Warna kuku yang berubah boleh menjadi tanda kepada jangkitan, kecederaan atau masalah kesihatan yang lebih serius. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa warna kuku boleh memberitahu anda tentang masalah dalaman yang anda alami.
Apabila ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan anda, salah satu tanda ialah kuku yang berubah warna. Kuku yang sihat mempunyai rona merah jambu dan berwarna sekata.
Perubahan warna yang tidak normal akan berbeza-beza bergantung kepada punca yang menyebabkannya. Ia mungkin masalah yang hanya menjejaskan kuku atau masalah kesihatan yang lain di dalam badan.
Selain daripada warna yang berubah, perubahan tekstur dan bentuk juga boleh menjadi tanda kepada penyakit tertentu.
Teruskan membaca untuk mengetahui rahsia yang mungkin didedahkan oleh kuku anda.
Warna Kuku Kebiruan
Kuku dengan warna kebiruan boleh bermakna badan anda tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Selain itu, warna kuku kebiruan juga boleh menjadi petanda bahawa anda mempunyai masalah paru-paru seperti emphysema iaitu penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan sesak nafas.
Warna kuku kebiruan juga boleh menjadi petanda bahawa anda mempunyai masalah berkaitan dengan jantung.
Warna Biru Pada Bentuk Separuh Bulan Kuku
Sekiranya anda mendapati berlaku perubahan warna pada separuh bulan (lunula) kuku kepada warna biru, ia boleh menjadi petanda keracunan.
Perubahan kepada lunula kepada warna biru tiru menandakan bahawa seseorang itu mengalami keracunan. Contohnya seperti keracunan perak akibat terdedah kepada perak secara berlebihan.
Bagi kebanyakan orang, lunula kuku jari kaki kekal putih, tetapi tangan, muka atau mata seseorang mungkin bertukar menjadi biru.
Warna Kuku Kuning
Warna kuku kuning boleh menjadi petanda adanya jangkitan kulat pada kuku tersebut. Jangkitan kulat adalah penyebab yang paling lazim yang menyebabkan warna kuku menjadi kuning.
Apabila jangkitan semakin teruk, dasar kuku mungkin tertarik dan kuku akan menjadi tebal dan hancur.
Dalam kes-kes terpencil, kuku kuning juga boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti penyakit paru-paru, penyakit tiroid, diabetes, artritis reumatoid atau psoriasis.
Selain itu, memakai pengilap kuku berwarna merah tanpa menggunakan lapisan asas dan merokok juga boleh menyebabkan kuku menjadi kuning.
Warna Kuku Putih
Warna kuku putih secara keseluruhan, separa atau bertompok dikenali sebagai leukonychia.
Perubahan kepada warna putih ini disebabkan oleh kecederaan, kosmetik kuku, anemia, kekurangan zat, penyakit jantung, penyakit buah pinggang atau keracunan.
Bagi individu yang sihat, kuku yang bertompok putih biasanya tidak berbahaya.
Warna Kuku Hitam
Warna kuku hitam boleh disebabkan oleh jangkitan bakteria Pseudomonas yang teruk atau lebam akibat tersepit atau terketuk.
Di samping itu, perubahan warna ini boleh juga disebabkan oleh melanoma iaitu sejenis kanser kulit. Jika kuku atau kuku kaki mempunyai jalur gelap yang baru atau berubah, ia mungkin petanda kepada melanoma.
Sekiranya anda tidak pasti punca yang menyebabkan kuku anda menjadi hitam, sila dapatkan rawatan daripada ahli dermatologi.
Warna Kuku Merah
Kuku yang bertukar menjadi merah boleh disebabkan oleh lebam akibat kecederaan dan boleh berubah menjadi warna ungu.
Jalur berwarna merah atau ungu juga boleh berlaku akibat sedikit perdarahan yang berlaku dibawah kuku.
Warna Kuku Hijau
Turut dikenali sebagai sindrim kuku hijau. Perubahan warna kuku kepada hijau selalunya disebabkan oleh jangkitan bakteria, Pseudomonas.
Warna Kuku Coklat
Warna kuku coklat boleh disebabkan oleh kesan kotor daripada rokok, pengilap kuku atau ubat kemoterapi.
Rujukan dan Kredit Imej
- Fox, J. D. et al. (2016). Chromonychia in an Asymptomatic Vitamin Consumer. Skin appendage disorders.
- Müller, S. et al. (2014). Green Nail Syndrome (Pseudomonas aeruginosa Nail Infection): Two Cases Successfully Treated with Topical Nadifloxacin, an Acne Medication. Case reports in dermatology.
- Baran, R.L., Vignes, S. (2021). Yellow Nail Syndrome. In: Baran, R.L. (eds) Advances in Nail Disease and Management. Updates in Clinical Dermatology. Springer, Cham.
- Iorizzo, M. et al. (2022). Leukonychia: What Can White Nails Tell Us?. Am J Clin Dermatol
- Zuckerman, M. et al. (2012). Minocycline Toxicity: Case Files of the University of Massachusetts Medical Toxicology Fellowship. Journal of medical toxicology.