Epilepsi adalah gangguan pada sistem saraf pusat di mana aktiviti otak menjadi tidak normal. Ia menyebabkan penghidapnya tidak sedarkan diri, gangguan psikik atau deria serta sawan.
Epilepsi juga turut dikenali sebagai sawan atau sawan gila babi bagi masyarakat setempat.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), epilepsi adalah penyakit otak yang kronik dan tidak berjangkit yang memberi kesan terhadap 50 juta orang di seluruh dunia.
Epilepsi boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak mengira usia atau bangsa. Cuma, kelazimannya penyakit ini bermula seawal usia kanak-kanak atau mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Penyakit ini biasanya berlaku seumur hidup tetapi kadang-kadang boleh bertambah baik dari semasa ke semasa.
Mengalami satu kali sawan tidak bermakna seseorang itu menghidap epilepsi. Untuk seseorang itu didiagnosis menghidap epilepsi, mereka mestilah mengalami 2 atau lebih sawan tanpa provokasi.
Simptom-simptom Epilepsi
Ciri-ciri sawan adalah berbeza-bea bergantung kepada lokasi dalam otak di mana gangguan itu bermula dan sejauh mana ia merebak.
Simptom-simptom sementara yang mungkin berlaku termasuklah:
- Hilang kesedaran
- Gangguan pergerakan
- Gangguan deria (penglihatan, pendengaran dan rasa)
- Gangguan emosi
- Gangguan fungsi kognitif
Doktor biasanya mengelaskan sawan kepada fokus (sementara) atau menyeluruh berdasarkan bagaimana aktiviti otak yang abnormal bermula.
Sawan fokus (sementara)
Sawan fokus (sementara) adalah akibat daripada aktiviti tidak normal hanya di satu bahagian otak sahaja.
Sawan sementara yang biasa tidak menyebabkan kehilangan kesedaran. Simptom-simptomnya adalah seperti:
- Pening
- Perubahan pada deris rasa, bau, penglihatan, sentuhan atau pendengaran
- Kesemutan atau kekejangan anggota badan
Sawan sementara yang kompleks pula menyebabkan perubahan atau kehilangan kesedaran. Simptom-simptom bagi sawan jenis ini termasuklah:
- Tidak bertindak balas
- Merenung kosong
- Melakukan pergerakan yang berulang-ulang
Simptom-simptom sawan sementara boleh disalahertikan sebagai simptom-simptom bagi penyakit atau gangguan lain seperti migrain, penyakit mental atau narkolepsi. Oleh itu, pemeriksaan menyeluruh diperlukan untuk membezakan epilepsi daripada gangguan kesihatan yang lain.
Sawan menyeluruh
Sawan menyeluruh adalah sawan yang melibatkan keseluruhan bahagian otak. 6 jenis sawan menyeluruh adalah:
- Sawan absence. Sawan ini selalunya berlaku kepada kanak-kanak. Ia dicirikan dengan renungan kosong dan pergerakan halus seperti kerdipan mata atau mengetap bibir. Sawan ini boleh menyebabkan kehilangan kesedaran buat seketika.
- Sawan tonik. Sawan ini menyebabkan kekejangan otot.
- Sawan atonik. Sawan ini menyebabkan kehilangan kawalan terhadap otot. Ia boleh menyebabkan pesakit jatuh secara tiba-tiba.
- Sawan klonus. Sawan ini menyebabkan pergerakan otot yang tersentak-sentak yang berlaku secara berulang-ulang.
- Sawan mioklonus. Sawan ini menyebabkan sentakan ringan atau renggutan pada tangan atau kaki secara tiba-tiba.
- Sawan tonik-klonus. Sawan paling dramatik yang menyebabkan tidak sedarkan diri, badan menjadi kejang dan menggeletar, dan kadang-kadang boleh menyebabkan terkencing atau mengigit lidah.
Punca Epilepsi
Epilepsi tidak berjangkit. Sesetengah penyakit boleh menyebabkan epilepsi tetapi kira-kira 50% kes bagi penyakit ini di seluruh dunia tidak diketahui puncanya.
Punca atau penyebab epilepsi boleh dibahagikan kepada beberapa kategori seperti genetik, jangkitan, struktur, metabolik, imun dan tidak diketahui.
