Keracunan boleh membawa kepada kecederaan badan yang menjurus kepada kematian. Mengenali jenis-jenis keracunan, gejala-gejala dan cara merawatnya boleh membantu menyelamatkan nyawa.
Racun adalah bahan yang boleh menyebabkan kecederaan atau menjejaskan badan. Racun ini boleh memasuki badan melalui beberapa cara seperti ditelan, dihidu, disuntik atau diserap melalui kulit.
Kanak-kanak kecil adalah golongan paling mudah terdedah kepada keracunan. Mereka juga boleh mengalami gejala-gejala yang teruk akibat saiz badan yang kecil.

Keracunan boleh dibahagikan kepada dua iaitu akut atau kronik (berpanjangan). Keracunan akut biasanya disebabkan oleh keracunan makanan, karbon monoksida, bahan kimia atau ubat-ubatan tertentu.
Manakala, keracunan kronik adalah masalah kesihatan yang berlaku akibat pengambilan alkohol dan rokok pada satu jangka masa yang panjang. [1]
Gejala-gejala Lazim Bagi Keracunan
Gejala-gejala dan tanda keracunan berbeza-beza bergantung kepada jenis racun, jumlah racun yang terlibat dan bagaimana seseorang itu terdedah kepada racun tersebut.
Antara gejala-gejala dan tanda yang perlu diberi perhatian adalah: [2]
- Loya atau/dan muntah
- Cirit-birit (diarea)
- Ruam
- Luka atau kemerahan pada sekitar mulut
- Mulut kering
- Meleleh air liur atau buih di mulut
- Sukar bernafas
- Anak mata (pupil) terbeliak
- Anak mata (pupil) menyempit
- Kekeliruan
- Pitam
- Menggeletar atau sawan
Jenis-jenis Keracunan
Terdapat beberapa jenis keracunan yang biasanya berlaku, antaranya adalah:
1. Keracunan Makanan
Keracunan makanan adalah penyakit yang disebabkan oleh makanan atau minuman yang tercemar dengan kuman seperti bakteria, virus, parasit atau toksin daripada kuman tersebut.
Biasanya, ia berlaku apabila makanan yang dimakan tidak dibasuh dengan baik, dimakan mentah, tidak dibasuh atau pengendalian makanan yang tidak bersih.
Bergantung kepada jenis keracunan makanan, gejala-gejala boleh berlaku secara ringan atau teruk. Antara gejala-gejala yang lazim berlaku adalah:
- Sakit perut
- Kekejangan perut
- Loya
- Muntah
- Cirit-birit (diarea)
- Demam
Sila dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti berikut:
- Cirit-birit berdarah
- Dehidrasi
- Demam panas (melebihi 38.9°C)
- Muntah yang kerap
2. Keracunan Karbon Monoksida
Karbon monoksida adalah gas beracun yang terhasil melalui pembakaran gasolin, kayu, propana, arang dan kerosin. Gas karbon monoksida tidak mempunyai rasa, bau atau warna. Sekiranya anda menyedut gas ini terlalu banyak, ia boleh menyebabkan keracunan karbon monoksida.
Karbon monoksida mudah untuk memasuki badan anda melalui paru-paru. Apabila gas ini memasuki saluran darah, ia akan mengikat dengan hemoglobin (protein dalam sel-sel darah merah) dengan lebih kuat berbanding oksigen.
Keadaan ini akan menghalang oksigen daripada sampai ke tisu-tisu dan sel-sel badan. Akibatnya, ia menyebabkan kerosakan tisu yang teruk dan kematian.
3. Keracunan Bahan Kimia
Terdapat banyak bahan kimia isi rumah yang beracun. Contohnya seperti pencuci lantai, peluntur, cat, bateri atau racun perosak.
Kebanyakan bahan kimia ini perlu digunakan dengan betul dan memerlukan penggunaan kelengkapan pelindungan diri seperti sarung tangan atau penutup hidung dan mulut.
Sebagai contoh, sekiranya peluntur dicampurkan dengan ammonia, ia akan menghasilkan gas kloramina. Gas ini boleh merengsakan hidung, tekak dan paru-paru.
Jika anda terhidu gas ini pada kepekatan yang tinggi, ia boleh menyebabkan kematian.
Selain itu, sekiranya anda atau anak anda tertelan bahan kimia seperti bateri, minyak pelincir atau peluntur, ia juga boleh menyebabkan keracunan bahan kimia yang serius.
4. Keracunan Alkohol
Keracunan alkohol boleh berlaku secara akut dan kronik. Keracunan akut berlaku apabila jumlah alkohol yang diminum adalah banyak dan dalam jangka masa yang singkat, turut dikenali sebagai minum lewah (binge drinking).
