Skoliosis ialah tulang belakang yang bengkok ke sisi atau berbentuk “S” atau “C”. Sudut tulang yang bengkok tersebut mungkin kecil, sederhana atau besar. Pada kebiasaannya, tulang belakang yang normal adalah lurus diikuti dengan lengkuk di bahagian atas bahu dan lengkuk di bahagian pinggang.
Lazimnya, untuk skoliosis dipertimbangkan, perlunya ada sekurang-kurangnya 10° penyudutan tulang belakang pada radiograf yang berkaitan dengan putaran tulang belakang.
Kebanyakan kes skoliosis adalah ringan dan tidak memerlukan rawatan. Bagi orang dewasa, tahap bengkokkan tulang belakang mungkin atau mungkin tidak menentukan rawatan.
Rawatan ditujukan untuk melegakan gejala dan tidak semestinya membetulkan bengkokkan. Matlamat rawatan adalah untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan fungsi.
Jenis-jenis
Skoliosis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
- Idiopathic scoliosis: Skoliosis jenis ini tidak diketahui puncanya. Doktor tidak menemui sebab yang tepat untuk tulang belakang bengkok.
- Congenital scoliosis: Skoliosis jenis ini bermula semasa bayi dalam kandungan. Masalah dengan tulang belakang boleh menyebabkan tulang belakang bengkok.
- Neuromuscular scoliosis: Skoliosis jenis ini disebabkan oleh gangguan seperti spina bifida, palsi serebral atau kecederaan saraf tunjang.
- Degenerative scoliosis: Skoliosis jenis ini biasanya menjejaskan orang dewasa. Ia terbentuk dibahagian pinggang tatkala cakera dan sendi tulang belakang mula haus apabila anda semakin berusia.
Tanda-tanda dan Gejala
Tanda-tanda dan gejala bagi skoliosis termasuklah:
- Bahu yang senget
- Sebelah tulang kipas yang kelihatan lebih menonjol daripada sebelah lagi
- Pinggang yang senget
- Satu pinggul lebih tinggal daripada yang lain
- Satu sisi rusuk menjolok ke hadapan
- Kelihatan lengkuk di belakang badan
- Sakit pinggang
- Keletihan akibat ketegangan otot
Punca
Doktor tidak mengetahui penyebab yang menyebabkan skoliosis yang paling biasa berlaku — walaupun ia nmungkin melibatkan faktor keturunan, kerana penyakit tersebut kadangkala berlaku dalam keluarga.
Jenis skoliosis yang kurang biasa mungkin disebabkan oleh:
- Gangguan otot saraf seperti palsi serebral atau distrofi otot
- Kecacatan kelahiran yang menjejaskan perkembangan tulang belakang
- Pernah menjalani pembedahan dada semasa bayi
- Kecederaan atau jangkitan pada tulang belakang
- Keabnormalan saraf tunjang
Rawatan
Rawatan skoliosis berbeza-beza, bergantung pada keterukan tulang belakang yang bengkok. Kanak-kanak yang mempunyai bengkokkan yang sangat ringan mungkin memerlukan pemeriksaan berkala untuk melihat sama ada bengkok itu semakin teruk atau tidak semasa mereka membesar.
Pendakapan (bracing) atau pembedahan mungkin diperlukan jika bengkokkan tulang belakang adalah sederhana atau teruk.
- Pendakapan (bracing): Pada kanak-kanak yang masih membesar, memakai pendakap di sekeliling tubuh badan anda boleh menghalang bengkokkan daripada menjadi lebih teruk. Pendakap biasanya diperbuat daripada plastik. Ramai kanak-kanak yang memakainya 24 jam sehari.
- Pembedahan spinal fusion: Dalam prosedur ini, pakar bedah menyambung dua atau lebih tulang di tulang belakang (vertebra) bersama-sama supaya mereka tidak boleh bergerak secara bebas.
- Pembedahan rod mengembang: Jika tulang yang bengkok berkembang pesat pada usia muda, pakar bedah boleh memasang satu atau dua batang rod yang boleh dikembangkan di sepanjang tulang belakang. Rod ini boleh menyesuaikan panjangnya apabila kanak-kanak itu membesar. Rod ini dipanjangkan setiap 3 hingga 6 bulan sama ada dengan pembedahan atau di klinik menggunakan alat kawalan jauh.