Pelbagai pendekatan dan kajian dilakukan untuk mengurangkan risiko penyakit Alzheimer. Vitamin D juga turut didapati berpotensi dalam mengurangkan risiko penyakit Alzheimer.
Dengan penuaan populasi, prevalensi penyakit Alzheimer dijangka meningkat, menyebabkan minat yang semakin meningkat dalam strategi pencegahan.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai potensi vitamin D, artikel ini akan mengupas bukti saintifik, mekanisme dan pertimbangan praktikal mengenai penggunaan suplemen vitamin D dalam konteks pencegahan penyakit Alzheimer.

Memahami Penyakit Alzheimer
Penyakit Alzheimer adalah bentuk demensia yang paling biasa, dicirikan oleh penurunan kognitif progresif, kehilangan ingatan dan perubahan tingkah laku.
Punca sebenar penyakit Alzheimer masih belum diketahui, tetapi dipercayai disebabkan oleh gabungan faktor genetik, persekitaran dan gaya hidup.
Ciri-ciri utama penyakit ini adalah seperti pengumpulan plak amiloid-beta dan kekusutan neurofibril dalam otak, menyebabkan kematian neuron dan atrofi otak.
Faktor Risiko
Beberapa faktor risiko telah dikenalpasti untuk penyakit Alzheimer, antaranya adalah:
- Usia
- Sejarah keluarga
- Genetik (contohnya, kehadiran alel APOE ε4)
- Kesihatan kardiovaskular
- Faktor gaya hidup seperti diet dan aktiviti fizikal
Walaupun beberapa faktor risiko tidak boleh diubah,tetapi faktor seperti diet dan gaya hidup, memberikan peluang untuk intervensi.
Vitamin D: Gambaran Keseluruhan
Vitamin D sering dirujuk sebagai “vitamin sinar matahari,” ia adalah vitamin larut lemak yang memainkan peranan penting dalam metabolisme kalsium dan fosforus, kesihatan tulang dan fungsi imun.
Ia boleh diperoleh dari sumber makanan, suplemen dan disintesis dalam kulit apabila terdedah kepada sinar ultraungu (UV) dari cahaya matahari.
Sumber Vitamin D
- Sumber Makanan: Ikan berlemak (contohnya, salmon, mackerel), makanan yang diperkaya (contohnya: susu, bijirin), kuning telur dan keju.
- Pendedahan Sinaran Matahari: Sinaran UVB dari matahari mencetuskan sintesis vitamin D dalam kulit.
- Suplemen: Vitamin D2 (ergocalciferol) dan vitamin D3 (cholecalciferol) adalah dua bentuk utama yang terdapat dalam bentuk suplemen, dengan D3 lebih berkesan dalam meningkatkan tahap darah vitamin D.
Kekurangan Vitamin D
Kekurangan vitamin D adalah isu kesihatan global yang biasa, terutamanya di kawasan dengan pendedahan cahaya matahari yang terhad.
Ia telah dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk osteoporosis, penyakit kardiovaskular dan fungsi imun yang terganggu.
Penyelidikan yang semakin meningkat mencadangkan bahawa kekurangan vitamin D mungkin juga dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit neurodegeneratif termasuk penyakit Alzheimer.
Hubungan Antara Vitamin D dan Penyakit Alzheimer
Hubungan yang berpotensi antara vitamin D dan penyakit Alzheimer telah mendapat perhatian yang signifikan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Terdapat kajian yang dijalankan terhadap haiwan dan sel-sel mendapati bahawa vitamin D boleh membantu dalam fungsi otak seperti pembelajaran dan memori, di samping melawan keradangan. [1]
Manakala, satu kajian pada 2017 pula menyatakan bahawa vitamin D boleh membantu menyingkirkan plak amiloid yang berbahaya di dalam otak. [2]
Walaupun kajian-kajian mengaitkan vitamin D yang rendah dengan risiko Alzheimer yang lebih tinggi, adalah tidak jelas sama ada sebarang aspek hasil kajian ini memberi kesan kepada manusia.
Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami hubungan antara vitamin D dan penyakit Alzheimer.
