Sakit kepala sebelah kanan mungkin disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan, migrain, alahan atau masalah neurologi (saraf).
Sakit kepala adalah antara masalah kesihatan yang paling banyak berlaku dan menjejaskan ramai orang di seluruh dunia.
Walaupun sakit kepala boleh menjadi tidak selesa, ia tidak mungkin disebabkan “sakit otak.” Otak dan tengkorak tidak mempunyai hujung saraf, jadi ia tidak akan menyebabkan kesakitan secara langsung.
Sakit kepala boleh menyebabkan denyutan atau sakit dan kesakitan yang teruk di kawasan yang berbeza, termasuk bahagian kanan kulit kepala anda.
Punca yang Menyebabkan Sakit Kepala Sebelah Kanan
Sakit kepala sebelah kanan secara umumnya dikelaskan sebagai sakit kepala. Sama ada ia adalah primer atau sekunder.
Sakit kepala primer adalah sakit kepala yang berlaku dengan sendirinya. Contohnya seperti migrain.
Manakala sakit kepala sekunder pula adalah sakit kepala yang disebabkan oleh faktor lain seperti ubat-ubatan, trauma, hamil atau penyakit.
Sakit Kepala Primer
Terdapat beberapa jenis sakit kepala primer yang menyebabkan sakit kepala sebelah kanan. Antaranya adalah:
1.Migrain
Sekiranya anda menghidap migrain, anda boleh mengalami sakit kepala hanya di sebelah bahagian kepala sahaja seperti sebelah kanan.
Sakit kepala akibat migrain ini dapat dirasakan seperti berdenyut, membakar atau sakit seperti digerudi. Kesakitan ini cenderung untuk menjadi lebih teruk sekiranya anda melakukan aktiviti fizikal.
Sakit kepala akibat daripada migrain boleh berlaku selama beberapa jam hingga 3 hari.
Selain itu, anda juga mungkin akan mengalami simptom-simptom berikut:
- Loya atau muntah
- Sensitif terhadap cahaya, bunyi dan bau
- Kekejangan otot leher
- Hidung tersumbat
- Keresahan dan kemurungan
- Insomnia
2. Sakit Kepala Kelompok
Sakit kepala kelompok juga merupakan sakit kepala yang menyakitkan yang hanya berlaku disebelah kepala sahaja seperti di sebelah kanan.
Sakit kepala jenis ini menyebabkan sakit yang kuat, tajam dan mencucuk terutamanya di sekitar mata yang merebak ke bahagian leher, muka, kepala dan bahu.
Sakit kepala kelompok boleh berlaku sehingga 3 jam dan lebih banyak berlaku kepada lelaki.
Simptom-simptom lain yang mungkin turut berlaku adalah:
- Anak mata mengecil
- Kelopak mata jatuh
- Mata berair atau merah
- Hidung berair atau tersumbat
- Berpeluh di muka
- Kulit menjadi sensitif luar biasa
- Tidak boleh duduk atau berbaring
3. Hemicrania Continua
Hemicrania continua adalah penyakit jarang jumpa yang mengakibatkan sakit disebelah kepala sahaja terutamanya kepada wanita.
Sakit kepala jenis ini berlaku secara berterusan sekurang-kurangnya selama 3 bulan tanpa reda. Bersama-sama dengan sakit kepala tanpa henti, penghidapnya juga akan mengalami kesakitan yang teruk beberapa kali sehari.
Sakit Kepala Sekunder
Sakit kepala sekunder juga boleh hanya berlaku di sebelah kanan sahaja.
1. Masalah Saraf
Beberapa masalah berkaitan dengan saraf mungkin menjadi penyebab kepada sakit kepala sebelah kanan. Antaranya adalah:
- Trigeminal neuralgia: Ini menyebabkan kesakitan yang teruk di sebelah kanan kepala. Keadaan ini menyebabkan kesakitan yang sangat tajam, terbakar, berdenyut atau seperti kejutan di muka, termasuk pipi, rahang, gigi, gusi, bibir, mata dan dahi. Ia disebabkan oleh gangguan pada saraf trigeminal di pangkal otak.
- Temporal arteritis: Keadaan ini menyebabkan arteri-arteri di kepala dan leher mengalami keradangan. Selain sakit otot, ia juga boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk hanya di sebelah kepala sahaja.
2. Penggunaan Ubat-ubatan
Sakit kepala juga boleh berlaku akibat daripada kesan sampingan ubat preskripsi atau belian kaunter. Ia juga boleh berlaku akibat penggunaan ubat yang berlebihan, termasuk ubat tahan sakit seperti:
- Paracetamol
- Aspirin
- Ibuprofen
3. Sakit Kepala Cervicogenic
Anda mungkin mengalami sakit kepala di sebelah kanan jika anda mengalami sakit kepala cervicogenic, yang disebabkan oleh masalah tulang, sendi atau tisu lembut di leher.
Sakit kepala jenis ini menyebabkan sakit sebelah yang bermula di leher dan merebak ke bahagian depan kepala.
4. Masalah Perubatan
Pelbagai faktor perubatan dianggap memainkan peranan dalam menyebabkan sakit kepala di sebelah kanan.
Keadaan ini boleh meningkatkan risiko anda mengalami sakit kepala sebelah kanan, tetapi tidak semua orang yang mengalami sakit kepala sebelah kanan semestinya mempunyai semua atau mana-mana faktor ini.
Antaranya adalah:
- Genetik
- Kecelaruan mood atau keresahan
- Apnea tidur obstruktif
- Pengertakan gigi
5. Aneurisma Otak Pecah
Terdapat juga beberapa kecemasan perubatan yang boleh menyebabkan sakit kepala di sebelah kanan sahaja.
Contohnya, jika arteri yang membesar pecah dan berdarah ke dalam otak (aneurisma otak pecah) ia boleh menyebabkan sakit kepala yang teruk dan meletup.
Kesakitan tersebut boleh hanya berlaku di sebelah kepala sahaja. Selain itu, anda juga mungkin mengalami simptom-simptom seperti:
- Kekeliruan
- Sawan
- Demam
- Kejang leher
- Pitam atau pengsan
Bila Perlu Berjumpa Doktor?
Banyak kes sakit kepala akan sembuh dengan sendirinya, tanpa sebarang campur tangan. Jika anda mengalami sakit kepala dengan kerap, anda harus membuat janji temu dengan doktor untuk mengenal pasti punca sebenarnya.
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom berikut bersama sakit kepala, anda mesti mendapatkan rawatan perubatan dengan segera:
- Demam
- Kecederaan kepala
- Kekeliruan
- Perubahan penglihatan
- Sakit semakin teruk semasa bergerak
- Ruam
- Kekejangan leher
- Perubahan personaliti atau kognitif
- Gangguan tidur atau sukar tidur
- Cakap merepek
- Kelemahan
Rujukan
- Leonard,J. (2023). What does a right-sided headache mean? MedicalNewsToday
- Gotter,A. & Rossiaky, D. (2023). What Causes Headaches on the Right Side of Your Head? Healthline