Penyakit tiroid ialah istilah umum untuk keadaan perubatan yang menghalang kelenjar tiroid anda daripada menghasilkan jumlah hormon yang betul. Tiroid biasanya menghasilkan hormon yang memastikan badan anda berfungsi secara normal.
Apabila kelenjar tiroid membuat terlalu banyak hormon tiroid, badan anda menggunakan tenaga terlalu cepat. Keadaan ini dipanggil hipertiroidisme.
Sebaliknya, sekiranya kelenjar tiroid membuat terlalu sedikit hormon tiroid. Keadaan ini dipanggil hipotiroidisme.
Apa itu Tiroid?
Tiroid ialah kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab dalam penghasilan hormon tiroid.
Kelenjar tiroid menggunakan mineral iodin dalam menghasilkan hormon tiroid.
Hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme dan fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.
Metabolisme adalah proses di mana makanan yang dimakan akan ditukarkan kepada tenaga.
Tiroid mengawal metabolisme dengan hormon tertentu iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid.
Kedua-dua hormon ini dicipta oleh tiroid dan ia memberitahu sel-sel badan berapa banyak tenaga yang perlu digunakan.
Punca Penyakit Tiroid
Penyakit tiroid terdiri daripada 2 jenis yang utama iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme. Kedua-dua keadaan ini boleh disebabkan oleh penyakit lain yang memberikan impak terhadap bagaimana kelenjar tiroid berfungsi.
Punca yang menyebabkan hipertiroidisme adalah:
- Penyakit Grave: Keadaan dimana keseluruhan kelenjar tiroid mungkin terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon.
- Nodul tiroid: Terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid.
- Tiroiditis: Keradangan (bengkak) pada kelenjar tiroid.
- Iodin berlebihan: Apabila anda mempunyai terlalu banyak iodin dalam badan anda, tiroid menghasilkan lebih banyak hormon tiroid daripada yang diperlukan.
Punca yang menyebabkan hipotiroidisme adalah:
- Tiroditis: Keradangan (bengkak) pada kelenjar tiroid.
- Tiroiditis Hashimoto: Penyakit autoimun di mana sel-sel badan menyerang dan merosakkan kelenjar tiroid.
- Kekurangan iodin.
- Kelenjar tiroid yang tidak berfungsi: Kadangkala, kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan betul sejak lahir.
Tanda-tanda dan Gejala Penyakit Tiroid
Terdapat pelbagai gejala yang boleh dialami jika anda mempunyai penyakit tiroid. Malangnya, tanda-tanda dan gejala penyakit ini selalunya hampir sama dengan tanda-tanda masalah kesihatan yang lain.
Ini boleh menyukarkan untuk mengetahui secara pasti sama ada gejala-gejala anda berkaitan dengan masalah tiroid atau sesuatu yang lain.
Tanda-tanda dan gejala penyakit ini boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme.
Tanda-tanda dan gejala hipertiroidisme adalah:
- Tangan menggeletar (tremor)
- Rasa gementar
- Degupan jantung yang laju
- Mudah berpeluh dan panas
- Susut berat badan
- Lesu dan cepat berasa letih
- Sukar untuk tidur
- Mengalami goiter (kelenjar tiroid bengkak)
- Mengalami haid yang tidak teratur
- Mengalami masalah penglihatan
Tanda-tanda dan gejala hipotiroidisme pula adalah:
- Lesu
- Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
- Kulit kering
- Sembelit
- Sentiasa berasa sejuk
- Perdarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita
- Peningkatan berat badan
- Rambut kering dan kasar
- Suara yang serak
Rawatan
Matlamat rawatan adalah untuk mengembalikan hormon tiroid kepada paras yang normal. Keadaan ini boleh dicapai melalui beberapa rawatan khusus yang bergantung kepada penyebab penyakit ini.
Sekiranya anda mempunyai paras hormon tiroid yang tinggi (hipertiroidisme), pilihan rawatan yang ada adalah:
- Ubat antitiroid: Ubat seperti methimazole dan propylthioracil boleh membantu menghentikan kelenjar tiroid daripada menghasilkan hormon.
- Iodin radioaktif: Rawatan ini akan memusnahkan sel-sel tiroid seterusnya mencegahnya daripda menghasilkan hormon tiroid yang banyak.
- Penghalang beta: Ubat ini boleh membantu mengawal gejala-gejala yang dialami.
- Pembedahan: Pembedahan pembuangan kelenjar tiroid (tiroidektomi)boleh menghentikan penghasilan hormon. Namun, anda perlu mengambil pengganti hormon tiroid seumur hidup anda.
Sekiranya anda mempunyai paras hormon tiroid yang rendah (hipotiroidisme), pilihan rawatan yang ada adalah:
- Ubat pengganti tiroid: Ubat sintetik seperti levothyroxine boleh membantu menambah hormon tiroid dalam badan anda.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Thyroid Disease. Cleveland Clinic