Kacang soya atau nama saintifiknya Glycine max adalah legum yang berasal dari Asia. Di Asia, khasiat kacang soya dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk produk dan hidangan.
Menurut sejarah, kacang soya telah ditanam sejak hampir 5000 tahun dahulu di China dan kemudiannya di Jepun. Kacang soya telah dibawa ke Eropah pada abad ke-18 dan ke Amerika Syarikat pada abad ke-19.
Terdapat banyak produk kacang soya yang kini mudah untuk didapati di pasaran. Contohnya seperti susu soya, tauhu, tempe, kicap dan minyak kacang soya.
Kacang soya adalah salah satu makanan yang bukan daging yang tinggi dengan protein. Pada tahun 1999, U.S Food and Drug Administration (FDA) telah meluluskan tuntutan kesihatan makanan yang mengaitkan protein soya dengan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.
Selain protein, kacang soya turut mengandungi antioksidan dan nutrien lain yang mengaitkan kacang soya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut akan khasiat kacang soya yang berguna untuk kesihatan sama ada untuk wanita atau lelaki.
1. Tinggi Kandungan Protein
Kacang soya adalah antara sumber terbaik untuk mendapatkan protein berasaskan tumbuhan.
Bagi secawan kacang soya yang direbus (172 gram) terdapat kira-kira 31 gram protein. [1]
Menariknya juga, kacang soya mengandungi ke semua 9 asid amino perlu (essential amino acid) iaitu:
- lisina
- metionina
- fenilalanina
- valina
- triptofan
- histidina
- isoleusina
- leusina
- treonina
Asid amino ini diperlukan untuk otot dan tulang yang sihat.
Asid amino perlu adalah asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan dan mesti diperolehi melalui makanan.
Kandungan asid amino perlu dan kadar protein yang tinggi juga menjadikan kacang soya sebagai makanan pilihan bagi mereka yang mengamalkan diet vegan atau mereka yang “vegetarian”.
2. Berpotensi Mengurangkan Risiko Kanser
Kanser merupakan antara penyebab kematian yang tinggi di dunia.
Terdapat beberapa kajian yang mengaitkan kacang soya dengan pengurangan risiko kanser.
Terdapat kajian yang dijalankan oleh University of Southern California yang mendapati pengambilan soya yang tinggi semasa zaman kanak-kanak dalam kalangan Asian-American boleh mengurangkan risiko kanser payudara. Risiko ini boleh dikurangkan lagi jika soya turut diambil ketika dewasa. [2]
Malah terdapat kajian yang membuat kesimpulan bahawa pengambilan kacang soya dalam kalangan orang Asia menjadi perlindung kepada kanser payudara.[3]
Kajian terkini juga turut mendapati bahawa peningkatan pengambilan soya boleh mengurangkan risiko kanser payudara terutamanya kepawa wanita pra-menopaus.[4]
3. Mengurangkan Simptom-simptom Menopaus
Menopaus adalah satu jangka masa dalam hayat wanita di mana haid (datang bulan) berhenti.
Menopaus biasanya diikuti dengan simptom-simptom yang tidak menyenangkan seperti perubahan emosi, berpeluh atau hot flash.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa pengambilan isoflavon dalam soya boleh mengurangkan simptom menopaus dengan ketara. [5]
Kajian lain yang dijalankan terhadap 80 wanita menopaus turut mendapati pengambilan ekstrak soya yang mengandungi isoflavon ini boleh mengurangkan keterukan simptom menopaus yang berlaku dengan lebih baik. [6]
4. Boleh Menguatkan Tulang
Kacang soya juga turut berkhasiat dalam membantu menguatkan tulang.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan isoflavon dalam kacang soya.
Satu kajian klinikal melaporkan bahawa produk protein soya yang tinggi dengan isoflavon sahaja boleh membantu mengurangkan kelesapan tulang dalam kalangan wanita pascamenopaus. [7]
Kajian semula yang diterbitkan pada 2012 juga turut melaporkan bahawa pengambilan isoflavon soya boleh membantu meningkatkan ketumpatan tulang dan mengurangkan penanda pelesapan tulang dalam kalangan wanita. [8]
5. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain itu juga, protein soya juga turut dilihat boleh membantu menurunkan paras kolesterol melalui sebatian isoflavon yang terkandung di dalamnya.
