Glaukoma ialah penyakit saraf mata yang berpotensi menyebabkan kebutaan kekal. Penyakit ini sering digelar sebagai “pencuri penglihatan” kerana sering berlaku secara senyap tanpa disedari pada peringkat awal.
Penyakit ini berpunca daripada pengumpulan cecair di dalam mata yang meningkatkan tekanan intraokular, yang seterusnya merosakkan saraf mata. Namun begitu, kerosakan saraf mata juga boleh berlaku walaupun tekanan mata berada dalam julat normal.
Apabila saraf mata mengalami kerosakan kekal, penglihatan akan hilang secara beransur-ansur sehingga boleh mengakibatkan kebutaan sepenuhnya.
Meskipun risiko meningkat seiring usia, glaukoma sebenarnya boleh berlaku kepada semua peringkat umur khususnya dalam kalangan individu yang mempunyai faktor risiko tertentu seperti sejarah keluarga yang menghidap glaukoma atau diabetes, kecederaan mata dan penggunaan steroid (terutamanya ubat titis mata) secara berterusan.
Walau bagaimanapun, pada peringkat awal, glaukoma lazimnya tidak menunjukkan tanda atau gejala yang jelas, menyebabkan penyakit ini sering tidak disedari.
Kebanyakan kes hanya dapat dikesan apabila pesakit menjalani pemeriksaan selepas mengalami gejala seperti penglihatan yang semakin kabur secara beransur-ansur, sakit pada mata dan kepala, kemerahan pada mata serta mual dan loya.
Selain itu, pesakit berkemungkinan kerap terlanggar objek di sisi ketika berjalan kerana medan penglihatan menjadi semakin sempit. Pesakit juga mungkin melihat lingkaran pelangi.
Pilihan Ubat-Ubatan Untuk Rawatan Glaukoma
Kerosakan mata akibat glaukoma adalah kekal dan tidak dapat dipulihkan sepenuhnya.
Oleh itu, pengesanan dan intervensi awal amat penting bagi memastikan penyakit ini dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Dengan rawatan yang tepat dan berterusan, komplikasi glaukoma dapat dicegah daripada menjadi lebih serius.
Terdapat beberapa jenis ubat titis mata yang digunakan dalam rawatan glaukoma. Antara jenis ubat tersebut termasuklah analog prostaglandin, beta-blocker, alpha-agonist dan carbonic anhydrase inhibitor.
Fungsi ubat-ubatan ini adalah untuk mengurangkan penghasilan cecair dalam mata atau meningkatkan pengaliran keluar cecair tersebut sekali gus menurunkan tekanan di dalam mata.
Setiap ubat-ubatan ini mempunyai potensi kesan sampingan, contohnya:
- Analog prostaglandin boleh menyebabkan kemerahan pada mata, perubahan warna iris dan kulit kelopak mata, penebalan bulu mata, serta menjadikan bola mata kelihatan lebih tenggelam ke dalam soket mata.
- Beta-blocker pula boleh menyebabkan pening, gangguan tidur serta menurunkan tekanan darah dan kadar denyutan nadi. Ubat daripada kumpulan ini juga berisiko mengakibatkan penyakit asma menjadi bertambah serius. Oleh sebab itu, ubat jenis ini tidak sesuai digunakan oleh pesakit yang menghidap asma atau penyakit paru-paru yang lain.
- Alpha-agonist boleh menyebabkan mengantuk, reaksi alahan seperti kegatalan pada mata dan menurunkan tekanan darah.
- Carbonic anhydrase inhibitor pula boleh menyebabkan pedih pada mata serta rasa pahit di dalam mulut.
Selain rawatan dengan ubat-ubatan, doktor mungkin mempertimbangkan dua kaedah lain selepas penilaian yang menyeluruh, iaitu rawatan laser dan pembedahan.
Rawatan laser bertujuan untuk memperbaik pengaliran keluar cecair dalam mata manakala pembedahan pula dilakukan untuk mewujudkan saluran baru bagi membolehkan cecair keluar dengan lebih mudah.
Pembedahan biasanya dipilih apabila rawatan lain tidak menghasilkan kesan yang optimum.
Nasihat Untuk Pesakit Dan Orang Awam
Rawatan glaukoma dengan ubat-ubatan dalam bentuk ubat titis mata perlu digunakan dengan cara yang betul dan secara konsisten seperti diarahkan.
Ketidakpatuhan terhadap penggunaan ubat-ubatan akan menyebabkan glaukoma menjadi tidak terkawal dan seterusnya meningkatkan risiko komplikasi.
Pesakit yang turut menghidap penyakit kronik yang lain, seperti asma, aritmia (degupan jantung tidak teratur), diabetes, hipertensi, tiroid dan kegagalan jantung dinasihatkan untuk memaklumkan doktor yang merawat agar pilihan rawatan yang bersesuaian dapat dikenal pasti.
Faktor interaksi antara ubat-ubatan dengan penyakit yang dihidapi harus diberi perhatian.
Selain itu, cara penggunaan ubat titis mata yang betul juga adalah amat penting bagi memastikan rawatan yang optimum serta mengurangkan risiko kesan sampingan.
Pesakit disaran untuk mengikuti panduan yang berikut bagi memastikan ubat digunakan dengan tepat:
- Basuh tangan dengan bersih sebelum penggunaan.
- Buka botol ubat dan pegang dengan satu tangan, kemudian dongakkan kepala sambil memandang ke atas.
- Dengan menggunakan jari telunjuk tangan sebelah lagi, tarik kelopak mata bawah secara perlahan-lahan untuk membentuk ruang kecil (seakan-akan poket).
- Titiskan satu titis ubat ke dalam poket tersebut.
- Pastikan hujung botol tidak menyentuh mata, jari atau sebarang permukaan lain bagi mengelakkan pencemaran.
- Lebihan ubat yang mengalir keluar perlu dilap dengan tisu. Langkah ini penting kerana sesetengah ubat boleh menyebabkan kerengsaan kulit di sekeliling mata.
- Tutup mata selama kira-kira satu minit selepas titisan ubat dimasukkan, sambil menekan secara lembut sudut antara hidung dan kelopak mata bagi menghalang ubat mengalir ke saluran air mata. Langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko kesan sampingan ubat.
- Bagi pesakit yang menggunakan lebih daripada satu jenis ubat titis mata, pastikan jarak sekurang-kurangnya lima minit sebelum menitiskan ubat yang seterusnya.

Pengesanan glaukoma pada peringkat awal amat penting bagi memastikan penyakit ini dikenal pasti sebelum menjadi lebih serius.
Pemeriksaan asas mata wajar dijadikan amalan secara berkala, seiring dengan pemeriksaan kesihatan yang lain.
Amalan ini khususnya penting bagi individu yang mempunyai sejarah keluarga menghidap glaukoma.
Kesimpulannya, kunci utama dalam menangani glaukoma ialah rawatan bersesuaian yang dimulakan seawal mungkin.
Jika dimulakan dengan ubat-ubatan, pesakit haruslah kekal patuh dan menggunakan ubat-ubatan dengan cara yang betul bagi memastikan glaukoma dapat dikawal secara berkesan.
Rujukan
- Goyal, A. (2026). Understanding Glaucoma: Symptoms, Causes, Diagnosis, Treatment. American Academy of Ophthalmology.
- Sunita Radhakrishnan & Andrew G. Iwach. (2022). Glaucoma Medications and their Side Effects. Glaucoma Research Foundation.
- World Glaucoma Association. Informasi Tentang Glaukoma.





