Tulang belakang bengkok ialah keabnormalan yang berlaku apabila tulang belakang tidak sejajar. Ia boleh menjadi petanda kepada gangguan tulang bengkok yang lebih serius.
Tulang belakang yang sihat apabila dilihat dari sisi mempunyai lengkungan yang lembut. Lengkung tersebut membantu tulang belakang menyerap tekanan daripada pergerakan badan dan graviti.
Apabila dilihat dari belakang, tulang belakang harus berbentuk lurus ke bawah melalui bahagian tengah belakang.

Apabila keabnormalan tulang belakang berlaku, kelengkungan semula jadi tulang belakang tidak sejajar atau terlebih di kawasan tertentu.
Jenis-jenis Tulang Bengkok
Umumnya, terdapat 3 jenis tulang belakang bengkok yang utama iaitu skoliosis, lordosis dan kifosis.
- Skoliosis: Mereka yang menghidap skoliosis mempunyai tulang belakang yang bengkok ke sisi seperti bentuk huruf S atau huruf C.
- Lordosis: Penghidap lordosis pula mempunyai tulang belakang yang bengkok ke dalam di bahagian pinggang.
- Kifosis: Penyakit ini menyebabkan tulang belakang melengkung ke depan melebihi batas normal (lebih 50 darjah lengkung) sehingga membuatkan pesakit ini kelihatan bongkok.
Punca Tulang Belakang Bengkok
Terdapat beberapa punca yang boleh menyebabkan penyakit ini.
Skoliosis agak jarang berlaku. Penyakit ini lebih banyak menjejaskan kaum wanita berbanding lelaki. Kebiasaannya, skoliosis boleh disebabkan oleh:
- Palsi serebral iaitu gangguan pada sistem saraf yang mengganggu pergerakan, belajar, pendengaran, penglihatan dan pemikiran.
- Kecacatan masa lahir yang mengganggu pembentukan tulang belakang.
- Kecederaan atau jangkitan pada tulang belakang.
- Distrofi otot iaitu gangguan genetik yang menyebabkan otot lemah.
Lordosis pula boleh disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan seperti berikut:
- Akondroplasia iaitu gangguan akibat tulang tidak tumbuh secara normal.
- Spondilolistesis iaitu keadaan dimana satu tulang belakang (vertebra) tergelincir keluar. Kebiasaannya di bahagian pinggang.
- Osteoporosis iaitu keadaan dimana tulang belakang menjadi rapuh dan senang untuk patah.
- Obesiti
- Diskitis iaitu radang pada ruang cakera (disc) antara dua tulang belakang (vertebra) kebiasaannya akibat jangkitan.
- Kifosis
Manakala, kifosis pula boleh disebabkan oleh beberapa keadaan berikut:
- Pembentukan tulang belakang yang tidak normal semasa dalam rahim.
- Postur lemah.
- Penyakit Scheuermann iaitu penyakit yang menyebabkan tulang belakang mempunyai bentuk yang cacat.
- Spina bifida iaitu kecacatan semasa lahir.
- Jangkitan pada tulang belakang.
- Tumor pada tulang belakang.
Rawatan
Rawatan kepada tulang bengkok ini bergantung kepada jenis, punca dan keterukan tulang yang bengkok.
1. Skoliosis
Bagi skoliosis, rawatan akan bergantung kepada beberapa faktor. Darjah lengkung atau bengkok tulang belakang adalah faktor yang utama.
Selain itu, faktor-faktor lain seperti usia, jumlah dan jenis bengkok, jenis skoliosis dan sama ada pesakit masih dalam proses tumbesaran atau tidak turut diambil kira.
Rawatan utama bagi penyakit ini terbahagi kepada dua iaitu pendakap atau pembedahan:
a) Pendakap
Sekiranya pesakit masih dalam proses tumbesaran dan lengkung atau bengkok adalah dalam 25 hingga 40 darjah, mereka boleh menggunakan pendakap.
Walaupun tidak mampu menyembuhkan skoliosis, pendakap badan ini boleh mencegah tulang belakang ini dari terus membengkok.
Kebiasaannya, pesakit perlu memakai pendakap ini pada siang dan malam hari iaitu kira-kira 16 hingga 23 jam sehari. Pemakaian pendakap ini boleh dihentikan setelah tulang berhenti membesar.
b) Pembedahan
Skoliosis kebiasaannya bertambah teruk selari dengan masa. Doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan bagi mencegah penyakit ini bertambah teruk.
Pembedahan biasa untuk skoliosis dikenali sebagai “spinal fusion.” Komplikasi yang mungkin boleh berlaku akibat pembedahan ini termasuklah perdarahan berlebihan, jangkitan, kesakitan, kerosakan saraf dan gagal untuk pulih.
2. Lordosis
Kebiasaannya, penghidap lordosis tidak memerlukan rawatan perubatan kecuali bagi kes-kes yang teruk.
Antara rawatan bagi lordosis adalah seperti berikut:
- Ubat tahan sakit dan bengkak
- Terapi fizikal secara harian
- Turunkan berat badan (untuk membetulkan postur)
- Pendakap
- Makanan tambahan seperti vitamin D
- Pembedahan (bagi kes yang teruk)
2. Kifosis
Rawatan bagi kifosis pula bergantung kepada penyebab dan tahap keterukannya.
- Tumor: Lazimnya, tumor ini akan dibuang sekiranya boleh menyebabkan mampatan pada tulang belakang.
- Penyakit Scheuermann: Pesakit boleh menjalani rawatan terapi fizikal, pendakap atau pembedahan.
- Osteoporosis: Ubat penguat tulang boleh membantu dalam kes ini.
- Postur lemah: Senaman postur boleh membantu.
Selain itu, ubat antiradang, pendakap dan senaman turut boleh membantu melegakan kesakitan atau ketidakselesaan.
Rujukan
- Marks, H. (2021). Types of Spine Curvature Disorders. WebMD
- Johnson,S. (2021). Everything You Need to Know About Scoliosis. Healthline.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Lordosis (Swayback). Cleveland Clinic.
- Mayo Clinic Staff. (2022). Kyphosis. MayoClinic
- Kalichman, L. et al. (2016). Bracing and exercise-based treatment for idiopathic scoliosis. Journal of bodywork and movement therapies.
- Cunin V. (2015). Early-onset scoliosis: current treatment. Orthopaedics & traumatology, surgery & research.