Satu analisis terhadap 11 kajian klinikal melaporkan bahawa isoflavon soya boleh menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) dengan ketara. [9]
Khasiat yang sama dapat dilihat bagi produk-produk soya yang difermentasi (ditapai). Kajian yang dijalankan terhadap 27 peserta mendapati pengambilan produk soya yang difermentasi turut boleh menurunkan paras jumlah kolesterol dan kolesterol LDL. [10]
6. Baik untuk Kesihatan Kulit
Kacang soya juga sebenarnya bermanfaat untuk kesihatan kulit.
Ekstrak biji kacang soya dan susu soya segar dilaporkan mempunyai kebaikan terhadap kulit seperti: [11]
- Mencerahkan kulit
- Bersifat antiradang
- Melindungi kulit daripada sinaran UV
- Merangsang penghasilan kolagen
- Mencegah gejala-gejala penuaan kulit
- Boleh melambatkan pertumbuhan bulu yang tidak diingini
7. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Kacang soya juga didapati boleh membantu mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian terhadap haiwan mendapati protein soya dan isoflavon soya boleh menurunkan paras gula dalam darah, meningkatkan perembesan insulin dan mengurangkan gula darah puasa. [12]
Kajian yang dijalankan terhadap manusia pula mendapati pengambilan diet yang mengandungi kira-kira 30% protein soya selama 6 minggu dalam kalangan wanita yang menghidap melitus diabetes gestasi (penyakit diabetes semasa mengandung) menunjukkan penambahbaikkan terhadap paras gula darah puasa, paras insulin, rintangan insulin dan kepekaan insulin berbanding kumpulan yang tidak mengambil protein soya. [13]
Rumusan
Kacang soya adalah salah satu makanan masyarakat Asia yang mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan.
Kacang soya banyak digunakan untuk menghasilkan produk-produk lain seperti tauhu, susu soya, tempe, kicap dan lain-lain lagi.
Kacang soya berkhasiat dalam membantu membekalkan protein yang bukan berasaskan daging, mengurangkan risiko kanser, mengurangkan simptom-simptom menopaus, menguatkan tulang, mencantikkan kulit, menurunkan paras kolesterol dan paras gula dalam darah.
Selain itu, kacang soya turut kaya dengan sumber mineral dan vitamin yang diperlukan oleh badan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Wu, A. H. et al. (2002). Adolescent and adult soy intake and risk of breast cancer in Asian-Americans. Carcinogenesis.
- Wu, A. H. et al. (2008). Epidemiology of soy exposures and breast cancer risk. British journal of cancer.
- Okekunle, A. P. et al. (2020). Higher dietary soy intake appears inversely related to breast cancer risk independent of estrogen receptor breast cancer phenotypes. Heliyon.
- Imhof, M. et al. (2018). Soy germ extract alleviates menopausal hot flushes: placebo-controlled double-blind trial. European journal of clinical nutrition.
- Nahas, E. A. et al. (2007). Efficacy and safety of a soy isoflavone extract in postmenopausal women: a randomized, double-blind, and placebo-controlled study. Maturitas.
- Potter, S. M. et al. (1998). Soy protein and isoflavones: their effects on blood lipids and bone density in postmenopausal women. The American journal of clinical nutrition.
- Wei, P. et al. (2012). Systematic review of soy isoflavone supplements on osteoporosis in women. Asian Pacific journal of tropical medicine.
- Taku, K. et al. (2007). Soy isoflavones lower serum total and LDL cholesterol in humans: a meta-analysis of 11 randomized controlled trials. The American journal of clinical nutrition.
- Jung, S. M. et al. (2021). A Non-Probiotic Fermented Soy Product Reduces Total and LDL Cholesterol: A Randomized Controlled Crossover Trial. Nutrients.
- Waqas, M. K. et al. (2015). Dermatological and cosmeceutical benefits of Glycine max (soybean) and its active components. Acta poloniae pharmaceutica.
- Chatterjee, C. et al. (2018). Soybean Bioactive Peptides and Their Functional Properties. Nutrients.
- Jamilian, M., & Asemi, Z. (2015). The Effect of Soy Intake on Metabolic Profiles of Women With Gestational Diabetes Mellitus. The Journal of clinical endocrinology and metabolism.