Mungkin ramai wanita di luar sana yang mengalami masalah faraj kering. Jadi, bagaimana cara untuk mengatasi masalah faraj kering ini? Artikel ini menjelaskan kepada anda mengenai faraj kering, punca yang menyebabkannya serta pilihan rawatan yang ada.
Apa itu Faraj Kering?
Faraj kering adalah satu simptom menyakitkan yang menjejaskan kualiti hidup seorang wanita. Faraj kering boleh menyebabkan rasa sakit semasa duduk, bersenam, kencing dan semasa hubungan seks.
Lazimnya, pelapik faraj dilicinkan dengan cecair supaya ia kekal anjal dan tebal. Faraj kering berlaku apabila tisu-tisu dalam faraj menjadi kering, nipis dan tidak lembap dengan baik. Keadaan ini menyebabkan ketidakselesaan ketika hubungan seks.
Faraj kering boleh berlaku pada bila-bila peringkat usia tetapi ia lebih lazim berlaku kepada individu yang ditentukan perempuan semasa lahir dan wanita yang menopaus apabila paras estrogen menurun.
Hormon estrogen membantu mengekalkan pelapik faraj kekal lembap dan sihat. Penurunan paras estrogen mengurangkan jumlah pelembap yang ada dan menyebabkan dinding faraj menjadi kering dan nipis.
Apakah Penyebab Faraj Kering?
Dalam kebanyakan kes, faraj kering berlaku apabila paras estrogen menurun. Ia berlaku secara semula jadi apabila anda meningkat usia atau semasa menopaus.
Apabila paras estrogen menurun, kulit dan tisu di vulva dan faraj akan menjadi nipis dan kurang anjal dan faraj anda akan menjadi kering.
Terdapat juga masalah kesihatan lain atau rawatan kesihatan yang boleh menyebabkan faraj kering. Antaranya adalah:
- Pil perancang atau sebarang bentuk kawalan kelahiran berkaitan hormon.
- Menyusu anak.
- Rawatan kemoterapi atau terapi hormon.
- Diabetes (penyakit kencing manis).
- Ubat antiestrogen bagi merawat endometriosis atau fibroid uterus.
- Ubat antihistamin untuk merawat demam selesema atau gejala alahan.
- Ubat antidepresan.
- Pembedahan pembuangan ovari.
- Sindrom Sjogren (penyakit autoimun yang menyebabkan kekeringan di seluruh badan).
- Menggunakan sabun pewangi, penyembur atau pembersih faraj.
- Tidak terangsang secara seksual.
- Stres dan keresahan (anxiety).
- Bekalan darah yang berkurangan ke faraj.
Wanita yang merokok boleh mengalami menopaus lebih awal berbanding wanita yang tidak merokok dan faraj kering boleh berlaku pada usia yang lebih awal bagi kelompok ini.
Kenapa Faraj Kering Semasa Seks?
Faraj kering lebih jelas semasa hubungan seks apabila pasangan ingin melakukan penetrasi. Tanpa pelincir yang mencukupi, geseran semasa hubungan seks ini menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.
Salah satu cara untuk mengatasi masalah ini adalah dengan mengambil masa secukupnya untuk anda terangsang. Lakukan cumbuan (foreplay) yang lebih lama dengan pasangan dan cuba untuk bertenang.
Anda juga boleh menggunakan pelincir berasaskan air untuk membantu.
Malangnya, seks yang menyakitkan boleh menyebabkan kehilangan minat terhadap seks atau kehilangan keintiman dengan pasangan anda. Walaupun memalukan, bincangkan gejala anda dengan pasangan anda supaya mereka boleh membantu anda.
Pilihan Rawatan untuk Mengatasi Faraj Kering
Terdapat banyak cara atau pilihan rawatan untuk mengatasi faraj kering dan hubungan seks yang menyakitkan akibat faraj kering.
Antaranya adalah:
Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang bertindak seperti estrogen atau menggantikan estrogen ini biasanya hanya boleh didapati secara preskripsi sahaja. Ini bermakna anda perlu berjumpa dengan ahli profesional kesihatan untuk mendapatkannya.
Antara rawatan estrogen topikal adalah:
- Krim faraj: Krim ini disapu ke dalam faraj menggunakan aplikator. Kajian mendapati krim estrogen ini berkesan dan diterima baik dalam merawat faraj kering. [1]
- Cincin faraj: Rawatan ini memerlukan anda memasukkan cincin fleksibel ke dalam faraj di mana ia akan melepaskan estrogen pada kadar yang sedikit secara berterusan ke dalam tisu-tisu. Cincin ini perlu digantikan setiap 90 hari.
- Tablet faraj: Tablet ini perlu diletakkan ke dalam faraj menggunakan aplikator.
Pelembap atau Pelincir
Pelembap atau pelincir biasanya boleh dibeli secara belian kaunter dan tanpa preskripsi. Anda boleh mendapatkan pelembap atau pelincir ini di mana-mana farmasi, kedai runcit atau kedai ubat.
Pelembap dan pelincir ini berfungsi dengan melembapkan dan melincirkan tisu-tisu faraj, yang seterusnya boleh membantu melegakan kesakitan semasa hubungan seks.
- Pelembap faraj: Sapukan pelembap faraj ke bahagian dalam faraj anda setiap beberapa hari untuk memastikan pelapik faraj anda sihat.
- Pelincir faraj: Sapukan pelincir sejurus sebelum hubungan kelamin untuk mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh hubungan seks.
Jangan menggunakan pelembap yang tidak dikhususkan kepada faraj anda. Contohnya seperti pelembap muka atau badan.
Rawatan Dirumah atau Petua
Terdapat juga petua atau cara mengatasi faraj kering yang melibatkan perubahan gaya hidup. Antaranya adalah:
Hubungan seks yang kerap: Hubungan seks yang kerap boleh membantu mengatasi masalah faraj kering. Aliran darah ke tisu faraj meningkat semasa rangsangan, dan ini membantu merangsang pengeluaran lembapan.
Elakkan penggunaan produk pembersih faraj: Faraj adalah organ wanita yang mempunyai keseimbangan bakteria baik dan bersifat membersihkan diri sendiri. Ia tidak memerlukan sabun pewangi atau produk pembersih yang lain yang seterusnya boleh menyebabkan kekeringan atau iritasi.
Suplemen fitoestrogen: Fitoestrogen ialah sebatian yang bertindak seperti estrogen di dalam badan. Fitoestrogen terdapat di dalam tumbuhan seperti kacang soya, kekacang, tauhu, flaxseed, bijan, buah pic dan strawberi.
Terdapat analisis yang melibatkan 62 kajian yang mencadangkan pengambilan fitoestrogen melalui pemakanan dan suplemen boleh mengurangkan masalah faraj kering dan kekerapan “hot flashes” bagi wanita menopaus. [2]
Rujukan
- Archer, D. F. et al. (2018). A Randomized, Multicenter, Double-Blind, Study to Evaluate the Safety and Efficacy of Estradiol Vaginal Cream 0.003% in Postmenopausal Women with Vaginal Dryness as the Most Bothersome Symptom. Journal of women’s health.
- Franco, O. H. et al. (2016). Use of Plant-Based Therapies and Menopausal Symptoms: A Systematic Review and Meta-analysis. JAMA.
- Cleveland Clinic medical professional. (2022). Vaginal Dryness. Cleveland Clinic