Resdung atau nama perubatannya radang sinus (sinusitis) adalah keadaan dimana terjadinya jangkitan atau radang pada lapisan membran pada rongga sinus.
Sinus adalah rongga berisi udara pada tengkorak yang dilapisi oleh membran. Membran ini mengeluarkan sedikit cairan untuk memerangkap kotoran dan memberi kelembapan pada rongga hidung.
Radang sinus atau resdung boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak. Radang sinus ini boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu:
- Radang sinus akut
- Radang sinus kronik
Siapakah yang Boleh Menghidap Resdung?
Jangkitan pada sinus boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Meskipun begitu, mereka yang mempunyai alahan hidung, polip hidung, asma dan struktur hidung yang tidak normal adalah lebih berisiko untuk menghidap resdung atau radang sinus.
Merokok juga boleh meningkatkan keberangkalian untuk seseorang itu mengalami jangkitan sinus.
Punca yang Menyebabkan Resdung
Resdung boleh disebabkan oleh jangkitan:
- Virus
- Bakteria
- Kulat
Terdapat juga agen-agen penyebab radang lain yang boleh menyebabkan resdung. Contohnya seperti:
- Alahan
- Iritasi kimia
- ketumbuhan dalam hidung (polyp)
Tanda-tanda dan Gejala
Antara tanda-tanda dan gejala resdung atau radang sinus adalah:
- Hidung tersumbat
- Selesema berpanjangan
- Hidung berbau busuk
- Jerawat pada muka
- Batuk
- Sakit kepala atau muka
- Demam
- Letih dan lesu
- Hilang deria rasa dan bau
- Batuk teruk pada waktu malam
- Halitosis
- Radang pada hidung
- Hidung berair
- Titis postnasal
Bagaimana Merawat Resdung atau Radang Sinus?
Bagi radang sinus akut, langkah-langkah berikut boleh membantu merawat atau mengurangkan gejala:
- Rehat yang mencukupi
- Makan ubat penahan sakit seperti panadol
- Bernafas dalam wap panas dari semangkuk air
- Ubat antibiotik boleh merawat radang tersebut sekiranya penyebabnya adalah bakteria
- Ubat selesema boleh membantu mengurangkan bengkak dalam hidung
Bagi radang sinus kronik pula, rawatan berikut mungkin boleh membantu:
- Steroid nasal spray (dapat mengurangkan bengkak dan radang)
- Penggunaan antihistamin dalam jangka masa panjang
- Pembedahan endoskopik untuk mencuci dan melebarkan saluran sinus
Langkah-langkah Pencegahan
Beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mencegah radang sinus atau resdung daripada berlaku dan berulang adalah:
- Hindari haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.
- Elakkan bahan-bahan yang boleh menyebabkan tindak balas alahan seperti debunga, debu atau asap rokok.
- Pastikan kelembapan di rumah adalah baik
- Berhenti merokok
- Hindari alkohol
- Ambil ubat selsema sebelum berenang atau menyelam.
Rujukan
- Cleveland Clinic medical professional. (2020). Sinus Infection (Sinusitis). Cleveland Clinic.
- Mayo Clinic Staff. (2021). Acute sinusitis. MayoClinic