Palsi serebral (PS) adalah gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang. PS adalah kecacatan motor yang paling biasa berlaku kepada kanak-kanak.
Serebral bermaksud ia melibatkan otak. Palsi pula bermaksud kelemahan atau masalah dengan penggunaan otot-otot. Palsi serebral terjadi disebabkan oleh pembentukan otak yang tidak normal atau kerosakan terhadap otak yang sedang terbentuk sehingga menjejaskan keupayaan seseorang untuk mengawal otot-otot badan.
PS terjadi pada 1-2 daripada 1,000 bayi, tetapi lebih 10 kali sering melibatkan bayi pramatang dan juga sering terjadi pada bayi yang tidak cukup berat badan semasa lahir.
Jenis-jenis Palsi Serebral
Palsi serebral dibahagikan kepada 4 jenis utama iaitu:
1. Jenis Spastik
PS jenis spastik adalah jenis PS yang paling lazim. Ia melibatkan 80% penghidap PS.
Penghidap PS spastik mempunyai otot-otot yang tegang dan lemah. Akibatnya, pergerakan mereka kelihatan pelik. PS spastik diterangkan oleh bahagian badan yang terjejas:
- Hemiplegia (tangan dan kaki pada sebelah badan)
- Diplegia (kedua kaki)
- Quadriplegia (kedua tangan dan kedua kaki)
2. Jenis Diskinetik
Penghidap PS jenis diskinetik menghadapi masalah untuk mengawal otot tangan, kaki dan badan menyebabkan sukar untuk berjalan dan duduk.
Pergerakan tidak dapat dikawal dan boleh menjadi perlahan dan menggeliat atau pantas dan tersentak. Kadang-kadang muka dan lidah terjejas dan orang itu sukar menghisap, menelan, dan bercakap.
3. Jenis Ataksik
Penghidap PS ataksik mempunyai masalah dengan keseimbangan dan koordinasi. Mereka mungkin tidak stabil apabila berjalan. Mereka mungkin mengalami kesukaran dengan pergerakan pantas atau pergerakan yang memerlukan banyak kawalan, seperti menulis.
Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk mengawal tangan atau lengan mereka apabila mereka mencapai sesuatu.
4. Jenis Campuran
Sesetengah orang mempunyai gejala lebih daripada satu jenis PS. Jenis PS campuran yang paling biasa berlaku ialah PS spastik-diskinetik.
Tanda-tanda atau Gejala Palsi Serebral
Gejala palsi serebral sangat berbeza-beza kerana terdapat pelbagai jenis dan tahap ketidakupayaan. PS boleh menjejaskan seluruh badan, atau mungkin terhad terutamanya kepada satu atau dua anggota badan atau sebelah badan.
Bayi dengan PS kerap mengalami kelewatan perkembangan, di mana mereka lambat untuk mencapai pencapaian perkembangan seperti belajar berguling, duduk, merangkak atau berjalan.
Gejala biasanya timbul sebelum anak berumur 2 tahun dan pada kes yang teruk, boleh dikesan seawal umur 3 bulan.
Secara amnya, tanda dan gejala termasuk masalah dengan pergerakan dan koordinasi, pertuturan dan pemakanan, perkembangan, dan masalah lain.
Pergerakan dan Koordinasi
- Otot kaku dan refleks yang berlebihan (kespastikan), gangguan pergerakan yang paling lazim.
- Variasi dalam tona otot, seperti sama ada terlalu kaku atau terlalu liut.
- Otot kaku dengan refleks normal.
- Kurang keseimbangan dan koordinasi otot.
- Gegaran atau pergerakan yang tersentak.
- Pergerakan yang perlahan dan menggeliat.
- Kesukaran berjalan seperti berjalan di atas jari kaki, berjalan bongkok, berjalan seperti gunting dengan lutut menyilang, berjalan lebar atau berjalan tidak simetri.
- Kesukaran dengan kemahiran motor seperti membutang baju atau mengambil perkakasan.
Pertuturan dan makan
- Kelewatan dalam perkembangan pertuturan
- Kesukaran bercakap
- Kesukaran menghisap, mengunyah atau makan
- Air liur meleleh berlebihan atau masalah menelan
Perkembangan
- Kelewatan dalam mencapai pencapaian kemahiran motor seperti duduk atau merangkak
- Kesukaran pembelajaran
- Kurang upaya intelek
- Pertumbuhan tertunda
Masalah lain
Kerosakan pada otak boleh menyumbang kepada masalah neurologi lain seperti:
- Sawan (epilepsi)
- Kesukaran mendengar
- Masalah dengan penglihatan dan pergerakan mata yang tidak normal
- Sentuhan atau sensasi kesakitan yang tidak normal
- Masalah pundi kencing dan usus, termasuk sembelit dan kencing tak terkawal
- Keadaan kesihatan mental, seperti gangguan emosi dan masalah tingkah laku
Punca yang Menyebabkan Palsi Serebral
Palsi serebral berpunca daripada perkembangan otak yang tidak normal atau kerosakan pada otak yang sedang berkembang. Ini biasanya berlaku sebelum kanak-kanak dilahirkan, tetapi boleh juga berlaku semasa kelahiran atau semasa bayi.
Banyak faktor boleh menyebabkan masalah dengan perkembangan otak. Antaranya adalah:
- Mutasi gen yang mengakibatkan gangguan genetik atau perbezaan dalam perkembangan otak
- Jangkitan ibu yang menjejaskan janin yang sedang berkembang
- Strok janin, gangguan bekalan darah ke otak yang sedang berkembang
- Pendarahan ke dalam otak dalam kandungan atau sebagai bayi baru lahir
- Jangkitan bayi yang menyebabkan keradangan di dalam atau di sekeliling otak
- Kecederaan kepala traumatik kepada bayi, seperti akibat kemalangan kenderaan bermotor, jatuh atau penderaan fizikal
- Kekurangan oksigen ke otak yang berkaitan dengan kesukaran bersalin.
Diagnosa
Kebanyakan kanak-kanak dengan palsi serebral didiagnosis semasa usia 2 tahun pertama.
Doktor akan menjalankan beberapa ujian untuk menilai kemahiran motor kanak-kanak tersebut. Ujian makmal mungkin dilakukan untuk mengenal pasti keadaan yang menyebabkan gejala yang serupa dengan yang berkaitan dengan PS.
Ujian-ujian lain mungkin dijalankan adalah:
- MRI atau imbasan CT di kepala untuk mengesan kelainan bentuk atau kejadian otak
- Pemeriksaan pendengaran (untuk mengesan masalah pendengaran)
- Pemeriksaan penglihatan (untuk mengesan masalah penglihatan)
- EEG jika pesakit mengalami sawan
- Biopsi otot.
Rawatan
Palsi serebral tidak dapat disembuhkan dan merupakan kelainan yang berlaku seumur hidup. Walau bagaimanapun, terdapat banyak pilihan rawatan yang boleh membantu meningkatkan fungsi harian penghidap PS ini.
Rawatan yang dilakukan bergantung kepada gejala PS yang terdapat pada seorang pesakit dan boleh melibatkan:
- Ubat-ubatan
- Terapi fizikal
- Terapi cara kerja
- Terapi pertuturan dan bahasa
- Terapi rekreasi
- Pembedahan ortopedik
- Pembedahan memotong saraf
Rujukan
- National Institute of Neurological Disorders and Stroke. (2021). Cerebral Palsy: Hope Through Research
- Mayo Clinic Staff. (2021). Cerebral Palsy. MayoClinic
- Centers for Disease Control and Prevention. (2021). What is Cerebral Palsy?