Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pokok mulberi telah berjaya ditanam atau diusahakan di Malaysia. Namun, ia tidaklah begitu popular. Mungkin kerana ramai yang masih tidak tahu akan khasiat mulberi ini. Oleh itu, artikel ini menyajikan kepada anda beberapa khasiat mulberi yang disokong kajian yang boleh menarik minat anda kepada pokok dan buah mulberi ini.
Mulberi atau nama saintifiknya Morus alba L. adalah buah daripada keluarga Moraceae iaitu keluarga yang sama dengan buah ara (buah tin) dan nangka. Mulberi juga turut dikenali dengan nama seperti Ramulus Mori atau Sangzhi.
Mulberi adalah berasal dari negara China dan kemudiaannya telah banyak ditanam di banyak negara seperti Asia, Afrika, Amerika, Eropah dan India. Menurut rekod, mulberi telah ditanam di China sejak lebih 5000 tahun dahulu dan merupakan buah tradisional bagi masyarakat Cina.

Selain itu, mulberi juga turut terkenal dengan daunnya yang dijadikan makanan kepada ulat sutera. Daun mulberi adalah satu-satunya makanan kepada ulat sutera.
Buah mulberi mempunyai beberapa warna iaitu hitam, merah dan putih. Biasanya, buah ini dijadikan jus, teh, jem, makanan dalam tin dan juga dikeringkan untuk dimakan sebagai snek.
Menurut perubatan tradisional Cina, buah mulberi digunakan untuk menambah baik penglihatan dan melindungi hati daripada rosak. Manakala, dalam perubatan tradisional Oriental pula, buah mulberi digunakan untuk merawat diabetes dan uban pramatang.
Kajian-kajian moden juga turut mengkaji akan nutrisi dan khasiat mulberi yang bermanfaat kepada kesihatan tubuh badan. Antaranya adalah:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Buah mulberi adalah buah yang tinggi dengan kandungan air dan rendah dengan kalori. Terdapat kira-kira 87% daripada buah ini terdiri daripada air.
Bagi 100 gram buah mulberi, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut: [1]
- Tenaga/Kalori: 43 kcal
- Protein: 1.44 gram
- Karbohidrat: 9.8 gram
- Serat: 1.7 gram
- Kalsium: 39 miligram
- Zat besi: 1.85 miligram
- Magnesium: 18 miligram
- Fosforus: 38 miligram
- Kalium: 194 miligram
- Zink: 0.12 miligram
- Tembaga: 0.06 miligram
- Selenium: 0.6 mikrogram
- Vitamin C: 36.4 miligram
- Vitamin B1: 0.03 miligram
- Vitamin B2: 0.1 miligram
- Vitamin B3: 0.62 miligram
- Vitamin B6: 0.05 miligram
- Folat: 6 mikrogram
- Vitamin A: 1 mikrogram
- Vitamin E: 0.87 miligram
- Vitamin K: 7.8 mikrogram
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Buah mulberi juga turut mengandungi ciri-ciri antioksidan yang kuat yang disumbang oleh kandungan polifenolnya. Contohnya seperti:
- Antosianin
- Flavonoid
- Flavanol
- Asid benzoik
- Asid hidroksisinamik
3. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol
Paras kolesterol yang tinggi banyak dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung, strok dan darah tinggi.
Buah mulberi didapati boleh membantu merendahkan paras kolesterol yang tinggi dalam darah. Khasiat buah mulberi ini ada dilaporkan di dalam beberapa kajian.
Satu kajian yang dijalankan terhadap tikus yang diberikan diet tinggi lemak mendapati pengambilan 5% atau 10% serbuk buah mulberi boleh menurunkan paras trigliserida (lipid dalam darah), kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dalam darah. [2]
Kajian ini turut mendapati pengambilan serbuk buah mulberi ini turut meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik).
Kajian lain yang melibatkan 58 individu yang mempunyai paras kolesterol yang tinggi pula melaporkan bahawa pengambilan 45 gram bah mulberi sejuk beku sehari selama 6 minggu berjaya menurunkan paras kolesterol total dan kolesterol LDL (kolesterol jahat). [3]
4. Berpotensi Mencegah Kanser
Mulberi juga dipercayai berpotensi untuk mencegah kanser atau mempunyai ciri-ciri antikanser kerana kandungan antioksidannya.
Kajian terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberikan ekstrak mulberi yang kaya dengan antosianin selama 7 minggu berjaya untuk merencatkan pertumbuhan tumor yang boleh membentuk kepada kanser gaster (kanser perut). [4]
5. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Seperti dalam perubatan tradisional, buah mulberi juga didapati boleh membantu mengawal gula darah yang mempunyai kebaikan kepada mereka yang menghidap diabetes (penyakit kencing manis).
