Diagnosis penyakit Alzheimer melibatkan beberapa kaedah dan alat yang lazimnya digunakan untuk membantu doktor atau ahli profesional kesihatan menentukan sama ada seseorang itu menghidap penyakit Alzheimer atau tidak.
Golongan-golongan berisiko seperti mereka yang berusia dan mempunyai masalah pemikiran atau ingatan disarankan untuk menjalani diagnosis atau pemeriksaan awal.
Mungkin ramai yang beranggapan bahawa gejala-gejala seperti hilang ingatan atau pelupa adalah proses biasa apabila meningkat usia. Hakikatnya, ia mungkin gejala-gejala yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer.

Beberapa langkah diagnosis penyakit Alzheimer yang mungkin dilakukan oleh doktor atau ahli profesional kesihatan adalah seperti berikut:
- Bertanyakan mengenai gejala-gejala yang berlaku kepada pesakit, ahli keluarga atau rakan.
- Bertanyakan mengenai kesihatan secara keseluruhan, pengambilan ubat-ubatan atau masalah perubatan yang lalu.
- Melakukan ujian memori (ingatan), penyelesaian masalah, tumpuan, pengiraan dan bahasa.
- Melakukan ujian air kencing, darah atau ujian perubatan yang lain yang boleh membantu.
- Membuat penilaian psikiatri bagi memastikan kemurungan atau keadaan kesihatan mental lain tidak menyumbang kepada gejala-gejala yang dialami.
- Mengambil cecair serebrospina dan mengukur paras protein yang berkaitan dengan penyakit Alzheimer dan demensia.
- Melakukan imbasan otak seperti imbasan tomografi berkomputer (CT scan), pengimejan resonan magnet (MRI) atau tomografi pancaran positron (PET) bagi menyokong diagnosis Alzheimer atau menolak kemungkinan punca lain untuk gejala-gejala yang berlaku.
Doktor mungkin ingin mengulangi ujian ini untuk membantu menentukan bagaimana ingatan seseorang dan fungsi kognitif lain berubah dari semasa ke semasa.
Ujian ini juga boleh membantu mendiagnosis punca lain masalah ingatan, seperti strok, tumor, penyakit Parkinson, gangguan tidur, kesan sampingan ubat, jangkitan, atau jenis demensia yang lain.
Sesetengah keadaan ini mungkin boleh dirawat dan mungkin boleh diterbalikkan.
Apa yang Berlaku Jika Doktor Menganggap Ia adalah Penyakit Alzheimer?
Jika doktor rawatan asas mengesyaki anda menghidap penyakit Alzheimer, beliau boleh merujuk pesakit kepada pakar yang boleh memberikan diagnosis terperinci atau penilaian lanjut.
Pakar tersebut terdiri daripada:
- Pakar geriatrik: Seseorang yang ahli di dalam perawatan dan pengendalian masalah serta penyakit orang tua.
- Pakar psikiatri geriatrik: Seseorang yang pakar dalam masalah mental dan emosi bagi orang tua dan boleh menilai masalah memori dan pemikiran.
- Pakar neurologi: Seseorang yang pakar dalam keabnormalan otak dan sistem saraf pusat dan boleh menjalankan dan menilai imbasan otak.
- Pakar neuropsikologi: Seseorang yang boleh menjalankan ujian memori dan pemikiran.
Apakah Faedah atau Kebaikan Diagnosis Awal?
Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang berkembang secara perlahan-lahan dalam satu tempoh masa yang agak lama.
Mereka yang menghidap penyakit ini berkembang pada kadar yang berbeza, dari Alzheimer ringan, apabila mereka mula-mula melihat gejala, kepada teruk, apabila mereka bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk penjagaan rutin harian.
Diagnosis awal yang tepat bermanfaat untuk beberapa sebab seperti:
- Ubat-ubatan boleh membantu merawat perkembangan penyakit Alzheimer.
- Ubat-ubatan juga boleh membantu merawat gejala-gejala Alzheimer.
- Kebanyakan ubat-ubatan yang ada pada masa ini berfungsi paling baik untuk mereka yang menghidap penyakit ini pada peringkat awal atau pertengahan.
Selain itu, diagnosis awal boleh membantu penghidap penyakit Alzheimer dan ahli keluarganya untuk:
- Merancang untuk masa depan
- Menguruskan hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan
- Menangani potensi isu keselamatan
- Membina rangkaian sokongan
- Belajar tentang pengaturan atau pengurusan hidup