Secara normalnya, kelenjar prostat akan membesar apabila seseorang lelaki mencapai usia akil baligh dan proses ini berterusan seiring peningkatan usia. Namun begitu, apabila pembesaran prostat berlaku secara tidak normal dan bukan disebabkan kanser, keadaan ini mungkin menandakan berlakunya benign prostatic hyperplasia (BPH).
Pada tahun 2019, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendapati bahawa kira-kira 16% lelaki di Malaysia yang berusia 40 tahun ke atas mengalami gejala BPH dan 33% dalam kalangan lelaki berusia 80 tahun.
BPH tidak sama dengan kanser prostat dan keadaan ini juga tidak semestinya meningkatkan risiko kanser prostat. BPH hanyalah pertumbuhan tisu prostat yang berlebihan, bersifat bukan kanser dan tidak merebak ke bahagian lain tubuh.
Sejarah penyakit prostat dalam keluarga, sindrom metabolik dan obesiti merupakan antara faktor risiko utama BPH.
Kajian turut menunjukkan bahawa obesiti yang melibatkan pengumpulan lemak berlebihan di bahagian abdomen mempunyai kaitan dengan perubahan hormon seksual yang boleh mencetuskan gejala BPH.
Antara gejala yang sering dialami termasuk kesukaran atau rasa sakit ketika membuang air kecil serta rasa pundi kencing tidak kosong sepenuhnya.
Keadaan ini boleh menyebabkan pesakit kerap membuang air kecil dan seterusnya menjejaskan kualiti hidup seperti kerap bangun pada waktu malam untuk ke tandas, terganggu ketika bekerja atau semasa melakukan aktiviti harian.

Ubat-ubatan untuk Rawatan BPH
Kebanyakan pesakit yang mengalami masalah BPH akan diberikan rawatan berserta pemantauan berterusan bagi membantu mengawal gejala dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.
Sebelum memulakan rawatan, doktor akan menilai gejala, mengambil sejarah perubatan, menjalankan pemeriksaan fizikal dan melakukan ujian yang bersesuaian bagi mengesahkan diagnosis.
Antara ujian yang mungkin dijalankan termasuklah ujian air kencing, ujian darah, ujian aliran air kencing, imbasan ultrabunyi dan pengukuran baki air kencing selepas membuang air kecil.
Setelah penilaian menyeluruh dilakukan dan pesakit didapati perlu menerima rawatan, mereka akan dimulakan dengan ubat-ubatan yang bersesuaian mengikut keadaan kesihatan masing-masing.
Antara ubat yang lazim digunakan dalam rawatan BPH ialah:
1. Kumpulan Alpha Blocker
Kumpulan ubat ini lazimnya menjadi pilihan pertama rawatan untuk BPH kerana bertindak dengan cepat, berkesan dan mempunyai risiko yang rendah untuk menyebabkan kesan sampingan.
Ubat dalam kumpulan ini bertindak dengan merehatkan otot pada salur kencing dan kawasan sekitar prostat bagi memudahkan pengaliran air kencing.
Contoh ubat daripada kumpulan ini ialah:
- Terazosin
- Doxazosin
- Tamsulosin
- Alfuzosin.
Ubat-ubatan ini kebiasaannya diambil sekali sehari.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku termasuklah keletihan, pening, sakit kepala, loya dan muntah.
Dalam kes-kes tertentu, sebilangan pesakit turut berisiko mengalami kesan sampingan yang serius seperti masalah ereksi, degupan jantung yang tidak teratur dan penurunan tekanan darah secara mendadak apabila berubah daripada posisi berbaring kepada berdiri.
2. Kumpulan 5-Alpha Reductase Inhibitor
Ubat daripada kumpulan ini, contohnya seperti finasteride dan dutasteride, bertindak dengan menghalang perubahan hormon yang menyebabkan pertumbuhan tisu prostat sekali gus membantu mengecilkan kelenjar prostat yang membesar.
Walau bagaimanapun, kesan rawatan lazimnya mengambil masa sehingga enam bulan sebelum menunjukkan keberkesanan yang optimum.
Antara kesan sampingan yang pernah dilaporkan termasuk pening, ginekomastia (pembesaran tidak normal payudara lelaki), keinginan seksual menurun serta masalah ereksi dan ejakulasi.
