Teh hitam adalah salah satu daripada 3 jenis teh yang utama. Teh hitam juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Menyedari akan keistimewaan teh hitam ini, artikel ini menyenaraikan 10 khasiat teh hitam untuk kesihatan yang disokong kajian.
Teh adalah minuman yang paling popular di dunia. Teh diminum oleh dua pertiga daripada populasi dunia. Terdapat beberapa jenis teh yang dibezakan oleh pemprosesan dan penuaiannya iaitu teh hitam, teh hijau dan teh oolong.
Teh hitam dihasilkan dengan mendedahkan daun teh ini kepada udara menyebabkan ia teroksida. Proses pengoksidaan ini menyebabkan daun teh tersebut berubah warna kepada warna coklat gelap. Kemudian, daun ini dibiarkan atau dipanaskan, dikeringkan dan dihancurkan.
Seperti teh hijau atau teh chamomile, teh hitam juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Berikut adalah 10 khasiat teh hitam yang baik untuk kesihatan anda.
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh membantu melindungi badan daripada radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Teh hitam mengandungi beberapa antioksidan utama seperti: [1]
- Katekin
- Theaflavin
- Thearubigin
- Flavanol
Teh hitam mempunyai jumlah kandungan antioksidan yang sama dengan teh hijau tetapi berbeza sedikit dari segi jenis-jenis antioksidan tersebut.
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Teh hitam juga berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol terutamanya kolesterol jahat.
Khasiat teh hitam ini dapat dilihat dalam satu kajian klinikal yang mendapati pengambilan teh hitam sebanyak 5 hidangan sehari boleh menurunkan paras kolesterol total sebanyak 6.5% dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 11%. [2]
3. Boleh Membantu Menurunkan Tekanan Darah
Teh hitam juga baik untuk mereka yang mempunyai tekanan darah yang tinggi.
Kesan teh hitam ini terhadap tekanan darah dapat dibuktikan dalam satu analisis meta yang melibatkan 11 kajian. Analisis ini melaporkan pengambilan teh hitam secara berkala boleh menurunkan tekanan darah. [3]
Hasil kajian ini menunjukkan teh hitam memainkan peranan penting terhadap kesihatan kardiovaskular kepada masyarakat secara umumnya.
4. Boleh Mengurangkan Risiko Strok
Selain membantu menurunkan tekanan darah, khasiat teh hitam ini juga turut membantu mengurangkan risiko strok.
Satu kajian selama lebih 10 tahun yang melibatkan kira-kira 74 000 individu dewasa mendapati pengambilan 4 cawan atau lebih teh hitam setiap hari boleh mengurangkan 32% risiko strok berbanding mereka yang tidak meminum teh. [4]
5. Berpotensi Mengurangkan Risiko Kanser
Teh hitam juga dilihat mempunyai potensi dalam membantu mengurangkan risiko kanser.
Berdasarkan satu kajian, pengambilan teh hitam panas pekat dan kulit buah sitrus seperti oren atau limau mempunyai kesan perlindungan terhadap kanser kulit. [5]
Terdapat juga satu kajian semula yang melaporkan bahawa pengambilan teh hitam mempunyai kesan yang sederhana atau tiada kesan terhadap kanser kolorektal (usus). [6]
Namun begitu, masih banyak kajian yang diperlukan untuk melihat kesan teh hitam dalam membantu mengurangkan risiko kanser.
6. Boleh Membantu Meningkatkan Tumpuan
Selain kopi, teh hitam juga boleh membantu meningkatkan tumpuan. Khasiat ini bermanfaat kepada pelajar atau pekerja yang memerlukan daya tumpuan yang tinggi.
Khasiat teh hitam ini dapat dilihat dalam dua kajian yang menguji akan kesan teh hitam terhadap kewaspadaan dan ketepatan. Kedua-dua kajian mendapati pengambilan teh hitam boleh meningkatkan kewaspadaan dan ketepatan. [7]
7. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Teh hitam juga turut mendatangkan manfaat kepada kesihatan jantung peminumnya.
