Penyakit pulmonari obstruktif kronik atau chronic obstructive pulmonary disease (COPD) ialah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan aliran udara terhalang dan pesakit sukar bernafas.
Penyakit ini sering dikaitkan dengan pendedahan berpanjangan kepada habuk dan bahan pencemar di persekitaran, termasuk asap rokok yang disedut sendiri atau daripada perokok lain.
Antara gejala yang biasa dialami termasuklah sesak nafas, batuk berpanjangan, penghasilan kahak dan bunyi berdehit ketika bernafas.
Jika tidak dikawal dengan baik, gejala ini boleh menjadi semakin teruk dan menjejaskan aktiviti harian serta kualiti hidup pesakit.
Walaupun COPD tidak dapat disembuhkan sepenuhnya, penggunaan ubat yang sesuai dapat membantu pesakit mengawal gejala dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
Kebanyakan ubat untuk COPD terdapat dalam bentuk inhaler bagi membolehkan ubat terus sampai ke saluran pernafasan.
Jenis ubat yang digunakan tidak semestinya sama bagi setiap pesakit kerana pemilihannya bergantung pada tahap kawalan penyakit dan respons terhadap rawatan.
Ubat Bronkodilator
Ubat yang dikenali sebagai bronkodilator merupakan ubat utama yang digunakan dalam rawatan COPD.
Ubat ini mengendurkan otot di sekeliling saluran pernafasan supaya saluran tersebut menjadi lebih terbuka dan udara dapat mengalir dengan lebih mudah. Kesannya, gejala seperti sesak nafas dan bunyi berdehit dapat dikurangkan.
Ubat bronkodilator boleh dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu bronkodilator untuk tindakan jangka masa pendek (short-acting bronchodilator) dan bronkodilator bagi kawalan jangka masa panjang (long-acting bronchodilator).
1. Bronkodilator untuk Tindakan Jangka Masa Pendek
Bronkodilator dalam kumpulan ini digunakan untuk melegakan gejala seperti sesak nafas dan bunyi berdehit apabila diperlukan.
Istilah “tindakan jangka masa pendek” merujuk kepada tempoh kesan ubat yang hanya bertahan selama beberapa jam. Ubat ini mempunyai kesan tindakan yang pantas untuk memberikan kelegaan kepada pesakit.
Antara ubat dalam kumpulan ini termasuklah salbutamol dan ipratropium. Salbutamol biasanya digunakan sebagai ubat pelega apabila pesakit mengalami sesak nafas.
Ipratropium pula merupakan pilihan alternatif atau boleh digunakan bersama-sama salbutamol, bergantung kepada keadaan pesakit.
2. Bronkodilator bagi Kawalan Jangka Masa Panjang
Bronkodilator bagi kawalan jangka masa panjang digunakan sebagai rawatan pengekalan (maintenance therapy) untuk mengawal gejala COPD.
Berbeza dengan bronkodilator untuk tindakan jangka masa pendek yang hanya digunakan apabila diperlukan, rawatan dengan bronkodilator bagi kawalan jangka masa panjang perlu diteruskan mengikut arahan doktor walaupun pesakit tidak mengalami sebarang gejala.
Kesan ubat boleh bertahan antara 12 hingga 24 jam, bergantung kepada jenisnya.
Bronkodilator bagi kawalan jangka masa panjang terdiri daripada long-acting beta agonist (LABA), seperti salmeterol dan formoterol, serta long-acting muscarinic agonist (LAMA), seperti tiotropium.
Pemilihan ubat daripada kedua-dua kumpulan ini bergantung kepada gejala dan keperluan pesakit. Sesetengah pesakit hanya memerlukan LABA atau LAMA, manakala sebilangan pesakit lain yang mengalami gejala yang lebih serius pula mungkin memerlukan kombinasi kedua-duanya.
Ubat Tambahan untuk Pesakit COPD
Selain bronkodilator, doktor mungkin mempertimbangkan ubat tambahan kepada sesetengah pesakit jika gejala COPD masih belum terkawal atau keadaan pesakit kerap menjadi lebih teruk.
Pemilihan ubat ini bergantung kepada beberapa perkara seperti gejala dan respons pesakit terhadap rawatan.
Dua ubat tambahan yang sering diberikan kepada sesetengah pesakit COPD ialah inhaler kortikosteroid (inhaled corticosteroid) dan theophylline.
Inhaler kortikosteroid membantu mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan. Ubat ini tidak digunakan sebagai rawatan tunggal untuk COPD.
Sebaliknya, doktor mungkin menambah inhaler kortikosteroid kepada rawatan bronkodilator sedia ada, terutama kepada pesakit yang kerap mengalami gejala walaupun telah menggunakan ubat secara berkala.
Theophylline digunakan untuk membantu membuka saluran pernafasan. Namun begitu, penggunaannya kini semakin terhad kerana theophylline boleh berinteraksi dengan pelbagai ubat lain.
Dos theophylline yang terlalu tinggi juga boleh menyebabkan kesan sampingan seperti loya, muntah, jantung berdebar-debar, degupan jantung tidak teratur atau sawan.
Gunakan Inhaler dengan Cara yang Betul
Ubat untuk rawatan COPD dalam bentuk inhaler perlu digunakan dengan teknik yang betul. Hal ini kerana teknik yang salah boleh menyebabkan jumlah ubat yang sampai ke paru-paru tidak mencukupi, sekali gus mengurangkan keberkesanan rawatan.
Bagi memastikan inhaler digunakan dengan betul, ahli farmasi akan menerangkan dan menunjukkan cara penggunaannya semasa sesi kaunseling.
Pesakit seterusnya perlu menunjukkan semula cara menggunakan inhaler di hadapan ahli farmasi supaya sebarang kesilapan dapat dikenal pasti dan dibetulkan.
Jika terdapat langkah yang kurang difahami, pesakit hendaklah bertanya kepada ahli farmasi untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Kaunseling ini tidak terhad pada permulaan rawatan sahaja. Penilaian semula perlu dilakukan dari semasa ke semasa, terutama sekiranya gejala masih belum terkawal atau pesakit mula menggunakan jenis inhaler yang lain.
Oleh sebab itu, pesakit digalakkan membawa inhaler setiap kali mendapatkan rawatan. Langkah ini turut membolehkan baki dos ubat disemak bagi memastikan bekalan masih mencukupi.
Sebagai kesimpulan, pemilihan ubat oleh doktor untuk rawatan COPD berbeza mengikut gejala, keadaan kesihatan dan respons setiap pesakit terhadap rawatan.
Selain pemilihan ubat yang sesuai, teknik penggunaan inhaler yang betul dan kepatuhan terhadap rawatan turut mempengaruhi keberkesanan rawatan.
Pemahaman tentang pilihan ubat dan cara penggunaannya dapat membantu pesakit mengawal COPD dengan lebih baik.





