Apa itu Teh Oolong?
Teh oolong adalah teh tradisional China yang popular dengan pelbagai khasiat dan manfaatnya. Terdapat 3 jenis teh yang paling popular iaitu teh hijau, teh hitam dan teh oolong. Teh oolong dihasilkan daripada daun teh (Camellia sinensis) yang difermentasi secara separa.
Khasiat teh oolong dikatakan boleh membantu mengurangkan berat badan, meningkatkan kesihatan jantung, mengurangkan risiko kanser dan kaya dengan antioksidan.
Seperti teh hijau atau teh hitam, teh oolong juga turut mengandungi nutrien tertentu yang menjadikannya sebagai salah satu minuman yang berkhasiat. Walaupun teh oolong hanya mewakili 2% daripada teh yang dihasilkan dan diminum di dunia, namun khasiatnya tidak harus diabaikan.
Secawan teh oolong mengandungi sedikit mineral kalsium, magnesium, fosforus dan kalium. Tambahan daripada itu juga, teh oolong mengandungi antioksidan utama seperti epigallocatechin, epigallocatechin gallate (EGCG), epicatechin dan epicatechin gallate.
Kandungan antioksidan, kafein dan polisakarida di dalam teh oolong dipercayai menyumbang kepada pelbagai khasiat teh oolong ini.
Berikut adalah beberapa khasiat teh oolong berdasarkan kajian-kajian perubatan moden yang telah dijalankan:
1. Boleh Mengurangkan Risiko Penyakit Kencing Manis
Teh (minuman teh tanpa gula) secara umumnya mempunyai kesan yang baik dalam mengurangkan risiko penyakit kencing manis (diabetes).
Pengambilan teh secara harian dikatakan boleh mengurangkan risiko kepada penyakit diabetes jenis 2. [1]
Begitu juga dengan teh oolong, teh oolong didapati boleh merendahkan kepekatan gula darah dan purata paras gula darah dalam masa 2-3 minggu bagi pesakit diabetes jenis 2 berbanding mereka yang hanya minum air kosong. [2]
Kesan ini menunjukkan bahawa teh oolong boleh menjadi terapi tambahan untuk ubat diabetes dalam merawat penyakit diabetes.
2. Baik untuk Kesihatan Jantung
Kandungan antioksidan yang tinggi dalam teh menjadikan minuman ini sebagai salah satu minuman yang baik untuk kesihatan jantung.
Teh oolong turut didapati mempunyai kesan yang baik terhadap kesihatan jantung. Khasiat teh oolong ini didapati dalam satu kajian yang melibatkan 76,000 orang dewasa Jepun yang meminum 240 ml atau lebih teh oolong setiap hari. [3]
Kajian tersebut mendapati peminum teh oolong ini 61% berisiko rendah untuk mengalami penyakit jantung.
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa mereka yang minum 1 atau 2 cawan teh hijau atau teh oolong setiap hari mengurangkan risiko terhadap strok dengan ketara. [4]
3. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Seterusnya, teh oolong juga popular dengan khasiat yang boleh membantu mengurangkan berat badan.
Teh oolong boleh membantu mengurangkan lemak badan dan mengurangkan berat badan melalui peningkatan metabolisme lipid (lemak). Ini menunjukkan bahawa pengambilan teh oolong secara berpanjangan boleh mencegah obesiti. [5]
Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa kandungan polifenol dan polisakarida teh oolong bertanggungjawab untuk mengurangkan pengumpulan lemak dalam badan. [6]
Tambahan daripada itu juga, terdapat kajian kecil yang melibatkan 11 orang wanita melaporkan bahawa teh oolong boleh meningkatkan penggunaan tenaga. Ini bermakna ia boleh meningkatkan pembakaran kalori. [7]
Ciri-ciri yang terdapat pada teh oolong ini menjadikannya minuman yang sesuai bagi mereka yang ingin mengurangkan berat badan.
4. Boleh Meningkatkan Fungsi Otak
Teh oolong juga boleh membantu meningkatkan pelbagai fungsi otak.
Kandungan kafein dalam teh oolong boleh membantu meningkatkan perembesan hormon dopamina. Hormon ini boleh membantu seseorang itu untuk fokus, rasa seronok, mood dan meningkatkan motivasi. [8]
Selain itu, ekstrak teh oolong juga turut didapati berpotensi untuk mencegah penyakit kemerosotan otak. [9]
Kandungan asid amino iaitu L-theanine dalam teh juga turut boleh memberikan kesan positiif kepada emosi, prestasi kognitif dan menenangkan. [10]
5. Berpotensi untuk Mencegah Kanser
Teh oolong juga berpotensi bertindak sebagai makanan yang boleh membantu mencegah kanser.
