Alat semburan hidung (nasal spray) adalah salah satu bentuk sediaan ubat yang sangat membantu terutamanya ketika mengalami masalah hidung tersumbat atau gejala alergi (alahan). Maka, adalah penting untuk anda mengetahui cara menggunakan alat semburan hidung yang betul.
Alat semburan hidung mengandungi bahan aktif yang telah diformulasi dalam bentuk cecair yang mudah meresap ke dalam salur darah pada permukaan dalam hidung.
Dalam situasi tertentu, alat semburan hidung lebih menjadi pilihan kerana bahan aktifnya dapat diserap lebih cepat berbanding ubat yang diambil secara oral (makan). Penyerapan yang pantas ini membolehkan pengguna mendapat kelegaan yang lebih cepat.
Oleh sebab itu, cara penggunaan yang betul harus dititikberatkan agar penyerapan bahan aktif tersebut dapat dioptimumkan dan seterusnya memberi kesan yang dikehendaki.
Kegunaan Alat Semburan Hidung
Alat semburan hidung biasanya digunakan dalam beberapa keadaan yang secara umumnya bergantung kepada bahan aktif utama di dalam alat tersebut.
Pengguna hendaklah mendapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum menggunakan alat semburan hidung untuk memastikan alat yang betul digunakan bagi merawat masalah yang dialami.
Terdapat 4 kegunaan utama alat semburan hidung iaitu:
1. Sebagai Dekongestan bagi Hidung Tersumbat
Antara bahan aktif yang digunakan dalam alat semburan hidung jenis dekongestan ialah oxymetazoline dan phenylephrine.
Bahan-bahan aktif ini melegakan rasa tersumbat dengan cara menyempitkan saluran darah dan sekali gus mengecilkan tisu hidung yang membengkak.
Alat semburan hidung dekongestan sesuai digunakan sekiranya pengguna memerlukan kelegaan pantas. Contohnya, ketika pengguna mengalami selesema ataupun alergi yang agak serius.
Walau bagaimanapun, alat semburan hidung dekongestan tidak boleh digunakan lebih daripada tiga hari. Penggunaan berpanjangan berisiko menyebabkan penggunanya menjadi terlalu bergantung kepada bahan aktif dan kemudiannya mengakibatkan pesakit mengalami kesan melantun (gejala muncul kembali selepas rawatan tamat).
2. Mengurangkan Keradangan Akibat Serangan Alergi
Gejala keradangan seperti bengkak pada bahagian dalam hidung, hingus yang banyak dan kerap bersin boleh dirawat dengan alat semburan hidung yang mengandungi bahan aktif daripada kumpulan steroid.
Oleh sebab itu, alat semburan hidung jenis ini sesuai digunakan untuk merawat rinitis, sinusitis dan polip hidung (nasal polyp). Antara contoh ubat yang tergolong dalam kumpulan ini termasuklah budesonide, fluticasone, mometasone dan triamcinolone.
Secara umumnya, alat semburan hidung ini tidak menyebabkan kesan sampingan yang serius sekiranya digunakan dengan cara atau pada dos yang betul.
Namun begitu, pengguna perlu berhati-hati apabila menggunakan alat semburan hidung yang mengandungi steroid dan sentiasa cakna akan gejala kesan sampingan seperti hidung berasa pedih, rasa kering dan sakit pada tekak serta hidung berdarah.
3. Mencairkan Mukus dalam Hidung
Alat semburan hidung yang mengandungi cecair bergaram pula berfungsi untuk mencairkan mukus dan mengelakkannya daripada menjadi keras. Fungsi ini dapat membantu pengguna mengekalkan hidung dalam keadaan lembap.
Di samping itu, cecair bergaram sebagai bahan aktif juga dapat membantu mengeluarkan bendasing yang mungkin terperangkap pada bahagian dalam hidung.
Namun begitu, alat semburan hidung jenis ini tidak boleh mengubati keadaan hidung tersumbat.
4. Menghasilkan Kesan Secara Sistemik bagi Beberapa Penyakit Tertentu
Selain merawat gejala yang berkaitan dengan hidung secara langsung, sesetengah alat semburan hidung digunakan untuk memberi kesan secara sistemik.
Contohnya, pesakit diabetes insipidus biasanya menggunakan alat semburan hidung yang mengandungi desmopressin sebagai salah satu rawatan.
