Sakit zakar selepas bersama atau melakukan hubungan intim mungkin disebabkan perkara yang tidak serius dan mungkin juga disebabkan oleh perkara yang serius. Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan sakit pada zakar selepas bersama.
Sekiranya sakit ini melibatkan gejala-gejala yang luar biasa, anda mungkin perlu berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Terdapat banyak kemungkinan yang boleh menyebabkan zakar sakit selepas bersama termasuklah amalan semasa bersama, jangkitan atau masalah kesihatan yang lain.
Dalam artikel ini, kita akan melihat beberapa punca yang lazimnya menyebabkan sakit pada zakar selepas melakukan hubungan intim.
Punca-punca yang Boleh Menyebabkan Sakit Zakar Selepas Bersama
Terdapat beberapa kemungkinan yang boleh menjadi punca atau penyebab kepada kesakitan pada zakar selepas bersama. Antaranya adalah:
1. Kurang Pelincir
Geseran semasa melakukan hubungan intim boleh merengsa kulit zakar. Keadaan ini boleh terjadi sekiranya pasangan anda tidak menghasilkan pelincir yang secukupnya.
Keadaan tersebut boleh terjadi kepada wanita yang mengalami faraj kering.
Menggosok pada badan orang lain boleh menghilangkan lapisan atas kulit. Ini boleh mendedahkan lapisan sensitif di bawahnya yang mengandungi saraf dan tisu penghubung.
Walau bagaimanapun, kesakitan ini biasanya tidak berpanjangan sekiranya anda mengelak daripada melakukan aktiviti-aktiviti yang merengsakan kulit.
2. Hubungan Intim yang Lama atau Kuat
Melakukan hubungan intim yang lama atau kuat boleh menyebabkan zakar anda sakit.
Ia mungkin disebabkan oleh tegangan pada satu jangka masa yang lama boleh menyebabkan terikan dan kadangkala mencederakan otot dan tisu.
Menujah zakar anda ke dalam badan pasangan secara tiba-tiba dengan kelajuan tinggi juga boleh mencederakan tisu.
Zakar anda mungkin terasa sakit sehingga tisu zakar anda pulih. Kesakitan ini boleh bertahan beberapa hari, bergantung pada berapa lama atau kuat anda melakukan hubungan intim.
3. Tindak Balas Alahan
Selain itu, sakit zakar selepas bersama juga boleh disebabkan oleh tindak balas alahan.
Anda mungkin mempunyai tindak balas alahan terhadap bahan atau bahan kimia yang terdapat pada getah kondom, pelincir atau produk-produk lain.
Anda mungkin berasa sakit atau iritasi di sekitar zakar dan kawasan kemaluan.
Tindak balas alahan ini boleh juga menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Ruam dan kemerahan
- Lepuh berair
- Kulit menjadi kering dan pecah-pecah
- Kegatalan
- Kulit menjadi tebal dan bersisik
4. Ejakulasi Tertangguh
Punca yang seterusnya adalah ejakulasi tertangguh. Ejakulasi tertangguh berlaku apabila ia memerlukan lebih daripada 30 minit untuk ejakulasi semasa melakukan hubungan intim.
Sesetengah orang dilahirkan dengan keadaan ini. Manakala, sesetengah yang lain adalah akibat daripada:
- Tekanan atau keresahan
- Pengambilan ubat antidepresan dan ubat keguguran rambut
- Jangkitan prostat atau saluran kencing
- Ketidakseimbangan hormon
- Kerosakan saraf tunjang atau pelvis
Tidak dapat ejakulasi boleh menyebabkan bengkak, sakit dan nyeri pada zakar dan skrotum anda.
Gejala-gejala ini mungkin berlarutan selama beberapa jam selepas hubungan intim atau sehingga darah menyusut sepenuhnya dari zakar anda.
5. Prostatitis
Prostatitis ialah keradangan prostat dan kawasan sekitarnya. Ia boleh secara akut atau kronik.
Bengkak dan keradangan prostat boleh menyebabkan seseorang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada zakar, terutamanya selepas ejakulasi.
Prostatitis boleh berpunca daripada:
- Jangkitan bakteria
- Jangkitan saluran kencing yang lalu
- Kerosakan saraf pelvis
- Bahan kimia di dalam air kencing
Di samping itu, terdapat beberapa gejala lain yang mungkin turut berlaku seperti:
- Sakit atau pedih semasa kencing
- Sakit pinggang belakang atau perut
- Sukar untuk kencing
- Air kencing berbau busuk
- Demam
- Menggigil
Anda harus berjumpa doktor jika sakit anda berterusan atau jika anda mengalami gejala luar biasa lain.
