Psoriasis merupakan sejenis penyakit keradangan kronik. Di Malaysia, prevalens psoriasis dianggarkan sekitar 0.34 peratus, dengan kadar insiden sebanyak 34.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun.
Data daripada Malaysian Psoriasis Registry menunjukkan bahawa kes psoriasis lebih banyak dilaporkan dalam kalangan lelaki dan hampir satu per empat daripada pesakit mempunyai sejarah keluarga menghidap psoriasis.
Dahulu, psoriasis dianggap sebagai masalah yang hanya melibatkan kulit, namun kini, penyakit ini difahami sebagai keadaan keradangan sistemik yang kompleks, dipengaruhi oleh faktor genetik serta melibatkan tindak balas sistem imun.
Antara ciri utama penyakit psoriasis termasuklah lesi kulit (skin lesion) yang kering, gatal, kemerah-merahan serta mudah mengelupas hingga menyebabkan ketidakselesaan dan kesakitan. Keadaan ini lazimnya muncul pada bahagian kulit kepala, badan, lipatan punggung, siku dan lutut.
Faktor risiko utama bagi psoriasis ialah mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit ini. Faktor lain yang turut menyumbang termasuklah obesiti, tabiat merokok, jangkitan dan pengambilan alkohol secara berlebihan.
Pengambilan beberapa jenis ubat seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs), lithium dan beta blocker turut dilaporkan sebagai faktor risiko bagi psoriasis walaupun bukti yang mengaitkannya masih terhad. Selain itu, keadaan stres dan kemurungan juga dikaitkan dengan psoriasis.
Pesakit psoriasis perlu dirawat untuk mengawal gejala yang dialami dan mengelakkan penyakit ini daripada menjadi lebih serius. Matlamat rawatan psoriasis juga adalah untuk mengekalkan kualiti hidup pesakit.
Rawatan yang dipilih berdasarkan perbincangan bersama-sama antara doktor dengan pesakit serta ditentukan oleh beberapa faktor seperti umur, status kesihatan dan penyakit lain yang dihidapi.
Ubat Topikal Bagi Rawatan Psoriasis
Ubat-ubatan topikal merupakan pilihan utama untuk rawatan psoriasis, khususnya bagi psoriasis ringan hingga sederhana.
Keberkesanan ubat-ubatan topikal yang disapu pada permukaan kulit bergantung kepada cara penggunaan dan tahap kepatuhan pesakit.
Antara ubat topikal yang lazim digunakan termasuklah:
1. Emolien
Ubat emolien digunakan sebagai pelembap kulit yang dapat membantu masalah kulit kering yang sering dihadapi oleh pesakit psoriasis. Emolien boleh dijadikan sebagai sabun untuk memulihkan penghidratan kulit dan mengembalikan fungsi lapisan pelindung kulit.
2. Tar Arang Batu (coal tar)
Ubat berasaskan tar arang batu merupakan pilihan untuk merawat psoriasis tahap ringan. Ubat ini bertindak dengan mengelakkan penghasilan sel kulit baharu secara berlebihan.
Melalui mekanisme tindakan ini, ubat coal tar dapat mencegah kulit daripada menjadi tebal serta mengurangkan kemerah-merahan dan kegatalan pada kulit.
Ubat coal tar harus digunakan dengan berhati-hati kerana boleh menyebabkan kotoran pada pakaian.
Di samping itu, ubat ini tidak sesuai untuk digunakan pada wajah, bahagian kulit yang berlipat dan kawasan sulit kerana berisiko mengakibatkan keradangan.
3. Kortikosteroid
Ubat kortikosteroid berfungsi untuk mengurangkan keradangan pada kulit. Ubat ini disaran untuk digunakan secara kombinasi dengan emolien.
Secara umumnya, ubat kortikosteroid harus disapu nipis pada permukaan kulit yang terjejas. Ubat ini hanya boleh digunakan dalam tempoh masa yang singkat.
Sekiranya digunakan secara berterusan, ubat topikal kortikosteroid boleh menyebabkan kulit menjadi nipis.
4. Perencat Kalsineurin
Ubat daripada kumpulan perencat kalsineurin seperti tacrolimus dan pimecrolimus digunakan untuk muka dan bahagian kulit yang berlipat.
Ubat ini bertindak dengan merencat enzim calcineurin phosphatase dan seterusnya mengelakkan keradangan kulit dalam kalangan pesakit psoriasis.
4. Asid Salisilik
Ubat asid salisilik ialah agen keratolitik yang dapat melembutkan lapisan keratin pada kulit. Lazimnya, ubat ini digunakan secara kombinasi dengan ubat topikal yang lain.
Asid salisilik membantu untuk mengurangkan pembentukan lapisan keras pada kulit dan melembutkan lapisan tersebut.