Kajian makmal mendapati teh oolong boleh membantu mencegah pertumbuhan, pembiakan atau pembentukan kanser payudara. Tambahan lagi, ekstrak teh oolong juga didapati boleh membantu merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser perut. [11, 12]
Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian masih diperingkat awal. Masih banyak kajian yang diperlukan untuk mengetahui kesan teh ini terhadap kanser di dalam badan manusia.
6. Boleh Membantu Melegakan Ekzema
Terdapat satu kajian yang menunjukkan bahawa teh oolong boleh membantu mengurangkan ekzema yang teruk.
Kajian yang melibatkan 118 orang pesakit ini mendapati pengambilan 1 liter teh oolong sehari bersama-sama rawatan ekzema yang standard boleh mengurangkan keterukan ekzema yang dialami. Tanda-tanda penambahbaikan boleh dilihat seawal 1 hingga 2 minggu kajian. [13]
7. Boleh Mencegah Kaviti Gigi
Florida adalah elemen yang selalunya ditambah dalam ubat gigi atau pencuci mulut untuk membantu mencegah kaviti gigi.
Daun teh secara semulajadinya mengandungi florida. Ini bermakna meminum teh seperti teh oolong boleh membantu mencegah kaviti. Walau bagaimanapun, florida yang berlebihan juga boleh mendatangkan keburukan. Justeru itu, pengambilan 1 liter teh oolong sehari adalah selamat bagi kebanyakan orang.
Menariknya lagi, terdapat kajian yang mendapati berkumur dengan ekstrak teh oolong boleh mencegah pengumpulan plak pada gigi. [14]
Rumusan
Teh oolong adalah sejenis teh yang melalui proses fermentasi separa. Teh oolong ini lebih terkenal dalam kalangan masyarakat Cina dan mempunyai khasiat yang tersendiri.
Kajian-kajian moden mendapati teh oolong ini berkhasiat kepada kesihatan jantung, paras gula darah, baik untuk mengurangkan berat badan dan lain-lain lagi.
Teh ini juga mengandungi kandungan kafein yang lebih rendah berbanding kopi, menjadikan minuman teh oolong ini sebagai pilihan yang baik untuk mereka yang sensitif terhadap kafein.
Rujukan
- Yang, J. et al. (2014). Tea consumption and risk of type 2 diabetes mellitus: a systematic review and meta-analysis update. BMJ open.
- Hosoda, K. et al. (2003). Antihyperglycemic effect of oolong tea in type 2 diabetes. Diabetes care.
- Mineharu, Y. et al. (2011). Coffee, green tea, black tea and oolong tea consumption and risk of mortality from cardiovascular disease in Japanese men and women. Journal of epidemiology and community health.
- Liang, W. et al. (2009). Tea consumption and ischemic stroke risk: a case-control study in southern China. Stroke.
- He, R. R. et al. (2009). Beneficial effects of oolong tea consumption on diet-induced overweight and obese subjects. Chinese journal of integrative medicine.
- Wu, T. et al. (2018). Oolong tea polysaccharide and polyphenols prevent obesity development in Sprague-Dawley rats. Food & nutrition research.
- Komatsu, T. et al. (2003). Oolong tea increases energy metabolism in Japanese females. The journal of medical investigation.
- Alasmari F. (2020). Caffeine induces neurobehavioral effects through modulating neurotransmitters. Saudi pharmaceutical journal.
- Zhang, S. et al. (2020). Neuroprotective effects of oolong tea extracts against glutamate-induced toxicity in cultured neuronal cells and β-amyloid-induced toxicity in Caenorhabditis elegans. Food & function.
- Türközü, D., & Şanlier, N. (2017). L-theanine, unique amino acid of tea, and its metabolism, health effects, and safety. Critical reviews in food science and nutrition.
- Shi, H. et al. (2018). Oolong Tea Extract Induces DNA Damage and Cleavage and Inhibits Breast Cancer Cell Growth and Tumorigenesis. Anticancer research.
- Hibasami, H. et al. (2000). Oolong tea polyphenol extract induces apoptosis in human stomach cancer cells. Anticancer research.
- Uehara, M. et al. (2001). A trial of oolong tea in the management of recalcitrant atopic dermatitis. Archives of dermatology.
- Ooshima, T. et al. (1994). Reduction of dental plaque deposition in humans by oolong tea extract. Caries research.