Pertimbangan Praktikal untuk Suplemen Vitamin D
Penyelidikan mengenai vitamin D dan penyakit Alzheimer menunjukkan hasil yang bercampur-campur.
Sesetengah kajian mencadangkan bahawa suplemen vitamin D mungkin membantu mengurangkan risiko, manakala kajian lain tidak menemui manfaat yang jelas.
Satu kajian pada tahun 2023 mengaitkan pendedahan kepada vitamin D dengan pengurangan risiko demensia sebanyak 40% serta jangka hayat yang lebih panjang tanpa kemerosotan kognitif. [3]
Namun, kajian yang lain melaporkan bahawa pengambilan suplemen vitamin D3 melebihi 146 hari setahun dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap demensia dan kadar kematian yang lebih tinggi dalam kalangan individu yang telah didiagnosis dengan penyakit tersebut. [4]
Disebabkan oleh penemuan yang bercanggah ini, lebih banyak kajian diperlukan untuk menentukan sama ada suplemen vitamin D benar-benar bermanfaat atau berpotensi memudaratkan bagi penghidap Alzheimer.
Bagaimana untuk Mendapatkan Vitamin D yang Mencukupi?
Sama ada vitamin D boleh membantu mengurangkan kemungkinan menghidap penyakit Alzheimer atau tidak, ia masih merupakan nutrien penting pada sebarang umur.
Tubuh anda secara semula jadi menghasilkan vitamin D sebagai tindak balas kepada cahaya matahari.
Walaupun sesetengah kajian mencadangkan bahawa pendedahan kepada cahaya matahari selama 5 hingga 30 minit pada kebanyakan hari dalam seminggu boleh menghasilkan jumlah vitamin D yang mencukupi, ini boleh berbeza-beza bergantung kepada: [5]
- Musim dan panjang waktu siang
- Sama ada langit berawan tebal atau tidak
- Tahap pencemaran udara
- Penggunaan pelindung matahari
- Kandungan melanin dalam kulit
Meskipun begitu, terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari meningkatkan risiko kepada kanser kulit.
Oleh itu, mengambil makanan yang kaya dengan vitamin D juga boleh membantu.
Berapa Dos atau Jumlah Vitamin D Harian yang Diperlukan?
Jumlah vitamin D harian yang disyorkan untuk anda bergantung kepada umur anda. Jadual di bawah menunjukkan cadangan vitamin D harian berdasarkan RNI Malaysia 2017:
| Usia | Recommended Nutrient Intake,RNI (mcg/hari) |
|---|---|
| 0 – 6 bulan | 10 |
| 7 – 12 bulan | 10 |
| 1-3 tahun | 15 |
| 4 – 6 tahun | 15 |
| 7 – 9 tahun | 15 |
| 10 – 18 tahun | 15 |
| 19 – 50 tahun | 15 |
| 51 – 65 tahun | 15 |
| > 65 tahun | 20 |
Kesimpulan
Penyelidikan telah mengaitkan kekurangan vitamin D dengan peningkatan risiko penyakit Alzheimer.
Namun, keputusan kajian mengenai sama ada pengambilan suplemen vitamin D dapat mengurangkan risiko Alzheimer menunjukkan hasil yang bercampur-campur.
Secara keseluruhan, lebih banyak kajian diperlukan dalam topik ini.
Rujukan
- Kang, J. et al. (2022). The Role of Vitamin D in Alzheimer’s Disease: A Transcriptional Regulator of Amyloidopathy and Gliopathy. Biomedicines.
- Grimm, M. O. W. et al. (2017). Vitamin D and Its Analogues Decrease Amyloid-β (Aβ) Formation and Increase Aβ-Degradation. International journal of molecular sciences.
- Ghahremani, M. et al. (2023). Vitamin D supplementation and incident dementia: Effects of sex, APOE, and baseline cognitive status. Alzheimer’s & dementia.
- Lai, R. H. et al. (2022). Vitamin D supplementation worsens Alzheimer’s progression: Animal model and human cohort studies. Aging cell.
- Srivastava S. B. (2021). Vitamin D: Do We Need More Than Sunshine?. American journal of lifestyle medicine.