6. Jangkitan Hubungan Jenis
Dalam sesetengah kes, sakit zakar selepas bersama juga boleh disebabkan oleh jangkitan hubungan jenis (STI).
Walaupun jangkitan ini kebanyakannya tidak mempunyai gejala, kesakitan boleh berlaku bersama-sama keadaan berikut:
Kesakitan ini hanya akan hilang apabila dirawat. Oleh itu, anda perlu berjumpa doktor sekiranya anda mengesyaki anda mengalami STI.
Beberapa gejala lain yang menandakan STI adalah:
- Sakit atau pedih semasa kencing
- Kegatalan
- Sakit semasa ereksi
- Sakit di dalam testis atau abdomen bawah
- Lepuh berair
- Keluar lelehan yang luar biasa
- Muntah
- Sakit pelvis
7. Jangkitan Yis
Jangkitan yis boleh berpunca daripada pertumbuhan berlebihan kulat Candida. Walaupun ia lebih lazim berlaku kepada wanita, tetapi lelaki juga dijangkiti.
Jangkitan yis pada zakar boleh membawa kepada keadaan yang dipanggil “balanitis.”
Balanitis adalah keradangan pada kepala zakar yang menyebabkan perubahan warna, bengkak dan nyeri. Selain itu, anda juga boleh berasa gatal-gatal dan iritasi.
Balanitis lebih lazim berlaku kepada lelaki yang tidak bersunat.
Jangkitan yis boleh berpunca apabila anda melakukan hubungan intim dengan pasangan yang menghidap jangkitan yis pada faraj.
Sekiranya anda mengesyaki anda mengalami jangkitan yis, sila dapatkan rawatan daripada doktor.
8. Jangkitan Saluran Kencing
Jika bakteria dari sistem penghadaman sampai ke saluran kencing, ia boleh membiak dan menyebabkan jangkitan saluran kencing (UTI).
Jangkitan ini boleh menyebabkan kerengsaan dan keradangan pada zakar.
Selain itu, ia juga turut menyebabkan gejala-gejala seperti:
- Sakit dan pedih semasa kencing
- Air kencing keruh
- Sakit di bahagian abdomen bawah, kawasan pelvis dan pinggang belakang
- Kerap atau gesaan untuk kencing
- Bau air kencing yang busuk
9. Fimosis
Fimosis ialah keadaan di mana kulit penutup zakar terlalu ketat untuk dapat ditarik melebihi kepala zakar.
Fimosis hanya menjejaskan mereka yang tidak bersunat. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan, iritasi kulit dan keadaan kulit tertentu.
Semasa hubungan intim, fimosis boleh menyebabkan rasa sakit, kulit merekah atau kurang sensasi.
Memakai kondom dan menggunakan pelincir boleh membantu menjadikan hubungan intim lebih selesa.
10. Penyakit Peyronie
Penyakit Peyronie berlaku apabila tisu berparut terkumpul di dalam zakar, menyebabkan ia melengkung tajam ke sisi atau ke atas apabila anda ereksi.
Keadaan ini boleh menyebabkan zakar anda sakit semasa atau selepas bersama.
Walaupun kebanyakan punca yang menyebabkannya tidak diketahui, Peyronie mungkin bersifat autoimun atau berkaitan dengan kecederaan yang mendasari.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Jika sakit yang dialami adalah ringan, anda boleh cuba merawatnya di rumah.
Tetapi, jika anda mengalami gejala-gejala yang luar biasa, anda perlu mengelakkan aktiviti seksual sehingga dapat berjumpa doktor.
Doktor boleh menentukan punca yang menyebabkan gejala-gejala tersebut dan menyarankan rawatan bersesuaian.
Anda perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami:
- Kesakitan yang kuat dan tiba-tiba semasa ereksi atau ejakulasi
- Hilang sensasi pada zakar anda
- Kencing berdarah
- Tidak dapat kencing
- Demam dan menggigil berserta masalah kencing
Rujukan
- Higgins, A. et al. (2010). Antidepressant-associated sexual dysfunction: impact, effects, and treatment. Drug, healthcare and patient safety.
- Mysore V. (2012). Finasteride and sexual side effects. Indian dermatology online journal.
- National Institute of Diabetes and Digestive and Kidney Diseases. (2014). Prostatitis: Inflammation of the Prostate
- McPhee AS, Stormont G, McKay AC. Phimosis. [Updated 2023 Aug 8]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2023 Jan-. Available from: NCBI
- Healthdirect. (2021). Penis irritation.