Statins ialah kumpulan ubat yang digunakan untuk menurunkan paras kolesterol dalam darah.
Ubat ini merupakan antara rawatan paling kerap diberikan kepada individu yang mempunyai kolesterol tinggi atau berisiko mengalami penyakit jantung dan strok.
Statins bertindak dengan menghalang enzim HMG-CoA reductase di dalam hati, sekali gus mengurangkan penghasilan kolesterol.
Selain menurunkan kolesterol LDL (kolesterol “jahat”), statins juga membantu menstabilkan plak pada saluran darah dan mengurangkan risiko serangan jantung serta strok.
Kegunaan Statins
Doktor mungkin menetapkan statins untuk:
- Merawat kolesterol LDL yang tinggi.
- Mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.
- Mencegah serangan jantung pertama atau berulang.
- Mengurangkan risiko strok.
- Mengurangkan risiko komplikasi kardiovaskular bagi pesakit diabetes.
- Merawat sesetengah keadaan kolesterol keturunan seperti familial hypercholesterolemia.
Walaupun perubahan gaya hidup seperti diet sihat dan senaman adalah penting, sesetengah individu masih memerlukan statins bagi mencapai sasaran kolesterol yang disyorkan.
Bagaimana Statins Berfungsi?
Sebahagian besar kolesterol dihasilkan oleh hati. Statins menghalang tindakan enzim HMG-CoA reductase yang terlibat dalam penghasilan kolesterol.
Apabila penghasilan kolesterol berkurangan, hati akan menarik lebih banyak kolesterol LDL daripada darah.
Hasilnya:
- Paras kolesterol LDL menurun.
- Paras trigliserida turut berkurangan sedikit.
- Kolesterol HDL (kolesterol “baik”) mungkin meningkat sedikit.
Gabungan kesan ini membantu mengurangkan pembentukan plak aterosklerosis yang boleh menyempitkan saluran darah.
Jenis-jenis Ubat Statin
Beberapa Ubat statins yang sering digunakan termasuk:
- Atorvastatin
- Rosuvastatin
- Simvastatin
- Pravastatin
- Lovastatin
- Fluvastatin
- Pitavastatin
Setiap ubat mempunyai potensi dan dos yang berbeza. Pemilihan statin bergantung pada tahap kolesterol, umur, risiko penyakit jantung, penyakit lain yang dihidapi serta ubat-ubatan lain yang sedang diambil.
Dos Statins
Dos statins berbeza mengikut jenis ubat dan keadaan pesakit. Secara umum:
| Ubat | Dos permulaan lazim |
|---|---|
| Atorvastatin | 10–20 mg sekali sehari |
| Rosuvastatin | 5–10 mg sekali sehari |
| Simvastatin | 10–20 mg sekali sehari |
| Pravastatin | 10–40 mg sekali sehari |
| Lovastatin | 20 mg sekali sehari bersama makanan |
Doktor mungkin meningkatkan atau mengurangkan dos berdasarkan keputusan ujian darah dan tindak balas pesakit terhadap rawatan.
Jangan mengubah dos atau menghentikan pengambilan statins tanpa berbincang dengan doktor.
Cara Mengambil Statins
Untuk mendapatkan manfaat maksimum:
- Ambil ubat mengikut arahan doktor.
- Cuba ambil pada waktu yang sama setiap hari.
- Sesetengah statins lebih sesuai diambil pada waktu malam, manakala atorvastatin dan rosuvastatin boleh diambil pada bila-bila masa.
- Teruskan mengamalkan diet rendah lemak tepu dan kolesterol.
- Lakukan aktiviti fizikal secara berkala.
- Berhenti pengambilan alkohol.
Rawatan statins biasanya bersifat jangka panjang kerana paras kolesterol boleh meningkat semula apabila ubat dihentikan.
Kesan Sampingan Statins
Kebanyakan individu mengambil statins tanpa mengalami masalah serius. Namun, seperti ubat lain, ia boleh menyebabkan kesan sampingan.
Kesan Sampingan yang Biasa
Antara kesan sampingan yang sering dilaporkan ialah:
- Sakit otot.
- Kekejangan otot.
- Sakit kepala.
- Keletihan.
- Loya.
- Sakit perut.
- Cirit-birit atau sembelit.
Kesan sampingan ini biasanya ringan dan akan berkurangan selepas beberapa ketika.
Kesan Sampingan yang Serius
Walaupun jarang berlaku, statins boleh menyebabkan:
- Kerosakan otot yang teruk (rabdomiolisis).
- Kerosakan hati.
- Reaksi alahan yang serius.
- Peningkatan paras gula dalam darah yang boleh meningkatkan risiko diabetes pada sesetengah individu.
Segera dapatkan rawatan perubatan jika mengalami:
- Sakit otot yang teruk bersama kelemahan.
- Air kencing berwarna gelap.
- Demam tanpa sebab jelas.
- Kulit atau mata menjadi kuning.
- Ruam yang teruk atau kesukaran bernafas.
Siapa yang Tidak Sesuai Mengambil Statins?
Statins mungkin tidak sesuai untuk individu yang:
- Menghidap penyakit hati yang aktif.
- Pernah mengalami reaksi alahan terhadap statin.
- Sedang hamil.
- Merancang untuk hamil.
- Menyusukan bayi (bergantung kepada jenis statins dan nasihat doktor).
Maklumkan kepada doktor sekiranya anda mempunyai penyakit buah pinggang, penyakit hati atau mengambil ubat-ubatan lain.
Interaksi Ubat
Sesetengah ubat boleh meningkatkan risiko kesan sampingan apabila diambil bersama statins, antaranya:
- Antibiotik tertentu seperti clarithromycin dan erythromycin.
- Ubat antikulat tertentu.
- Sesetengah ubat HIV.
- Cyclosporine.
- Gemfibrozil.
- Warfarin.
- Amiodarone.
Selain itu, jus limau gedang (grapefruit) boleh meningkatkan paras beberapa jenis statin dalam darah, terutamanya simvastatin, lovastatin dan atorvastatin.
Oleh itu, elakkan pengambilannya jika dinasihatkan oleh doktor.
Pemantauan Semasa Rawatan
Doktor mungkin akan melakukan beberapa pemeriksaan secara berkala seperti:
- Ujian profil lipid bagi menilai keberkesanan rawatan.
- Ujian fungsi hati jika diperlukan.
- Penilaian simptom seperti sakit otot atau kelemahan.
Pemantauan ini membantu memastikan rawatan adalah selamat dan berkesan.
Adakah Statins Selamat untuk Penggunaan Jangka Panjang?
Ya. Kajian selama beberapa dekad menunjukkan statin selamat digunakan dalam jangka panjang bagi kebanyakan pesakit.
Malah, manfaatnya dalam mengurangkan risiko serangan jantung, strok dan kematian akibat penyakit kardiovaskular adalah jauh lebih besar berbanding risiko kesan sampingan bagi individu yang mempunyai indikasi untuk rawatan.
Walau bagaimanapun, rawatan perlu dipantau oleh doktor dan disertai dengan perubahan gaya hidup yang sihat seperti berhenti merokok, mengawal berat badan, bersenam secara berkala serta mengamalkan pemakanan seimbang.
Rujukan
- Pope, C. (2024). List of Statins + Uses, Types and Side Effects. Drugs.com





