Daun sirih (Piper betle) adalah daun daripada sejenis tumbuhan yang tumbuh menjalar dan memiliki bentuk seakan-akan hati. Daun sirih mempunyai banyak manfaat kepada manusia, khasiat daun sirih boleh membantu dalam perawatan dan kecantikan diri.
Daun sirih boleh dikategorikan dalam kumpulan herba yang paling berkhasiat dengan tinggi kandungan pelbagai nutrien dan antioksidan seperti kalium, kalsium, iodin, vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, saponin, tanin, eugenol dan berbagai jenis minyak pati. [1]
Di Asia, daun sirih mempunyai pelbagai jenis seperti Sirih Hijau, Sirih Merah, Sirih Gading, Sirih Sliver, Sirih Bulu, Sirih Irian dan Sirih Hitam. Dalam banyak jenis yang dinyatakan itu, sirih merah dan hijau adalah yang paling senang ditemui ditanam oleh masyarakat Asia sebagai tanaman herba dan hiasan rumah.
Muncul untuk menjungjung tinggi budaya bangsa, daun sirih juga mempunyai banyak manfaat lain yang perlu diperhalusi dan diperhatikan. Jika orang zaman dulu sudah terbiasa dengan kegiatan “nyirih” atau menjadikan daun sirih sebagai “snek” ringan. Masyarakat pada hari ini pula lebih suka untuk merebus daunnya dan diminum.
Berikut adalah khasiat daun sirih untuk kesihatan dan kecantikan diri berdasarkan kajian yang boleh dimanfaat oleh kita semua.
1. Mempunyai Nutrisi yang Penting
Salah satu tumbuhan yang mengandungi kadar air yang tinggi adalah daun sirih. Bahkan 85-90% di dalamnya merupakan air. Setiap 100 gram daun sirih, kita boleh mendapat kandungan nutrisi seperti:
- Kalori: 44 kcal
- Protein: 3-3.5%
- Lemak: 0.4-1%
- Serat: 2.3%
- Kalsium: 0.2-0.5%
- Kalium: 1.1-4.6%
- Iodin: 3.4 mikrogram
- Vitamin A: 1.9-2.9 miligram
- Vitamin B1: 13-70 mikrogram
- Vitamin B2: 1.9-30 mikrogram
- Asid Nikotinik: 0.63-0.89 mg
2. Boleh Membantu Merawat Luka
Daun sirih boleh membantu merawat luka dan mempunyai kesan yang kuat dalam penyembuhan luka.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstak daun sirih boleh mempercepatkan penyembuhan luka walaupun terhadap haiwan yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes). [2]
3. Boleh Mengubati Keputihan dan Kegatalan Pada Alat Sulit Wanita
Masalah keputihan adalah perkara normal bagi wanita lebih-lebih bagi golongan remaja yang aktif. Namun begitu, keputihan yang teruk dan tidak dirawat boleh menimbulkan rasa tidak selesa dan gatal pada alat sulit kita.
Ada sesetengah kes, mereka terkena jangkitan yang lebih teruk di bahagian sulit tersebut. Jangan risau kerana kandungan minyak pati, anti-septik semula jadi, dan anti mikrob pada daun sirih boleh membantu membasmi kuman dan bakteria punca keputihan.
4. Boleh Membantu Mengawal Paras Gula dalam Darah
Sebut sahaja paras gula tinggi dalam darah, dalam fikiran kita mesti penyakit kencing manis. Betul, tetapi jangan sesekali pandang ringan penyakit yang menjadi pembunuh senyap dalam masyarakat kita ini. Graf dari dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbidit (NHMS), menunjukkan dengan sangat jelas bahawa pesakit kencing manis meningkat setiap tahun.
Satu kajian yang pernah dijalankan terhadap dua kumpulan tikus yang menghidap kencing manis. Kumpulan pertama diberikan daun sirih sebanyak 75 mg/kg berat badan dan 150mg/kg berat badan selama 30 hari. Keputusan menunjukkan bahawa terdapat penurunan bacaan gula dalam darah sebanyak 205.00+/- 10.80 mg/dL hingga 151.30+/- 6.53 mg/dL).
Manakala kumpulan kedua yang tidak diberikan dauh sirih, tidak menunjukkan sebarang penurunan kadar gula. Berdasarkan keputusan tersebut, ia jelas menunjukkan bahawa daun sirih boleh dijadikan solusi alternatif untuk membantu mengurangkan paras gula dalam darah. [1]
5. Boleh Membantu Merendahkan Paras Kolesterol dalam Badan
Penyakit jantung di usia muda berpunca dari faktor paras kolesterol yang tinggi. Mereka yang mempunyai kolesterol yang tinggi berpotensi untuk mendapat serangan jantung, strok, aterosklerosis, dan sebagainya.
Pengambilan daun sirih yang teratur berpotensi untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan kita. Hal ini demikian kerana, daun sirih mengandungi eugenol yang mampu mengurangkan jumlah kolesterol yang dihasilkan oleh organ hati. [3]
Secara tidak langsung, ia juga boleh mengurangkan penyerapan lipid (lemak) oleh usus. Pengurangan paras kolesterol dalam darah ini boleh mengurangkan risiko penyumbatan saluran darah (arteri) yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung.
6. Boleh Bertindak Sebagai Pencuci Muka untuk Kulit Lebih Segar
Bagi anda yang suka menggunakan bahan-bahan semula jadi dalam kecantikan. Daun sirih merupakan salah satu bahan semula jadi yang baik untuk dijadikan pencuci muka.
Ambil beberapa helai daun sirih tua kemudian direbus. Air rebusannya boleh digunakan untuk membasuh muka. Ini adalah petua dan cara tradisional orang dulu-dulu dan masih diamalkan sehingga sekarang. Wajah kita akan bertambah seri, mengurangkan masalah jerawat, dan kelihatan lebih segar.
Rumusan
6 khasiat daun sirih ini adalah sebahagian daripada pelbagai kebaikan yang boleh kita perolehi daripada daun sirih. Kajian-kajian perubatan yang berterusan boleh membantu merungkai potensi dan khasiat-khasiat daun sirih yang lain.
Rujukan
- Guha, P. (2006). Betel Leaf: The Neglected Green Gold of India. Journal of Human Ecology.
- Ghazali, N. A. et al. (2016). Piper betel leaves induces wound healing activity via proliferation of fibroblasts and reducing 11β hydroxysteriod dehydrogenase-1 expression in diabetic rat. Journal of Ayurveda and integrative medicine.
- Firdous, H. (2020). Health Benefits of Betel Leaf and Its Side Effects. Lybrate.
Hannani Juhari
Nurhannani Juhari ialah seorang penulis bebas yang telah berkecimpung dalam dunia penulisan sejak 2018 lagi. Penglibatan beliau dalam JiwaSihat sebagai penyumbang adalah sebagai satu usaha dalam menyampaikan ilmu bermanfaat kepada masyarakat.