Selain membantu menurunkan paras kolesterol dan tekanan darah tinggi, kajian turut melaporkan bahawa pengambilan 3 cawan teh hitam atau lebih dalam sehari boleh mengurangkan risiko penyakit jantung koronari. [6]
8. Baik untuk Penghadaman
Meminum teh hitam juga boleh mendatangkan kebaikan kepada sistem penghadaman.
Kandungan polifenol dalam teh hitam boleh membantu mengekalkan kesihatan bakteria baik dalam usus. Polifenol teh hitam ini menggalakkan pertumbuhan bakteria baik dan mencegah pertumbuhan bakteria jahat dalam usus. [8]
9. Boleh Membantu Merendahkan Paras Gula Darah
Selain itu juga, teh hitam juga didapati boleh membantu merendahkan paras gula dalam darah bagi mereka yang meminumnya.
Satu kajian yang melibatkan 24 individu normal dan pradiabetes melaporkan bahawa pengambilan teh hitam boleh mengurangkan kenaikan paras gula selepas makan selepas pengambilan gula (sukrosa). [9]
Satu kajian yang dijalankan terhadap warga Singapura melaporkan bahawa pengambilan 1 cawan atau lebih teh hitam didapati boleh mengurangkan risiko penyakit diabetes sebanyak 14%. [10]
10. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Bagi anda yang ingin mengurangkan berat badan, teh hitam mungkin pilihan minuman yang baik untuk anda.
Hal ini demikian kerana terdapat kajian yang mendapati teh hitam terutamanya sebatian polifenol yang terdapat di dalamnya boleh membantu mengurangkan berat badan. [11]
Mekanisme yang terlibat adalah:
- Teh hitam boleh membantu mencegah pencernaan, penyerapan dan penggunaan lemak (lipid) dan gula seterusnya mengurangkan pengambilan kalori.
- Teh hitam juga menggalakkan metabolisme lemak dan mengurangkan pengumpulan lemak.
- Teh hitam juga turut mengurangkan tekanan oksidatif yang boleh membawa kepada keradangan dan penyakit kronik.
Rumusan
Teh hitam adalah salah satu minuman yang sihat yang sepatutnya menjadi pilihan ramai.
Selain tinggi dengan kandungan antioksidan, teh hitam berkhasiat dalam membantu menurunkan paras kolesterol, menurunkan tekanan darah, mengurangkan risiko strok dan kanser, meningkatkan tumpuan dan lain-lain lagi.
Pengguna juga harus tahu bahawa khasiat-khasiat teh hitam ini diperolehi daripada minuman teh hitam yang tidak ditambah dengan gula.
Rujukan
- W. Łuczaj & E. Skrzydlewska. (2005). Antioxidative properties of black tea. Preventive Medicine.
- Davies, M. J. et al. (2003). Black tea consumption reduces total and LDL cholesterol in mildly hypercholesterolemic adults. The Journal of nutrition.
- Greyling, A. et al. (2014). The effect of black tea on blood pressure: a systematic review with meta-analysis of randomized controlled trials. PloS one.
- Larsson, S. C. et al. (2013). Black tea consumption and risk of stroke in women and men. Annals of epidemiology.
- Hakim, I. A., & Harris, R. B. (2001). Joint effects of citrus peel use and black tea intake on the risk of squamous cell carcinoma of the skin. BMC dermatology.
- Gardner, E. J. et al. (2007). Black tea–helpful or harmful? A review of the evidence. European journal of clinical nutrition.
- De Bruin, E. A. et al. (2011). Black tea improves attention and self-reported alertness. Appetite.
- D. Hervert-Hernández & I. Goñi. (2011). Dietary Polyphenols and Human Gut Microbiota: a Review. Food Reviews International.
- Butacnum, A. et al. (2017). Black tea consumption improves postprandial glycemic control in normal and pre-diabetic subjects: a randomized, double-blind, placebo-controlled crossover study. Asia Pacific journal of clinical nutrition.
- Odegaard, A. O. et al. (2008). Coffee, tea, and incident type 2 diabetes: the Singapore Chinese Health Study. The American journal of clinical nutrition.
- Pan, H. et al. (2016). Mechanisms of Body Weight Reduction by Black Tea Polyphenols. Molecules.