Kahak adalah sejenis lendir atau mukus yang dibuat di dada anda. Anda biasanya tidak mengeluarkan jumlah kahak yang banyak melainkan anda sakit. Anda mungkin mendapati kahak anda mempunyai warna berbeza dan tertanya-tanya apakah maksud warna kahak tersebut.
Warna kahak boleh membantu anda mendapatkan gambaran akan gangguan kesihatan yang mungkin anda alami dan seterusnya boleh membantu anda mengambil langkah sewajarnya.
Kahak biasanya mempunyai warna yang jernih dan lazimnya ia hanya terhasil dengan banyak sekiranya anda sakit atau badan anda ingin menyingkirkan alergen atau bahan perengsa.

Berikut adalah panduan warna kahak yang boleh memberikan maklumat awal tentang masalah kesihatan yang sedang anda alami serta kenapa ia mempunyai warna berbeza-beza.
Kahak Warna Kuning atau Hijau
Jika kahak anda berwarna kuning atau hijau, biasanya ia menunjukkan tanda bahawa badan anda sedang melawan jangkitan seperti radang paru-paru.
Warna tersebut berasal dari sel-sel darah putih. Pada mulanya, anda mungkin melihat kahak kuning yang kemudian berkembang menjadi kahak hijau.
Perubahan berlaku dengan keparahan dan panjang penyakit yang berlaku.
Lazimnya, kahak kuning atau hijau disebabkan oleh:
- Pneumonia (radang paru-paru)
- Cystic fibrosis
- Bronkitis
- Sinusitis
Kahak Warna Merah atau Merah Jambu
Kahak merah atau merah jambu besar kemungkinan disebabkan oleh darah. Ini bermakna kahak anda mengandungi darah.
Biasanya, kahak berwarna merah atau merah jambu disebabkan oleh:
- Pneumonia
- Penyakit tibi (tuberkulosis)
- Embolisme pulmonari (pulmonary embolism)
- Kegagalan jantung kongestif
- Kanser paru-paru
Kahak yang berwarna merah jambu dan berbuih mungkin petanda bahawa anda mungkin mengalami kegagalan jantung kongestif di peringkat akhir.
Sekiranya anda mengalami keadaan ini diikuti dengan gejala-gejala seperti sesak nafas yang ekstrem, sakit dada dan berpeluh, sila dapatkan rawatan kecemasan segera.
Kahak Warna Coklat
Kahak berwarna coklat ini bermakna bahawa ia adalah darah yang lama. Anda mungkin melihat kahak berwarna coklat selepas kahak anda berwarna merah atau merah jambu.
Warna coklat ini juga boleh ditafsirkan warna karat.
Kahak coklat ini lazimnya disebabkan oleh:
- Pneumonia akibat bakteria
- Bronkitis akibat bakteria
- Cyctic fibriosis
- Pneumoconiosis
- Abses paru-paru (paru-paru bernanah)
Kahak Warna Hitam
Kahak berwarna hitam bermakna anda menyedut sesuatu yang berwarna hitam dengan banyak. Ia mungkin asap hitam atau debu batu arang.
Selain itu, ia juga bermakna anda mungkin mengalami jangkitan fungi (kulat) yang memerlukan rawatan segera.
Kahak berwarna hitam biasanya disebabkan oleh:
- Jangkitan kulat
- Merokok
- Pneumoconiosis
Kahak Warna Putih
Kahak berwarna putih menunjukkan anda mungkin mengalami masalah kesihatan tertentu.
Jika anda batuk dengan kahak putih yang berketul atau pekat, ia mungkin menunjukkan anda mengalami jangkitan bakteria pada saluran udara.
Manakala, jika anda batuk dengan kahak putih yang berbuih, ia mungkin menjadi petanda kepada:
- Pneumonia
- Penyakit pulmonari obstruktif kronik (COPD)
- Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)
- Edema peparu
Kahak Warna Jernih
Badan manusia mengeluarkan lendir dan kahak yang jernih setiap hari.
Kahak ini kebanyakannya mengandungi air, protein, antibodi, dan beberapa garam terlarut untuk membantu melincirkan dan melembapkan sistem pernafasan anda.
Peningkatan penghasilan kahak yang jernih mungkin bermakna badan anda sedang cuba mengeluarkan bahan perengsa seperti debunga atau virus.
Kahak jernih biasanya disebabkan oleh:
- Pneumonia akibat virus
- Bronkitis akibat virus
- Rinitis alergi
Kenapa Kahak Pekat dan Melekit?
Konsistensi kahak anda boleh berubah kerana banyak sebab. Daripada berbuih hingga tebal dan melekit.
Kahak anda mungkin menjadi lebih tebal dan lebih gelap apabila jangkitan berkembang. Ia juga mungkin lebih tebal pada waktu pagi atau jika anda mengalami dehidrasi.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Kahak adalah sebahagian daripada sistem pernafasan yang normal. Walau bagaimanapun, jika ia menjejaskan kehidupan harian anda, mungkin anda perlu berjumpa doktor.
Jika kahak anda jernih atau berwarna kuning atau hijau, mungkin selamat untuk menunggu beberapa hari atau minggu sebelum ke klinik atau hospital.
Namun, anda perlu sentiasa mengawasi gejala-gejala lain yang mungkin menunjukkan perkembangan penyakit anda.
Jika kahak anda berwarna merah, coklat atau hitam serta turut berbuih, sila berjumpa doktor dengan segera. Ia mungkin menjadi tanda kepada masalah kesihatan yang serius.
Rujukan
- Marcin, A. (2023). What Does the Color of My Phlegm Mean? Healthline.