Sakit pinggang belakang adalah sakit yang lazim berlaku. Kebanyakan orang mungkin pernah mengalaminya walaupun sekali seumur hidup mereka.
Sakit pinggang belakang boleh berpunca atau disebabkan oleh banyak perkara seperti kecederaan atau masalah kesihatan.
Malah, terdapat kajian yang melaporkan bahawa sakit pinggang belakang adalah penyebab paling biasa di dunia yang menyebabkan ketidakhadiran ke tempat kerja dan kecacatan.
Individu yang berumur 30 hingga 50 tahun adalah golongan yang paling biasa mengalami sakit pinggang belakang. Sakit pinggang ini akan menjadi semakin kerap atau biasa apabila anda meningkat usia.

Faktor peningkatan usia menyebabkan pengurangan terhadap cecair diantara tulang belakang. Akibatnya, cakera dalam tulang belakang akan lebih mudah mengalami iritasi.
Sakit pinggang belakang mungkin berkisar dari ringan hingga teruk. Dalam sesetengah kes, kesakitan boleh menyebabkan sukar atau mustahil untuk berjalan, tidur, bekerja atau melakukan aktiviti harian.
Gejala-gejala Sakit Pinggang Belakang
Gejala-gejala sakit pinggang belakang boleh datang secara tiba-tiba atau muncul secara beransur-ansur.
Kadangkala, rasa sakit berlaku selepas kejadian tertentu seperti membongkok untuk mengambil sesuatu. Pada masa lain, anda mungkin tidak tahu apa yang menyebabkan kesakitan.
Antara gejala-gejala yang paling lazim berlaku adalah:
- Sakit apabila berehat atau duduk untuk tempoh yang lama
- Sakit apabila mengangkat sesuatu yang berat atau membongkok
- Sakit yang merebak dari pinggul
- Kekejangan selepas lama tidak aktif atau apabila mula-mula bangun
- Rasa lemah atau kebas
Manakala, gejala-gejala yang jarang berlaku tetapi lebih teruk adalah seperti berikut:
- Sakit kaki dan juga belakang
- Demam
- Penurunan berat badan tanpa dirancang
- Tidak dapat mengawal pembuangan air besar
Kesakitan mungkin tajam atau tumpul dan ia mungkin memancar ke bahagian bawah atau ke bawah belakang kaki anda.
Punca-punca Sakit Pinggang Belakang
Banyak kecederaan, keadaan dan penyakit yang boleh menyebabkan sakit pinggang belakang. Antaranya termasuk:
1. Ketegangan dan Terseliuh Otot
Ketegangan belakang dan terseliuh adalah punca paling biasa yang menyebabkan sakit pinggang belakang.
Anda boleh mencederakan otot, tendon atau ligamen dengan mengangkat sesuatu yang terlalu berat atau tidak mengangkat dengan cara yang selamat.
Sesetengah orang menegang belakang mereka dengan bersin, batuk, memulas atau membongkok.
2. Retakan (Fraktur)
Tulang di tulang belakang boleh patah semasa kemalangan seperti kemalangan kereta atau terjatuh.
Keadaan tertentu (seperti spondylolysis atau osteoporosis) boleh meningkatkan risiko patah tulang.
3. Artritis
Osteoartritis adalah jenis artritis yang paling biasa menyebabkan sakit pinggang belakang.
Ankylosing spondylitis pula boleh menyebabkan sakit pinggang belakang, keradangan dan kekakuan pada tulang belakang.
4. Masalah Cakera
Cakera melindungi vertebra (tulang-tulang belakang kecil). Cakera boleh membonjol dari kedudukannya di tulang belakang dan menekan pada saraf.
Cakera juga boleh koyak. Selari dengan peningkatan usia, cakera boleh menjadi lebih rata dan menyebabkan kurang perlindungan (penyakit cakera degeneratif).
5. Lengkung Tulang Belakang yang Luar Biasa
Keadaan yang menyebabkan kelengkungan luar biasa pada tulang belakang adalah seperti berikut:
- Skoliosis
- Lordosis
- Kifosis
Keadaan ini juga turut dikenali sebagai tulang belakang bengkok. Keadaan ini sering berlaku semasa lahir dan biasanya pertama kali didiagnosis semasa zaman kanak-kanak atau remaja.