Dapatan daripada satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati pengambilan polisakarida (karbohidrat) buah mulberi selama 2 minggu boleh mengurangkan paras gula darah puasa bagi haiwan tersebut. [5]
Kajian lain turut mendapati ekstrak buah mulberi turut menunjukkan kesan antidiabetes dengan menurunkan paras gula darah puasa dan mencegah aktiviti alfa-glukosida. [6]
Alfa-glukosida ialah enzim yang membantu pencernaan karbohidrat atau kanji kepada gula ringkas. Pencegahan aktiviti alfa-glukosida ini boleh mengurangkan penyerapan gula (glukosa) di dalam usus yang seterusnya boleh merendahkan paras gula darah.
6. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Masalah obesiti atau berat badan berlebihan adalah masalah serius yang dialami oleh ramai rakyat Malaysia. Obesiti boleh mendedahkan seseorang itu kepada pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti penyakit jantung, diabetes atau kolesterol tinggi.
Buah mulberi juga didapati berkhasiat dalam membantu menurunkan berat badan. Khasiat mulberi ini ada dilaporkan dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan.
Kajian terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak mendapati pengambilan ekstrak air mulberi selama 12 minggu berjaya menurunkan berat badan dan lemak visera serta turut membantu menurunkan paras kolesterol.
Selain itu, ekstrak air mulberi ini turut mengurangkan lemak di dalam hati yang seterusnya boleh melindungi hati daripada rosak. [7]
7. Berpotensi Mencegah Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol
Penyakit hati berlemak bukan alkohol adalah penyakit hati yang kronik yang boleh menyebabkan keradangan pada hati dan boleh berkembang menjadi parut (sirosis) dan kegagalan hati.
Mulberi juga didapati mempunyai khasiat dalam melindungi hati daripada penyakit hati berlemak.
Satu kajian makmal mendapati ekstak antosianin mulberi boleh menambah baik pengumpulan lipid (lemak) pada sel-sel hati manusia. [8]
Kajian lain pula melaporkan bahawa hampas mulberi yang tinggi antosianin boleh mengurangkan parut pada hati yang disebabkan oleh bahan kimia. [9]
8. Berpotensi Melindungi Otak daripada Kecederaan
Iskemia serebrum ialah kecederaan otak akut yang disebabkan oleh aliran darah ke otak yang terjejas. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kematian atau kecacatan kekal.
Sebatian kimia yang diekstrak daripada buah mulberi didapati boleh mencegah kerosakan iskemia serebrum akibat kekurangan glukosa oksigen. [10]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk menguatkan lagi hasil kajian ini.
Rumusan
Mulberi adalah buah yang kaya dengan pelbagai nutrien dan rendah dengan kalori.
Mulberi telah digunakan dalam perubatan tradisional Cina sejak dahulu lagi. Kajian-kajian moden juga turut mendapati mulberi mempunyai ciri-ciri antikolesterol, antidiabetes, antiobesiti, antikanser serta boleh melindungi hati dan otak.
Sekiranya anda berminat untuk menanamnya atau membelinya, keputusan anda itu betul dan tidak silap kerana tumbuhan ini kaya dengan khasiatnya.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Mulberries, raw.
- Yang, X. et al. (2010). Hypolipidemic and antioxidant effects of mulberry (Morus alba L.) fruit in hyperlipidaemia rats. Food and chemical toxicology.
- Pavadhgul, P. et al. (2016). The Effect of Mulberry Fruits Consumption on Lipid Profiles in Hypercholesterolemic Subjects: A Randomized Controlled Trial. Journal of Pharmacy and Nutrition Sciences.
- Huang, H.P. et al. (2011). Anthocyanin-rich Mulberry extract inhibit the gastric cancer cell growth in vitro and xenograft mice by inducing signals of p38/p53 and c-jun. Food Chemistry.
- Guo, C. et al. (2013). Anti-diabetic effect of ramulus mori polysaccharides, isolated from Morus alba L., on STZ-diabetic mice through blocking inflammatory response and attenuating oxidative stress. International immunopharmacology.
- Wang, Y. et al. (2013). Antidiabetic and antioxidant effects and phytochemicals of mulberry fruit (Morus alba L.) polyphenol enhanced extract. PloS one.
- Peng, C. H. et al. (2011). Mulberry water extracts possess an anti-obesity effect and ability to inhibit hepatic lipogenesis and promote lipolysis. Journal of agricultural and food chemistry.
- Chang, J. J. et al. (2013). Mulberry anthocyanins inhibit oleic acid induced lipid accumulation by reduction of lipogenesis and promotion of hepatic lipid clearance. Journal of agricultural and food chemistry.
- Yuxian Li, Y. et al. (2016). Protective effect and mechanism of action of mulberry marc anthocyanins on carbon tetrachloride-induced liver fibrosis in rats. Journal of Functional Foods.
- Kang, T. H. et al. (2006). Neuroprotective effects of the cyanidin-3-O-beta-d-glucopyranoside isolated from mulberry fruit against cerebral ischemia. Neuroscience letters.