Ubat Oral Bagi Rawatan Psoriasis
Selain ubat topikal, beberapa jenis ubat yang diambil secara oral turut digunakan dalam rawatan psoriasis tahap sederhana hingga serius.
Ubat-ubatan ini harus diambil secara berhati-hati kerana terdapat risiko kesan sampingan dan ketoksikan.
Oleh sebab itu, pesakit harus menjalani penilaian menyeluruh sebelum dimulakan dengan rawatan serta dipantau secara berterusan untuk mengelak kesan sampingan dan ketoksikan.
1. Methotrexate
Ubat ini menghalang penghasilan sel baharu dalam sistem imun dan mengurangkan keradangan. Methotrexate biasanya diambil sekali seminggu.
Kesan sampingan methotrexate yang biasa termasuklah loya, muntah, ulser mulut, hilang selera makan, keguguran rambut dan kelesuan.
Methotrexate juga berisiko menyebabkan kesan sampingan serius seperti kerosakan hati dan gangguan sumsum tulang. Tahap keseriusan kesan sampingan methotrexate bergantung kepada dos yang diambil.
Walau bagaimanapun, kesan sampingan ini dapat diminimumkan dengan pengambilan suplemen asid folik.
2. Cyclosporin
Ubat cyclosporin digunakan sebagai rawatan jangka masa pendek. Ubat ini boleh didapati dalam bentuk kapsul atau cecair dan perlu diambil setiap hari.
Walau bagaimanapun, ubat ini tidak boleh digunakan melebihi 2 tahun kerana kesannya dapat menjejaskan sistem imun badan pesakit. Pengambilan secara berpanjangan meningkatkan risiko jangkitan serius dan kanser kulit.
Selain itu, pesakit yang mengambil ubat cyclosporin harus mengehadkan pendedahan sinaran matahari kepada tubuh dan dinasihatkan untuk menggunakan krim pelindung sinaran matahari.
Pesakit yang mengambil ubat cyclosporin juga tidak seharusnya menjalani rawatan fototerapi pada masa yang sama.
3. Acitretin
Ubat ini merupakan analog vitamin A yang bertindak mengawal pertumbuhan lapisan kulit. Acitretin diambil setiap hari bersama-sama makanan.
Wanita yang merancang untuk hamil tidak boleh mengambil acitretin.
Antara kesan sampingan acitretin termasuklah kegatalan dan pengelupasan kulit, keguguran rambut, mulut kering serta peningkatan enzim pankreas.
Terapi biologi
Penggunaan terapi biologi disyorkan untuk pesakit yang menghidap psoriasis tahap serius yang tidak dapat dikawal dengan rawatan topikal atau oral.
Ubat-ubatan ini digunakan secara suntikan subkutaneus. Terapi biologi berfungsi untuk memperlahankan keradangan dan seterusnya membantu mengawal gejala psoriasis.
Antara contoh agen biologi yang digunakan dalam rawatan psoriasis ialah ixekizumab, risankizumab, secukinumab, ustekinumab, adalimumab dan etanercept.
Pesakit yang diberikan terapi biologi perlu sentiasa dipantau kerana risiko kesan sampingan yang serius seperti masalah saraf, kegagalan fungsi hati dan gangguan sistem imun tubuh.
Fototerapi
Selain ubat-ubatan, terdapat juga rawatan psoriasis yang menggunakan kaedah fototerapi. Kaedah ini lazimnya dipilih untuk pesakit psoriasis yang berada pada tahap sederhana hingga serius.
Fototerapi dijalankan dalam kabinet yang direka khas. Bilangan dan tempoh sesi fototerapi adalah berbeza untuk setiap individu, dengan mengambil kira keadaan kulit pesakit.
Kesan sampingan fototerapi termasuklah ruam, kegatalan dan kekeringan kulit serta pembentukan pigmentasi pada kawasan yang dirawat.
Fototerapi juga berisiko menyebabkan masalah penuaan kulit lebih awal dan meningkatkan risiko kanser kulit dalam jangka masa panjang.
Sebagai penutup, walaupun hingga kini psoriasis masih tidak dapat disembuhkan, namun penyakit ini boleh dikawal sekiranya pesakit mendapat rawatan yang sesuai. Pengambilan ubat dengan cara yang betul merupakan antara langkah bagi memastikan psoriasis sentiasa terkawal sekali gus membolehkan pesakit menikmati hidup yang lebih berkualiti.
Rujukan
- Siew Eng, Dr. Choon, et al. (2013). CPG: MANAGEMENT of PSORIASIS VULGARIS. Putrajaya, Malaysia health Technology Asessment Section (MaHTAS).
- Torsekar, R., & Gautam, M. M. (2017). Topical Therapies in Psoriasis. Indian dermatology online journal.