Kelengkungan yang luar biasa boleh menyebabkan kesakitan dan postur yang lemah kerana ia memberi tekanan pada otot, tendon, ligamen dan vertebra.
6. Stenosis Tulang Belakang
Stenosis tulang belakang menyebabkan ruang di tulang belakang anda menjadi sempit, memberi tekanan pada saraf tunjang.
Stenosis tulang belakang biasanya dikaitkan dengan degenerasi cakera antara vertebra. Akibatnya, berlaku mampatan akar saraf atau saraf tunjang oleh taji tulang atau tisu lembut, seperti cakera.
Ia biasanya menyebabkan gejala-gejala seperti kebas, lemah atau kejang. Gejala-gejala ini semakin teruk semasa anda berdiri atau berjalan.
7. Masalah Kesihatan Lain
Beberapa masalah kesihatan lain yang boleh menyebabkan sakit pinggang belakang adalah:
- Masalah buah pinggang dan pundi kencing
- Kehamilan
- Sista ovari
- Endometriosis
- Fibroid uterus
- Jangkitan tulang belakang
- Kanser
Rawatan Sakit Pinggang Belakang
Rawatan yang sesuai bergantung kepada gejala-gejala dan punca yang menyebabkan anda sakit pinggang.
Beberapa petua atau rawatan dirumah boleh membantu pada 72 jam yang pertama. Antara pendekatan yang boleh anda lakukan adalah:
- Terapi haba
- Terapi sejuk
- Rehat dan meletakkan pek ais di tempat sakit
- Mengambil ubat tahan sakit belian kaunter seperti paracetamol atau ibuprofen
- Mandi air suam
Kadangkala berbaring telentang menyebabkan lebih banyak ketidakselesaan. Jika ini berlaku, cuba baring di sisi anda dengan lutut dibengkokkan dan bantal di antara kaki anda.
Jika anda boleh berbaring telentang dengan selesa, letakkan bantal atau tuala yang digulung di bawah paha anda untuk mengurangkan tekanan pada bahagian pinggang.
Rawatan Perubatan
Rawatan perubatan melibatkan ubat-ubatan dan terapi.
Doktor mungkin akan mempreskripsi ubat-ubatan seperti:
- Pengendur otot
- Ubat antiradang bukan steroid (NSAID)
- Suntikan kortikosteroid bagi mengurangkan keradangan
Terapi fizikal pula mungkin melibatkan:
- Urutan
- Regangan
- Senaman pengukuhan
- Manipulasi belakang atau tulang belakang
Pembedahan
Bagi kes-kes tertentu dan teruk, pembedahan mungkin diperlukan. Pembedahan biasanya adalah pilihan terakhir apabila semua rawatan lain gagal.
Walau bagaimanapun, anda mungkin perlu menjalani pembedahan kecemasan jika anda mengalami kehilangan kawalan usus, kehilangan kawalan pundi kencing atau kehilangan neurologi progresif seperti kebas kaki atau kelemahan.
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Sakit pinggang belakang biasanya menjadi lebih baik dengan rehat dan ubat penahan sakit. Sakit pinggang yang tidak hilang mungkin menunjukkan tanda keadaan yang lebih serius.
Sila dapatkan rawatan daripada doktor sekiranya:
- Sakit anda tidak pulih atau reda selepas kira-kira seminggu selepas anda melakukan rawatan di rumah.
- Kesemutan, kebas, lemah atau sakit di bahagian punggung atau kaki anda.
- Kesakitan yang teruk atau kekejangan otot yang mengganggu aktiviti harian anda.
- Demam, penurunan berat badan, masalah usus atau pundi kencing atau gejala lain yang tidak dapat dijelaskan.
Rujukan
- Wu, A. et al. (2020). Global low back pain prevalence and years lived with disability from 1990 to 2017: estimates from the Global Burden of Disease Study 2017. Ann Transl Med.
- National Institute of Neurological Disorders and Stroke. (2023). Back Pain.
- Myers, A. (2023). Everything You Want to Know About Lower Back Pain. Healthline