tambahan itu juga, penyelidik turut mendapati bahawa pesakit yang mempunyai masalah apnea tidur yang teruk mempunyai paras kolesterol HDL (koelsterol baik) yang lebih rendah.
Kolesterol HDL adalah kolesterol yang penting bagi membantu menyingkirkan lebihan kolesterol LDL daripada badan.
Bagaimana Tidur Menjejaskan Paras Kolesterol?
Tidur yang terganggu atau tidak berkualiti boleh menjejaskan kesihatan termasuklah paras kolesterol.
Penyelidikan-penyelidikan masih dijalankan bagi memahami perkaitan antara tidur dan kolesterol. Bagaimana tidur boleh menjejaskan kolesterol.
Satu kajian pada 2019 mendapati terdapat perkaitan antara tempoh tidur yang lebih pendek, trigliserida tinggi, dan kolesterol HDL (kolesterol baik) yang rendah. [2]
Walau bagaimanapun, tempoh tidur dilihat tidak menjejaskan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat). Keputusan kajian ini menunjukkan bahawa walaupun kekurangan tidur berkaitan dengan tahap kolesterol baik yang lebih rendah, ia tidak menyebabkan peningkatan kolesterol jahat.
Manakala satu kajian lain di China pada 2019 pula mendapati golongan lelaki yang menghidap apnea tidur obstruktif berisiko tinggi untuk mempunyai paras kolesterol LDL yang tinggi dan kolesterol HDL yang rendah. [3]
Pakar telah mencadangkan beberapa kemungkinan penjelasan untuk penemuan bercanggah ini. Sesetengah mencadangkan bahawa tidur mempengaruhi tahap hormon tertentu, mungkin terdapat perbezaan antara lelaki dan perempuan.
Manakala yang lain mencadangkan bahawa tidur yang terganggu menyumbang kepada perubahan dalam enzim hati yang menukar kolesterol kepada asid hempedu, yang kemudiannya boleh meningkatkan tahap lipid darah.
Komplikasi yang Berkaitan dengan Apnea Tidur
Selain menjejaskan tidur seseorang, apnea tidur juga boleh menyebabkan komplikasi seperti:
- Asma
- Penyakit jantung
- Strok
- Penyakit buah pinggang kronik
- Kanser
- Denyutan jantung laju dan tidak teratur
- Masalah mata
- Kecelaruan kognitif dan tingkah laku
- Gangguan metabolik
- Komplikasi kehamilan
Rawatan
Doktor mungkin mengesyorkan pelbagai rawatan untuk kolesterol tinggi dan apnea tidur. Sebagai contoh, individu boleh menurunkan paras kolesterol dengan ubat-ubatan dan perubahan gaya hidup.
Ubat-ubatan untuk Merendahkan Paras Kolesterol
Doktor mungkin akan mengesyorkan ubat-ubatan berikut bagi menurunkan paras kolesterol. Antaranya adalah:
- Statin: Untuk menghalang penghasilan kolesterol LDL dalam hati.
- Asid nikotinik: Untuk mengurangkan paras kolesterol LDL dan trigliserida dan meningkatkan paras kolesterol HDL.
- Sekuestran asid hempedu: Untuk mengurangkan jumlah lemak yang diserap oleh badan daripada makanan.
- Penghalang penyerapan kolesterol: Untuk merendahkan trigliserida dan mengurangkan penyerapan kolesterol daripada makanan.
Perubahan Gaya Hidup untuk Merendahkan Paras Kolesterol
Perubahan gaya hidup juga boleh membantu merendahkan paras kolesterol. Antaranya adalah:
- Pengurusan berat badan: Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, berusaha untuk mencapai berat badan yang sederhana boleh membantu menurunkan paras kolesterol LDL.
- Aktiviti fizikal: Melakukan aktiviti selama 150 minit dalam seminggu adalah disarankan. [4]
- Berhenti merokok: Apabila anda berhenti merokok, kolesterol HDL mungkin meningkat, membantu menurunkan kolesterol LDL berbahaya.
- Menguruskan stres: Stres yang kronik boleh menyebabkan peningkatan kolesterol LDL dan penurunan paras kolesterol HDL. Jadi, kawal stres anda dengan melakukan senaman, meditasi atau bersosial.
- Pemakanan yang sihat: Hadkan pengambilan makanan yang tinggi lemak tepu, lemak trans dan pilih makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, bijian penuh dan daging pejal.
Pilihan Rawatan untuk Apnea Tidur
Rawatan yang paling berkesan untuk apnea tidur adalah mengunakan mesin tekanan salur udara positif berterusan (CPAP).
Peranti ini membenarkan aliran udara yang stabil ke dalam hidung dan mulut semasa anda tidur, memastikan saluran pernafasan terbuka dan membantu anda bernafas dengan betul.
Sekiranya mesin CPAP tidak berjaya, doktor mungkin akan mencadangkan rawatan-rawatan berikut:
- Peranti oral: Peranti yang menyerupai pelindung mulut atau penahan ortodontik boleh membantu mengekalkan saluran udara terbuka dengan membawa rahang ke hadapan dan melegakan halangan. Pilihan ini biasanya terbaik untuk orang yang mengalami apnea tidur ringan hingga sederhana.
- Peranti kedudukan: Jika anda mengalami apnea tidur apabila anda tidur telentang, peranti kedudukan boleh memastikan anda kekal berada di sisi dan menghalang anda daripada berguling.
- Pembedahan: Rawatan utama untuk apnea tidur obstruktif (OSA) pada kanak-kanak adalah pembedahan untuk membuang tonsil atau adenoid. Pilihan pembedahan juga wujud untuk orang dewasa, tetapi ini biasanya untuk OSA yang teruk dan rawatan lain tidak berkesan.
- Simulasi saraf hipoglosum: Ini melibatkan pembedahan menanam peranti elektrik kecil untuk merangsang saraf saluran pernafasan.
Rujukan
- Gündüz, C. et al. (2018). Obstructive sleep apnoea independently predicts lipid levels: Data from the European Sleep Apnea Database. Respirology.
- Smiley, A. et al. (2019). The association between sleep duration and lipid profiles: the NHANES 2013-2014. Journal of diabetes and metabolic disorders.
- Xia, Y. et al. (2019). Effect modification by gender of the influence of obstructive sleep apnoea characteristics on dyslipidaemia in China: a cross-sectional study. BMJ open.
- Centers for Disease Control and Prevention. How much physical activity do adults need?