Keracunan alkohol adalah serius. Peratusan alkohol yang tinggi dalam darah boleh menyebabkan bahagian otak yang mengawal pernafasan, kadar jantung dan fungsi-fungsi penting yang lain berhenti. [3]
Keracunan alkohol boleh menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Sawan
- Hipotermia (suhu badan rendah)
- Sianosis (keadaan kulit dan membran mukus yang menjadi biru akibat kurangnya oksigen di dalam darah)
- Pernafasan perlahan
- Pengsan atau tidak sedarkan diri
- Kekeliruan
- Muntah
- Pernafasan tidak teratur
5. Keracunan Ubat (Drug)
Keracunan ubat (drug) adalah jenis keracunan yang paling lazim berlaku kepada orang dewasa. Ia berlaku akibat penyalahgunaan ubat atau diambil secara berlebihan daripada sepatutnya.
Sebagai contoh, ubat paracetamol (Panadol, Uphamol) jika diambil pada dos yang tinggi dalam satu-satu masa, ia boleh membebankan hati dan menyebabkan ia tidak dapat memetabolismekan (memecahkan) ubat tersebut.
Akibatnya, keracunan ubat boleh mengubah cara hati berfungsi, menyebabkan kerosakan atau kegagalan hati.
Pengambilan ubat (drug) pada dos yang berlebihan juga boleh merosakkan pelbagai sistem dan organ badan termasuklah hati, buah pinggang, kitaran darah dan pernafasan.
Rawatan Kecemasan
Bergantung kepada jenis keracunan yang dialami, rawatan adalah berbeza-beza. Adalah penting ahli pofesional kesihatan untuk menilai pesakit tersebut dengan betul bagi menentukan rawatan yang betul.
Rawatan yang mungkin boleh digunakan untuk merawat keracunan termasuk:
- Arang diaktifkan: Arang diaktifkan ialah serbuk hitam yang tidak berbau dan tidak berasa dicampur dengan air. Ia boleh mengikat pelbagai bahan supaya ia tidak akan diserap dari saluran penghadaman ke dalam darah.
- Antibiotik: Antibiotik ialah ubat yang menghentikan atau membunuh pertumbuhan bakteria. Ahli profesional kesihatan anda mungkin menetapkan antibiotik untuk keracunan makanan akibat bakteria.
- Antidot: Antidot (penawar) ialah ubat yang meneutralkan atau mengatasi kesan racun dalam badan. Antidot boleh diberikan melalui saluran intravena (IV) yang dimasukkan ke dalam vena (urat darah) di lengan.
- Bernafas oksigen tulen: Jika anda mengalami keracunan karbon monoksida, anda mungkin diminta untuk menyedut oksigen tulen melalui topeng yang diletakkan di atas hidung dan mulut anda. Jika anda tidak boleh bernafas sendiri, mesin (ventilator) mungkin melakukan pernafasan untuk anda.
- Terapi oksigen hiperbarik: Bagi kes keracunan karbon monoksida yang teruk, terapi oksigen hiperbarik ini mungkin digunakan. Terapi ini melibatkan pernafasan oksigen tulen dalam kebuk (kamar) dengan tekanan udara 2 hingga 3 kali lebih tinggi daripada biasa. Kaedah ini mempercepatkan penggantian karbon monoksida dengan oksigen di dalam darah.
Langkah-langkah Pencegahan
Langkah-langkah pencegahan boleh diambil bagi mengurangkan risiko daripada berlakunya keracunan. Antaranya adalah:
- Jangan mencampurkan bahan kimia.
- Simpan bahan kimia di rumah di dalam botol asalnya dan letakkan di tempat yang tidak boleh dicapai oleh anak kecil.
- Berhenti meminum alkohol.
- Membaca label arahan ubat-ubatan dengan teliti sebelum memakannya.
- Buang ubat-ubatan, herba atau suplemen yang telah tamat tarikh luput.
- Pasang alat pengesan karbon monoksida. Gas ini lebih ringan daripada udara, maka pasang alat pengesan gas ini di siling atau dinding rumah pada ketinggian kira-kira 5 kaki dari lantai.
- Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan bersih sebelum memakannya. Elakkan memakan daging atau makanan laut yang mentah.
Rujukan
- Müller, D., & Desel, H. (2013). Common causes of poisoning: etiology, diagnosis and treatment. Deutsches Arzteblatt international.
- Editorial staff. (2021). Poisoning. Familydoctor.org
- Gallagher, N., & Edwards, F. J. (2019). The Diagnosis and Management of Toxic Alcohol Poisoning in the Emergency Department: A Review Article. Advanced journal of emergency medicine.
- Sabour, J. (2022). How to Recognize and Treat Poisoning. verywellhealth.