Perdarahan hidung akut pula dapat dihentikan dengan menggunakan alat semburan hidung dengan bahan aktif gabungan lignocaine dan phenylephrine.
Alat semburan hidung yang sama juga boleh digunakan sebagai anestetik topikal sebelum sesuatu prosedur perubatan.
Teknik Penggunaan Alat Semburan Hidung
1. Penggunaan Kali Pertama (priming)
Pertama sekali, keluarkan penutup perlindungan alat semburan hidung. Cara memegang alat ini dengan cara yang betul ialah dengan mengepit bahagian atas alat semburan hidung dengan jari telunjuk dan jari tengah sambil bahagian dasarnya ditampung dengan menggunakan ibu jari.
Kemudian, goncang alat semburan untuk memastikan kandungannya bercampur dengan sebati. Walau bagaimanapun, terdapat alat semburan hidung yang tidak boleh digoncang.
Oleh sebab itu, pengguna perlu mendapatkan kepastian tentang perkara ini daripada doktor atau ahli farmasi berkenaan perkara ini.
Tekan alat semburan hidung hingga kandungannya dapat dilihat telah keluar ke udara. Proses ini mungkin memerlukan alat tersebut ditekan sebanyak 3-10 kali bergantung kepada jenisnya.
Proses inilah yang dikenali sebagai priming. Priming dilakukan sekali sahaja untuk setiap alat semburan hidung. Namun, jika alat semburan sudah tidak digunakan lebih daripada 1-2 minggu, proses priming hendaklah dilakukan sekali lagi.
2. Penggunaan yang Seterusnya
Setiap kali sebelum menggunakan alat semburan hidung, pengguna harus mengeluarkan mukus atau membersihkan hidung.
Setelah bersedia, pengguna hendaklah menundukkan sedikit kepala ke hadapan sebelum memasukkan hujung alat semburan hidung secara berhati-hati ke dalam lubang hidung.
Jarak yang bersesuaian untuk memasukkan alat semburan hidung ialah suku atau setengah inci ke dalam hidung, bergantung kepada jenis alat yang digunakan Pada masa yang sama, lubang hidung yang bersebelahan harus ditutup dengan jari.
Kemudian, tekan alat semburan hidung sebanyak satu kali sambil nafas disedut perlahan-lahan melalui hidung. Elakkan menyembur kandungan alat semburan hidung terus pada dinding hidung. Ulang langkah yang sama untuk dos seterusnya bagi lubang hidung yang satu lagi.
Pengguna dinasihatkan agar tidak mendongakkan kepala semasa menggunakan alat semburan hidung untuk mengelakkan kandungan alat semburan hidung terlepas masuk ke dalam tekak.
Rasa pahit di dalam mulut mungkin dapat dirasai jika ubat termasuk ke dalam tekak. Pengguna tidak perlu khuatir kerana situasi ini boleh berlaku dan kebiasaannya, kuantiti ubat yang terlepas masuk ke dalam tekak adalah terlalu kecil.
Setelah selesai menggunakan alat semburan hidung, bersihkan bahagian hujung yang telah dimasukkan ke dalam lubang hidung dengan tisu atau kain dan tutup kembali dengan penutup perlindungan.
Pengguna juga harus mengelak daripada menghembus nafas melalui hidung dengan kuat ataupun mencuci lubang hidung selepas menggunakan alat semburan hidung.
Nasihat kepada Pengguna dan Orang Awam
Sekiranya ingin menggunakan alat semburan hidung, pastikan alat tersebut digunakan dengan cara yang betul.
Pengguna disaran untuk mendapatkan nasihat dan pandangan doktor atau ahli farmasi untuk mengenal pasti jenis alat semburan hidung yang bersesuaian dengan masalah kesihatan yang dialami.
Selain itu, pengguna juga dinasihatkan untuk berjumpa doktor dan mendapatkan pemeriksaan lanjut jika isu kesihatan tersebut masih berterusan walaupun selepas menggunakan alat semburan hidung.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre, NPCC) melalui talian 1-800-88-6722 (Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum).
Rujukan
- Garis Panduan Kaunseling Ubat-ubatan Edisi ke-3
- WebMD Editorial Contributor. (2023). Decongestants. WebMD
- Bruce, D.F. (2022). Natural Allergy Relief: Saline Nasal Sprays. WebMD