Diagnosis aritmia jantung lazimnya melalui siri penilaian perubatan dan ujian yang dijalankan oleh ahli profesional kesihatan (doktor).
Aritmia jantung dicirikan oleh irama degupan jantung yang tidak teratur yang boleh berlaku sama ada terlalu perlahan (<60 deyutan/min) atau terlalu laju (>100 deyutan/min) dan boleh berlaku pada sebarang umur.
Jika anda atau anak anda mempunyai risiko aritmia jantung yang tinggi, doktor mungkin menyaring anda dengan lebih kerap dengan ujian-ujian jantung.

Untuk mendiagnosis aritmia jantung, aritmia itu sendiri perlu “ditangkap” pada perakam ritma jantung. Diagnosis boleh menjadi mudah, sukar, atau di antaranya.
1. Penilaian Sejarah Perubatan atau Pemeriksaan Fizikal
Doktor akan memulakan dengan mengambil sejarah perubatan yang komprehensif, termasuk sebarang gejala yang mungkin dialami oleh anda, latar belakang perubatan, sejarah keluarga berkaitan penyakit jantung, dan sebarang ubat yang sedang diambil.
Pemeriksaan fizikal akan dilakukan untuk memeriksa tanda-tanda aritmia yang mungkin melibatkan:
- Memeriksa bengkak di kaki anda, yang boleh menjadi tanda pembesaran jantung atau kegagalan jantung.
- Periksa nadi anda untuk mengetahui berapa laju jantung anda berdeyut.
- Mendengarkan kadar dan ritma deyutan jantung anda.
- Mencari tanda-tanda penyakit lain, seperti penyakit tiroid, yang boleh menyebabkan aritmia.
2. Ujian-ujian Diagnostik
Anda mungkin perlu menjalani ujian untuk memeriksa jantung anda dan untuk mencari keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan denyutan jantung tidak teratur.
Ujian untuk mendiagnosis aritmia jantung mungkin terdiri daripada:
- Elektrokardiogram (ECG/EKG): Ini adalah ujian yang paling biasa digunakan untuk mendiagnosis aritmia. ECG merekodkan aktiviti elektrik jantung dan boleh mengesan ritma jantung yang tidak teratur. Ia melibatkan pemasangan elektrod pada dada, lengan dan kaki, yang kemudiannya merekodkan isyarat elektrik jantung.
- Monitor Holter: Jika aritmia terputus-putus atau disyaki jarang berlaku, monitor Holter boleh digunakan. Ini adalah peranti mudah alih yang merekodkan aktiviti elektrik jantung secara berterusan selama 24 hingga 48 jam atau lebih lama semasa pesakit melakukan aktiviti normal mereka.
- Monitor Acara: Sama seperti monitor Holter, monitor acara ialah peranti mudah alih yang merekodkan aktiviti elektrik jantung, tetapi ia biasanya dipakai untuk jangka masa yang lebih lama, antara beberapa hari hingga beberapa minggu. Ia biasanya diaktifkan oleh pesakit apabila mereka mengalami gejala.
- Ekokardiogram: Ekokardiogram ialah ultrabunyi jantung yang boleh memberikan maklumat tentang struktur dan fungsi jantung. Ia boleh digunakan untuk menilai keadaan asas jantung yang boleh menyebabkan aritmia.
3. Ujian Tambahan
Jika deyutan jantung yang tidak teratur tidak ditemui semasa ujian tersebut, doktor mungkin mencadangkan lebih banyak ujian untuk cuba mencetuskan aritmia.
Ujian ini mungkin melibatkan:
- Ujian Tekanan Senaman: Dalam sesetengah kes, ujian tekanan senaman mungkin dilakukan untuk menilai bagaimana jantung bertindak balas terhadap aktiviti fizikal dan untuk mengesan aritmia yang mungkin berlaku semasa melakukan senaman.
- Kajian Elektrofisiologi (EPS): Dalam sesetengah kes, jika aritmia adalah sangat kompleks atau jika pesakit berisiko tinggi untuk aritmia berbahaya, EPS boleh dilakukan. Semasa EPS, kateter dimasukkan ke dalam jantung untuk merekodkan aktiviti elektriknya dan menyebabkan aritmia di bawah keadaan terkawal.
- Ujian Darah: Ujian darah mungkin dijalankan untuk memeriksa keadaan perubatan yang mendasari atau ketidakseimbangan elektrolit yang boleh menyumbang kepada aritmia.
- Ujian Lain: Bergantung pada kes individu, ujian tambahan seperti MRI jantung, imbasan CT, atau ujian meja condong mungkin disyorkan untuk menilai lebih lanjut keadaan jantung dan fungsinya.
Diagnosis aritmia jantung selalunya memerlukan gabungan ujian dan penilaian ini untuk menentukan jenis aritmia, keparahannya, dan pendekatan rawatan yang sesuai.
Adalah penting bagi individu yang mengalami gejala-gejala aritmia untuk mendapatkan rawatan perubatan untuk diagnosis dan pengurusan yang betul.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2023). Heart arrhythmia. MayoClinic