Dalam sesetengah keadaan, rawatan dengan kombinasi ubat-ubatan mungkin disarankan untuk memastikan kawalan gejala menjadi lebih optimum, khususnya kepada pesakit yang mengalami gejala BPH tahap sederhana hingga serius.
Walau bagaimanapun, disebabkan penggunaan lebih daripada satu ubat dalam rawatan kombinasi, risiko dan keseriusan kesan sampingan juga adalah lebih tinggi berbanding penggunaan satu jenis ubat sahaja.
Kaedah Rawatan yang Lain
Pembedahan atau prosedur lain mungkin diperlukan sekiranya rawatan dengan ubat-ubatan tidak memberikan kesan yang optimum.
Terdapat pelbagai jenis prosedur yang boleh dilakukan bergantung pada tahap keseriusan penyakit dan keadaan kesihatan pesakit.
Antaranya termasuklah transurethral resection of the prostate (TURP), transurethral incision of the prostate (TUIP), terapi laser, terapi wap air dan prostate artery embolisation (PAE).
Walau bagaimanapun, setiap prosedur mempunyai risiko menyebabkan kesan sampingan seperti jangkitan, pendarahan, masalah untuk mengawal pembuangan air kencing dan gangguan fungsi seksual.
Secara umumnya, pembedahan atau prosedur ini bertujuan untuk membuang atau mengecilkan tisu prostat yang membesar bagi melancarkan aliran air kencing dan mengurangkan gejala BPH.
Nasihat untuk Pesakit
Selain rawatan perubatan, amalan gaya hidup sihat juga dapat membantu mengurangkan gejala BPH.
Antaranya termasuklah mengurangkan pengambilan minuman pada waktu malam, terutama satu hingga dua jam sebelum tidur.
Perkara ini penting bagi mengurangkan kekerapan pesakit bangun daripada tidur untuk membuang air kecil.
Pengambilan kafein dan alkohol juga harus dihadkan kerana kedua-duanya boleh merangsang penghasilan air kencing, merengsakan pundi kencing dan memburukkan gejala BPH.
Pengurusan berat badan secara sihat sangat digalakkan dalam kalangan pesakit BPH. Antara amalan yang wajar dilakukan ialah aktiviti fizikal secara berkala yang dapat membantu mengawal berat badan.
Hal ini demikian kerana obesiti, khususnya obesiti abdomen, merupakan antara faktor yang dikaitkan dengan risiko BPH dan gejala saluran kencing yang lebih ketara.
Pesakit digalakkan untuk mengamalkan tabiat membuang air kecil yang baik (good toilet habit) seperti segera ke tandas apabila terasa ingin membuang air kecil dan tidak menahan kencing terlalu lama.
Selain itu, amalan double voiding, iaitu membuang air kecil sekali lagi selepas beberapa ketika, boleh membantu mengosongkan pundi kencing dengan lebih baik.
Kesimpulannya, BPH merupakan masalah kesihatan yang lazim dialami oleh lelaki berusia. Namun begitu, keadaan ini tidak wajar dipandang ringan kerana boleh menjejaskan kualiti hidup jika tidak dirawat dengan baik.
Pengesanan awal melalui pemeriksaan kesihatan secara berkala, pengambilan ubat-ubatan seperti yang diarahkan dan amalan gaya hidup sihat dapat memainkan peranan penting dalam mengurus dan merawat BPH.
Rujukan
- Launer, B. M. et al. (2021). The rising worldwide impact of benign prostatic hyperplasia. BJU international.
- Hillman, A. L. et al. (1996). The cost-effectiveness of terazosin and placebo in the treatment of moderate to severe benign prostatic hyperplasia. Urology.
- Chapple C. R. (1998). Pharmacotherapy for benign prostatic hyperplasia–the potential for alpha 1-adrenoceptor subtype-specific blockade. British journal of urology.
- Kirby R. S. (1998). Terazosin in benign prostatic hyperplasia: effects on blood pressure in normotensive and hypertensive men. British journal of urology.
- Kirby, R. S., & Pool, J. L. (1997). Alpha adrenoceptor blockade in the treatment of benign prostatic hyperplasia: past, present and future. British journal of urology.
- Mayo Clinic Staff. (2025). Benign prostatic hyperplasia (BPH). MayoClinic