Antara punca-punca yang boleh menyebabkan epilepsi adalah:
- Kerosakan otak semasa bayi
- Kecacatan semasa lahir
- Kecederaan kepala yang teruk
- Strok
- Jangkitan pada otak
- Tumor otak
- Sesetengah sindrom genetik
Komplikasi
Mengalami sawan pada satu-satu ketika boleh membahayakan nyawa pesakit atau orang disekelilingnya.
Antara komplikasi yang mungkin berlaku adalah:
- Jatuh. Sekiranya pesakit jatuh semasa sawan, pesakit mungkin boleh mencederakan kepala atau mematahkan tulang.
- Lemas. Sekiranya sawan berlaku semasa pesakit sedang berenang atau berada dalam air, kemungkinan untuk lemas adalah tinggi.
- Kemalangan jalan raya. Sekiranya sawan berlaku semasa pesakit sedang memandu kenderaan, kemungkinan untuk berlaku kemalangan adalah sangat tinggi.
- Komplikasi semasa mengandung. Serangan sawan semasa mengandung boleh membahayakan ibu dan bayi dalam kandungan. Sesetengah ubat antiepilepsi boleh meningkatkan risiko kecacatan semasa lahir. Namun begitu, ramai sahaja wanita yang menghidap epilepsi mengandung dan melahirkan bayi yang sihat.
- Masalah emosi. Penghidap epilepsi mudah terdedah kepada masalah psikologi seperti kemurungan, keresahan dan pemikiran untuk membunuh diri.
Rawatan
Epilepsi boleh dirawat. Kira-kira 70% pesakit epilepsi berjaya bebas daripada sawan dengan penggunaan ubat yang betul.
Doktor lazimnya memulakan rawatan terhadap epilepsi menggunakan ubat-ubatan. Sekiranya ubat-ubatan tidak memberikan kesan, doktor mungkin mencadangkan pembedahan atau rawatan lain.
Ubat-ubatan
Kebanyakan penghidap epilepsi boleh bebas sawan dengan hanya mengambil sejenis ubat antisawan sahaja.
Sesetengah penghidap epilepsi pula mungkin memerlukan gabungan beberapa ubat untuk mengurangkan kekerapan atau keterukan sawan yang berlaku.
Antara ubat epilepsi yang lazim digunakan adalah:
- Topiramate
- Levetiracetam
- Lamotrigine
- Valproic acid
- Carbamazepine
- Athosuximide
Ubat-ubat antisawan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti:
- Kelesuan
- Pening
- Peningkatan berat badan
- Ruam
- Masalah percakapan
- Kehilangan ketumpatan tulang
- Masalah memori dan pemikiran
- Hilang koordinasi
Pembedahan
Sekiranya ubat-ubatan gagal untuk mengawal sawan, pembedahan adalah pilihan yang seterusnya. Pembedahan epilepsi akan membuang bahagian otak yang menyebabkan sawan.
Doktor hanya akan menjalankan pembedahan sekiranya ujian atau pemeriksaan mendapati:
- Sawan berasal daripada bahagian yang kecil dan jelas pada otak
- Bahagian otak yang ingin dibuang tidak menganggu fungsi-fungsi penting otak yang lain.
Terapi
Selain ubat-ubatan dan pembedahan, terapi juga boleh menjadi rawatan alternatif kepada penyakit ini.
Antara terapi yang boleh merawat epilepsi adalah:
- Stimulasi saraf vogus. Rangsangan saraf vogus ini melibatkan doktor menanam alat yang dipanggil perangsang saraf vogus dibawah kulit di bahagian dada. Alat perangsang ini bersambung dengan saraf vagus menggunakan wayar. Alat ini boleh mengurangkan sawan sehingga 20-40%.
- Diet ketogenik. Kanak-kanak yang menghidap epilepsi boleh mengurangan sawan melalui diet tinggi lemak dan rendah karbohidrat atau dipanggil diet ketogenik. Selepas beberapa tahun, kanak-kanak ini boleh berhenti mengamalkan diet ini dibawah penyeliaan doktor dan sekiranya mereka bebas sawan.
- Stimulasi otak yang mendalam. Kaedah terapi ini memerlukan pakar bedah menanam elektrod ke dalam bahagian tertentu otak. Elektrod ini bersambung dengan generator yang ditanam di dada atau tempurung kepala. Generator ini akan menghantar denyutan elektrik ke otak dan boleh mengurangkan sawan.
Rujukan
- Mayo Clinic Staff. (2021). Epilepsy. MayoClinic.
- Ann Pietrangelo. (2018). Everything You Need to Know About Epilepsy. Healthline.