Jika ada ahli keluarga atau kenalan anda yang menghidap penyakit Alzheimer, mempunyai pengetahuan atau maklumat berkenaan ubat penyakit Alzheimer ini adalah satu kelebihan.
Penyakit Alzheimer tidak mempunyai penyembuhnya tetapi ubat-ubatan boleh membantu memperlahankan atau mencegah gejala-gejala penyakit Alzheimer seperti hilang ingatan atau masalah berfikir.
Teruskan membaca untuk mengetahui ubat-ubatan yang diluluskan oleh Food and Drug Administration (FDA) yang ada pada masa ini dan ubat-ubatan yang dalam pembangunan.

Ubat-ubatan yang Digunakan Untuk Merawat Penyakit Alzheimer
Berikut adalah contoh ubat yang paling biasa dipreskripsi untuk mencegah atau melambatkan perkembangan gejala-gejala penyakit Alzheimer.
Keberkesanan ubat-ubatan ini berbeza-beza bagi setiap orang. Semua ubat ini juga menjadi kurang berkesan dari semasa ke semasa apabila penyakit Alzheimer ini menjadi semakin teruk.
1. Donepezil (dijual dibawah jenama Aricept)
Ubat ini digunakan untuk melambatkan atau memperlahankan gejala-gejala penyakit Alzheimer ringan, sederhana dan teruk. Ia datang dalam bentuk tablet atau tablet hancur.
2. Galantamine (dijual dibawah jenama Razadyne)
Ubat ini digunakan untuk mencegah atau melambatkan gejala-gejala penyakit Alzheimer ringan hingga sederhana. Ia datang dalam bentuk tablet, kapsul pelepasan terlanjut atau larutan oral (cecair).
3. Memantine (dijual dibawah jenama Namenda)
Ubat ini digunakan untuk memperlahankan atau melambatkan gejala-gejala penyakit Alzheimer peringkat sederhana hingga teruk. Ia datang dalam bentuk tablet, kapsul pelepasan terlanjut dan larutan oral.
Ubat ini kadangkala diberikan bersama-sama Aricept, Exelon, atau Razadyne.
4. Rivastigmine (dijual dibawah jenama Exelon)
Ubat ini digunakan untuk mencegah atau melambatkan gejala-gejala penyakit Alzheimer ringan hingga sederhana. Ia datang dalam bentuk kapsul atau tampalan transdermal pelepasan terlanjut.
5. Memantine Pelepasan Terlanjut dan Donepezil (dijual dibawah jenama Namzaric)
Kapsul ubat ini digunakan untuk merawat penyakit Alzheimer sederhana hingga teruk. Ia dipreskripsi untuk orang tertentu yang mengambil donepezil dan yang tidak mempunyai tindak balas buruk terhadap ramuannya.
Ubat-ubatan Penyakit Alzheimer yang Dalam Pembangunan
Masih banyak penyelidikan yang dilakukan untuk menghasilkan ubat baru atau kombinasi ubat yang boleh mengurangkan gejala-gejala penyakit Alzheimer.
Antara ubat-ubatan yang menunjukkan potensi yang baik adalah:
1. Aducanumab
Ubat ini mensasarkan deposit protein dalam otak yang dipanggil beta-amiloid. Protein ini membentuk kelompok atau plak di sekeliling sel-sel otak pada orang yang mempunyai penyakit Alzheimer.
Plak ini menghalang mesej daripada dihantar antara sel, menyebabkan gejala-gejala Alzheimer. Aducanumab telah menunjukkan beberapa tanda berfungsi untuk melarutkan plak ini.
2. Solanezumab
Solanezumab juga merupakan ubat antiamiloid. Kajian sedang dijalankan untuk melihat sama ada solanezumab boleh melambatkan kemerosotan kognitif pada orang tertentu yang menghidap penyakit Alzheimer.
Ubat ini akan dipreskripsi untuk orang yang mempunyai plak amiloid tetapi yang belum menunjukkan gejala-gejala kehilangan ingatan dan masalah berfikir.
3. Insulin
Satu kajian yang dipanggil the Study of Nasal Insulin in the Fight against Forgetfulness (SNIFF) menilai sama ada sejenis insulin dalam semburan hidung boleh meningkatkan fungsi memori.
Fokus kajian ini adalah untuk orang yang mempunyai masalah memori ringan atau penyakit Alzheimer.
4. Lain-lain
Ubat-ubat lain yang masih dalam pembangunan adalah verubecestat, intepirdine, AADvac1 dan CSP-1103.
Rujukan
- National Institute on Aging. 2023. How Is Alzheimer’s Disease Treated?