Endometriosis merupakan salah satu daripada penyakit sakitpuan yang biasa dialami oleh golongan wanita. Hampir satu daripada tujuh wanita pada peringkat umur antara 30 dan 45 tahun menghidapinya.
Endometriosis adalah keadaan di mana sebahagian lapisan tisu dalam rahim dijumpai di bahagian lain dalam badan seperti bahagian pelvis iaitu pundi kencing, usus serta organ reproduktif. Ia kerap ditemui di bahagian ovari dan otot ligamen posterior yang menyokong uterus.
Endometriosis tidak bersifat kanser. Namun, sekiranya berlaku secara berpanjangan, ia boleh menjejaskan kualiti hidup penghidapnya.

Gejala-gejala atau Tanda
Gejala-gejala atau tanda bagi endometriosis mungkin berbeza-beza bagi setiap wanita.
Sesetengah wanita mengalami gejala yang teruk, manakala sesetengah yang lain tidak mengalami sebarang gejala atau tanda.
Antara gejala-gejala yang boleh berlaku kepada penghidap endometriosis adalah:
- Haid yang banyak dan tidak teratur
- Senggugut
- Sakit semasa hubungan seks
- Sakit semasa membuang air besar atau air kecil
- Sakit di bahagian pelvis dan bawah abdomen (pertengahan haid)
- Sukar untuk mengandung
- Kelesuan, cirit-birit, sembelit, kembung perut terutamanya semasa haid
Penting untuk diingatkan bahawa tahap kesakitan yang dialami tidak berkait dengan pertumbuhan endometriosis.
Terdapat wanita yang tidak merasa sakit walaupun ketumbuhan endometriosisnya banyak tetapi ada juga wanita yang mana ketumbuhannya sedikit merasa kesakitan yang teruk.
Punca atau Penyebab
Punca sebenar yang menyebabkan keadaan ini masih samar dan tidak jelas. Beberapa kemungkinan atau teori yang biasa dikaitkan dengan penyakit ini adalah:
- Pembalikan darah haid (retrograde menstruation): Keadaan di mana sebahagian daripada darah haid mengalir secara terbalik ke arah pembukaan peritoneal melalui saluran fallopio.
- Transformasi sel peritoneal: Hormon atau faktor imun yang menggalakkan transformasi sel-sel peritoneal.
- Implantasi parut pembedahan: Selepas pembedahan seperti histerektomi atau C-section, sel endometrium mungkin melekat pada hirisan pembedahan.
- Pengangkutan sel endometrium: Saluran darah atau sistem cecair tisu (limfatik) mungkin mengangkut sel endometrium ke bahagian lain badan.
- Gangguan sistem imun: Masalah dengan sistem imun yang menyebabkan badan tidak dapat mengenali dan memusnahkan tisu seperti endometrium yang tumbuh di luar rahim.
Rawatan Endometriosis
Rawatan perubatan atau pembedahan bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi. Rawatan bagi endometriosis bertujuan untuk mengurangkan tahap estrogen dan progesteron wanita yang meransang pertumbuhan endometriosis.
Ubat Tahan Sakit
Ubat tahan sakit seperti ubat antiradang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen atau naproxen boleh membantu mengurangkan kesakitan semasa senggugut.
Terapi Hormon
Hormon tambahan kadangkala berkesan dalam mengurangkan atau menghilangkan kesakitan akibat penyakit ini.
Antara terapi yang digunakan adalah:
- Pil kontraseptif oral
- Hormon progesteron dengan dos tinggi
- Hormon tiruan lelaki seperti danazol
- Aromatase inhibitor iaitu ubat yang mengurangkan jumlah estrogen dalam badan.
Pembedahan
Rawatan pembedahan boleh dilakukan samada secara laparoskopi atau pembedahan biasa. Pembedahan ini boleh bersifat rekonstruktif (pembuangan endometriosis dan pemulihan organ yang dijangkiti) di mana kesuburan perlu dikekalkan.
Ia juga boleh menjadi ablasi (pembuangan rahim dan kadangkala ovari) untuk mengurangkan kesakitan yang teruk pada wanita selepas kaedah-kaedah rawatan yang dinyatakan sebelum ini telah menemui kegagalan.
Namun harus diingatkan dan dijelaskan di sini bahawa penyakit ini boleh berulang selepas rawatan diberikan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2018). Endometriosis. MayoClinic https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/endometriosis/symptoms-causes/syc-20354656
- Palaniappan, K. (2019). Endometriosis. MyHealth KKM http://www.myhealth.gov.my/endometriosis/